SHAH ALAM - Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah memohon agar Parlimen dapat menarik balik status klasifikasi rahsia dan membenarkan setiap ahli Parlimen mendapatkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut beliau, penarikan klasifikasi rahsia tersebut akan dapat menghapuskan rasa cemas di kalangan orang ramai yang merasakan mereka tertipu serta tidak berhak untuk mengetahui keadaan sebenar di sebalik isu skandal kewangan negara yang terbesar itu.
"Ini bermakna ahli-ahli Dewan Rakyat yang mewakili para pengundi, iaitu orang ramai, hendaklah dimaklumkan mengenai isi kandungan laporan tersebut.
 Tengku Razaleigh Hamzah "Kita harus maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang negara tertinggi dan teragung semestinya diikuti dan di dokong dengan tegas," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Ariffin dalam satu kenyataannya memaklumkan bahawa Laporan Akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Ketua Audit Negara kepada PAC Parlimen Malaysia diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Tengku Razaleigh yang juga merupakan ahli Parlimen Gua Musang memaklumkan bahawa saranan pengubahan itu adalah sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memaklumkan bahawa Ketua Audit Negara seharusnya menyiasat isu 1MDB dan menyerahkan hasil siasatan tersebut sebagai laporan untuk pertimbangan Dewan Rakyat.