KUALA TERENGGANU - Selagi Umno mengekalkan dasar perjuangan parti dengan apa yang ada ketika ini, Pas tidak akan melayan sebarang usaha ke arah kerjasama politik dengan parti itu.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah bahawa perkara sedemikian tidak akan berlaku sama sekali dalam keadaan Umno masih lagi dengan dasar kebangsaan.
Menurutnya, walaupun cadangan itu turut disyorkan oleh penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik dalam memastikan kesepaduan umat Islam di negara ini, namun beliau menganggap ia hanyalah cadangan dari pihak luar.
"Itu cadangan daripada orang luar. Memanglah ia perlu dari segi perpaduan umat Islam tetapi atas dasar Islam, dari segi akidah Islam, keadaan itu berlaku apabila ada persamaan dari segi dasar parti. Pas adalah dasar Islam. Umno kalau buang dasar kepada Islam, barulah boleh dilihat ke arah usaha perpaduan.
"Kalau Umno tidak ubah dasar, masih kepada kebangsaan, ia tidak akan berlaku," katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan Sinar Harian Rabu lalu, berhubung parti politik berteraskan Islam di Malaysia perlu bersatu dengan menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan.
Ini bagi pastikan kedudukan Islam sentiasa kuat, sekali gus mampu perkukuhkan kedudukan negara.
Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik berkata, sekiranya parti-parti itu berpakat, ia akan menjadikan Islam itu indah di mata rakyat beragama Islam.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, walaupun Umno berjuang atas dasar agama, bangsa dan tanah air, namun parti itu sepatutnya bersikap selari dengan Islam dalam semua tindakan dan dasar pelaksanaan negara.