SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) daripada pembangkang menggesa pengerusinya, Datuk Hasan Arifin menarik balik kenyataannya berhubung laporan PAC mengenai siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang didakwa mendapat persetujuan semua anggotanya.
Timbalan pengerusinya, Tan Seng Giaw berkata, kenyataan Hasan itu merupakan pendirian tidak berasas, bersifat bohong dan menyeleweng daripada pandangan jawatankuasa itu.
"Kami berharap Pengerusi PAC tidak salahguna jawatannya sebagai jawatankuasa Parlimen untuk kepentingan politik BN dan Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam kenyataan bersama Datuk Kamarul Baharin Abas, William Leong, Datuk Takiyuddin Hassan dan Tony Pua, semalam.
Seng Giaw juga mendakwa, jawatankuasa itu tidak pernah membuat sebarang keputusan bahawa Najib tidak bersalah.
"Kami menggesa Hasan mengemukakan bukti melalui hansard bahawa keputusan ini dibuat sebulat suara dan konsensus oleh semua anggota PAC," jelasnya.
Katanya, tiada keperluan menyembunyikan sebarang maklumat dalam Laporan Ketua Audit Negara daripada dibentangkan ke Parlimen.
"Kami menyeru Laporan Ketua Audit Negara turut dibentang dalam Parlimen bagi menunjukkan pihak PAC menjalankan tugasnya secara telus dan berintegriti," katanya.