Followers

Nuffnang

Episode Sebuah Perjuangan

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:12 PG | Posted in

sumber :-

Episode Sebuah Perjuangan


Bagaimana PAS Berjuang?

Posted: 29 Apr 2016 01:26 PM PDT

Menjawab persoalan ini, terlebih dahulu kita kena kenali PAS melalui objektif, hala tuju, dasar dan matlamat penubuhan serta perjuangannya.

Objektif penubuhan PAS termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal ke 5 di bawah tajuk "Tujuan PAS" ialah :-
  1. "Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah"
  2. "Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara"

Hala tuju PAS atau arah mana PAS bergerak bagi mencapai matlamat perjuangan ini boleh difahami dan dihayati melalui usaha-usaha amal Islami yang dilakukan oleh PAS sebagaimana yang tertera dalam Fasal ke 6 Perlembagaan PAS di bawah tajuk "Usaha-Usaha PAS" :-
  1. Menyeru umat manusia kepada Syari'at Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
  2. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari'at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
  3. Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
  4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.
  5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.
  6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
  7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.
  8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.
  9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.
  10. Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
  11. Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.
PAS tegak di atas dasar perjuangan yang jelas dan bersifat qate'i. Ia tidak akan diubah atau dipinda lagi. Ubah dasar ertinya tiadalah lagi erti perjuangan Islam yang dilaungkan oleh PAS selama ini. Justeru itu dasar ini bukan sahaja diperjuangkan malah wajib dipertahankan. 
Rujuk Perlembagaan PAS Fasal ke 3 :-

"Dasar PAS ialah Islam"

Matlamat PAS pula terbahagi kepada dua. Pertama ialah matlamat semasa atau matlamat jangka pendek. Matlamat semasa ini juga boleh disebut sebagai objektif iaitu suatu yang menjadi jawapan kepada "kenapa" dan "mengapa" PAS berjuang? Menjawab persoalan "kenapa" dan "mengapa" tersebut, ia telah dimuktamadkan oleh Perlembagaan PAS melalui Fasal ke 5 di bawah tajuk tujuan-tujuan PAS. Sementara bahagian kedua ialah matlamat akhir atau matlamat jangka panjang. Ia adalah matlamat yang bersifat abadi dan kekal. Matlamat jangka panjang ini adalah manifestasi dari apa yang disebut sebagai seruan PAS sepertimana yang ditintakan dalam Fasal ke 4 Perlembagaan PAS iaitu "Seruan PAS ialah Allahu Akbar".
"Allahu Akbar" ertinya Allah Yang Maha Besar, Yang Maha Agung dan Yang Maha Berkuasa mengatasi segalanya. Justeru itu, hidup mati kita sebagai manusia amnya dan sebagai muslim khasnya mestilah kembali kepada Allah. Kembali dengan redha Allah bukan kembali dengan murka Allah. Membesarkan hak-hak Allah dalam erti kata memperjuangkan risalah-Nya.

Kesimpulan mudah, matlamat akhir kita hidup di bumi fana' ini ialah mencari atau mendapatkan Mardhatillah (Keredhaan Allah). Justeru itu salah satu dari lima slogan pejuang Islam sepanjang zaman telah memuktamadkan matlamat akhir sebagai "Allahu Ghaayatuna" bermaksud "Keredhaan Allah Matlamat Kami". Slogan ini bukan sahaja menjadi lafaz yang diungkap pada bibir tetapi wajib mendarah-daging di dalam jiwa setiap para pejuang Islam. Lima slogan tersebut ialah;
الله غايتنا
"(Keredhaan) Allah Matlamat Kami"

القرآن دستورنا
"Al-Quran Perlembagaan Kami"

الرسول قدوتنا
"Rasul Ikutan Kami"

الجهاد سبيلنا
"Jihad Jalan Kami"

الموت في سبيل الله أسمى أماننا
"Mati Di Jalan Allah Cita-Cita Tinggi Kami"

PAS Adalah Gerakan Islam

PAS tentu sahaja berbeza dengan parti-parti politik yang lain. Justeru PAS adalah sebuah badan, jamaah atau gerakan yang ditubuhkan untuk melestarikan perjuangan Islam di bumi bertuah ini. Para alim ulama' PAS terdahulu lantas berijtihad dengan mengambil pendekatan atau langkah berjuang secara aman dan damai. Iaitu "Muwaajahah Silmiyah" (berdepan dengan pihak lawan secara aman), bukan secara perang, revolusi atau subversif.

Bermula dari situ, PAS akhirnya didaftarkan sebagai sebuah parti politik bagi membolehkan ia berjuang jauh ke hadapan mengambil lunas demokrasi lalu menyertai pilihanraya untuk bersaing secara aman dan sihat ke arah mendapatkan kuasa dan mandat rakyat.

Memahami asal usul PAS, jelas kepada kita bahawa PAS tidak terhenti orientasinya sebagai sebuah parti politik semata-mata sebagaimana parti politik yang lain. Sebaliknya PAS melunaskan kesyumulan perjuangan Islam secara seimbang dan sepadu dengan tiga aplikasi yang telah menjadi identiti PAS.

Anggota PAS sama ada pemimpin mahupun ahli biasa bertanggungjawab menggerakkan wadah perjuangan Islam ini menerusi tiga aplikasi tersebut secara seimbang dan sepadu melalui portfolio yang telah ditetapkan dalam organisasi PAS. Dasar, matlamat, objektif, halatuju dan aktiviti PAS diterjemahkan secara bijak dengan tiga aplikasi perjuangannya :-
  1. Tarbiyah
  2. Dakwah
  3. Siasah
Intima' atau penyertaan ahli PAS akan diisi dengan pentarbiyahan berasaskan silibus yang telah ditetapkan oleh Lajnah Tarbiyah PAS Pusat. Tarbiyah secara langsung direalisasikan melalui aktiviti seperti usrah, tamrin, liqa' fikri, mukhayyam, kuliah, ceramah, ziarah dan taklimat khas. Tarbiyah PAS juga boleh dikecapi secara tidak langsung melalui ujian atau tribulasi yang dihadapkan kepada PAS tanpa henti di sepanjang tempoh perjuangannya. Bunuh, buang daerah, penjara, jauh perjalanan dan cabaran getir semasa berjuang menjadi sunnah atau tabiat perjuangan yang terpaksa didepani dengan tabah dan sabar oleh semua anggota PAS.

Tabiat atau sunnah perjuangan ini telah ditatah oleh Allah di dalam wahyunya. Tiga daripadanya (penjara, bunuh dan buang daerah) termaktub di dalam firman Allah;
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
"Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir merancang untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka merancang dan Allah juga merancang dan Allah sebaik-baik perancang."

Sementara dua daripada tabiat perjuangan tersebut (jauh dan sukar) terdapat di dalam firman Allah;
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ
"Jika perjuangan ini suatu destinasi yang dekat dan satu perjalanan yang hampir, nescaya mereka akan mengikutmu (wahai Muhammad saw) tetapi ianya jauh dan terlalu sukar dirasakan oleh mereka."

Sebagai sebuah Gerakan Islam, dakwah juga menjadi prioriti kepada PAS. Memahamkan rakyat mengenai Islam dan memposisikan Islam pada tempat yang selayaknya adalah urusan PAS yang utama. Mementaskan dakwah di arena politik bukan suatu yang mudah bahkan sentiasa berdepan dengan fitnah. Namun ia adalah satu kewajipan dan perjuangan yang mesti direalisasikan dengan penuh hikmah, tegas dan tabah mendepani cabaran semasa.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat (pengajaran) yang baik, dan berbahaslah dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah (petunjuk)."

Justeru itu, PAS tidak memisahkan orientasi politiknya daripada kerja-kerja dakwah. Malah dakwah adalah sarana dan mekanisme utama PAS dalam menggerakkan agenda penyelesaian dan perubahan yang total menepati perintah Allah dan Rasul-Nya. Prinsip dakwah adalah menggamit madu'u (sasaran dakwah) dan bimbing mereka ke jalan yang benar agar selamat dari murka Allah. Ia mengatasi sempadan warna kulit, bahasa lidah dan fahaman politik. Realiti ini membuatkan cabaran sentiasa sukar dan realiti sentiasa rumit buat PAS.

Sebagaimana dakwah kepada non-Muslim untuk memahamkan mereka mengenai Islam yang sebenar adalah suatu yang sukar justeru ia di luar sempadan Muslim, maka begitulah dakwah rentas sempadan parti politik bagi memahamkan mereka bagaimana Islam mengemukakan "solution" yang betul dalam pergolakan politik tanahair, adalah sukar dan penuh cabaran. Inilah perjuangan. Malah perlembagaan PAS turut menggariskan tugasan murni ini sebagai usaha yang mesti dilakukan oleh PAS, rujuk: (Fasal ke 6 Perlembagaan PAS).

PAS mesti menemui semua orang dan berusaha menyampaikan risalah perjuangannya kepada seberapa ramai manusia yang boleh dan seberapa banyak ruang yang mampu dengan pelbagai variasi penampilan dan kaedah pendekatan. Bersikap matang, berjiwa besar dan berlapang dada antara spirit yang mesti dimiliki oleh seluruh kepimpinan dan ahli PAS bagi menjayakan aplikasi dakwah di pentas politik yang mempunyai 1001 sudut ancaman dari musuh politiknya.

Manakala politik atau siasah adalah sebahagian daripada Islam sementara Islam adalah dasar perjuangan PAS. Justeru itu PAS mengambil pendekatan untuk menyertai pilihanraya bagi memanfaatkan ruang demokrasi yang ada bagi membolehkan Islam dapat didaulatkan di bumi bertuah ini. Namun, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa sistem demokrasi dan pilihanraya yang berlangsung di Malaysia ini juga bukanlah diamalkan secara patuh syariat 100%. Walaupun begitu, ini satu-satunya ruang untuk perolehan kuasa politik secara aman.

Melalui ijtihad politik para alim ulama' terdahulu, untuk memimpin kebangkitan dan gerakan perubahan rakyat secara "muwajahah silmiyah" iaitu berdepan secara aman, maka PAS mengambil keputusan menyertai pilihanraya untuk manfaatkan ruang yang masih ada guna mengembangkan risalah perjuangan Islam. Tanggungjawab PAS sangat mencabar. Bukan sahaja untuk memenangkan perjuangan Islam tetapi terpaksa jua mengislahkan sistem politik negara agar bebas dari politik kotor dan jahiliyah.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Bertolak dari noktah ini, PAS membudayakan seni politik matang dan sejahtera ke arah membina mindset baru di pentas politik Malaysia. Satu budaya politik yang bersendikan syariat dan akhlak Islami. Sekaligus memulihkan iklim politik tanahair dari jerebu politik wang, politik fitnah, politik emosi, politik dendam, politik maki hamun, politik benci, politik perkauman, politik kesat dan kasar kepada mengamalkan politik kasih sayang, politik fakta, politik realiti, politik bestari, politik harmoni, politik taqwa, politik akhlak, politik dakwah, politik kebenaran, politik matang dan sejahtera.

Cabaran ini tidak mudah untuk direntas oleh PAS. Selain daripada masyarakat awam dan pihak lawan politik, PAS juga mesti berdepan dengan usaha mematangkan ahli dan penyokong sendiri agar menghayati malah mempraktiskan budaya politik matang dan sejahtera bersendikan syariat dan akhlak Islami ini. Matlamat jangka panjang perjuangan PAS (ghayah) ialah menggapai Mardhatillah "keredhaan Allah". Ertinya politik PAS mestilah menjurus kepada redha Allah. Kita tidak mahu sekali-kali terjebak dalam politik mungkar yang memulangkan kemurkaan Allah kepada kita. Lantaran itu kita wajib menjauhkan diri dari politik maki-hamun, fitnah dan sebagainya kerana ia adalah mungkar.

Berdiri di atas tunjang ini juga, politik PAS ditegakkan atas prinsip Islam yang kukuh. Kita sekali-kali tidak akan meninggalkan Islam semata-mata mencongak kemenangan sementara di dunia. Maksudnya PAS tidak hanya memburu kemenangan di Putrajaya tetapi juga PAS mahu menang di Akhiratjaya. Matlamat jangka pendek perjuangan PAS (hadaf) ialah memenangi setiap pilihanraya yang disertai agar dapat membentuk kerajaan ataupun paling tidak, PAS boleh membawa suara Islam ke Dewan Rakyat, Dewan Negeri juga Dewan Negara.

PAS juga mempunyai dasar tersendiri mengenai hubungan dengan pihak non-muslim dan juga pergerakkan atau pertubuhan yang tidak berteraskan Islam dalam apa jua pendekatan (Tahaaluf, Ta'awun dan Tafahum Siasi) .

Tahaaluf Siasi (kerjasama politik yang diikat dengan terma syarat dan janji sepakat yang tertentu), Ta'awun Siasi (kerjasama politik berasaskan kesepakatan tertentu dalam hala tuju yang sama) atau Tafahum Siasi (persefahaman politik yang dijalin secara mesra saingan tanpa sebarang terma syarat) antara ijtihad politik PAS yang boleh diaplikasi mengikut kesesuaian semasa.

Penglibatan PAS di pentas politik tidak menjarakkan PAS daripada "enggagement" dengan pelbagai pihak. Tidak sahaja parti-parti politik, PAS juga mengambil sikap mesra ngo dan tokoh-tokoh seperti ahli akademik, pejuang bahasa, aktivis sosial dan lainnya.

Pendekatan terbaru PAS dalam mengemudi politik tanahair ialah membentuk Blok Ketiga dan ianya menjadikan lanskap politik Malaysia kian menarik setelah meletakkan rakyat lebih selesa untuk memilih. Mereka tidak lagi terhad untuk memilih salah satu antara dua. Bahkan PAS kini menjadi bahan perhatian yang "terlajak laris" untuk diperkata dan diberi perhatian oleh semua pihak kawan dan lawan. Situasi ini meletakkan PAS lebih strategik dalam menentu iklim politik negara selepas hujan politik yang lebat kembali reda.

Perjuangan PAS Memartabat Politik Matang dan Sejahtera

Posted: 29 Apr 2016 11:58 AM PDT

Transformasi imej yang sedang diolah oleh PAS bagi mendepani cabaran perjuangan dan persekitaran politik semasa hari ini telah mula menarik perhatian umum. Banyak maklum-balas telah kami terima untuk menambah baik dan mengemaskini agenda pemerkasaan parti dan transformasi imej. PAS menyambut mesra pelbagai pandangan dan saranan, sementara itu PAS terus memacu perjuangan dengan membudayakan politik matang dan sejahtera dalam semua gerakkerja dan pendekatannya.

"Politik Matang dan Sejahtera" ialah sebuah budaya berpolitik yang berasaskan kepada kematangan dalam membuat keputusan dan tindakan, berlandaskan al-Quran dan Sunnah, sesuai dengan realiti masyarakat, bermatlamatkan kesejahteraan rakyat, kemakmuran negara dan keredhaan Allah.

Terdapat pandangan sinis dilemparkan kepada PAS kononnya hari ini baru nak matang? Apakah orang terdahulu tidak matang? Apakah usaha pimpinan terdahulu tidak betul?

Transformasi imej ini adalah tindakan dan pendekatan semasa PAS mendepani cabaran. Ia bukan satu tindakan untuk menafikan apa yang dilakukan oleh mereka terdahulu. Sebaliknya pendekatan dan tindakan pimpinan atau generasi terdahulu adalah terbaik dan sesuai pada zaman mereka. Semoga Allah melimpahkan ganjaran sewajarnya atas usaha mereka memperjuang dan mempertahankan Islam bersama PAS, jua diampunkan segala kesalahan mereka terdahulu.

Islam mengajar kita menghiasi diri dengan akhlak terhadap generasi terdahulu. 

Firman Allah;
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata; Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu." (surah al-Hasyr: ayat 10)
PAS adalah sebuah gerakan Islam yang didaftarkan sebagai sebuah parti politik dan mengambil ruang demokrasi untuk menyampaikan dakwah Islam serta mendaulatkan syariat di bumi Malaysia ini. PAS tidak memilih gerakan revolusi atau gerakan subversif sebaliknya PAS mengambil pendekatan secara aman dan damai untuk menjana kemenangan dalam pilihanraya bagi memiliki kuasa politik ke arah merealisasikan perubahan pada dasar dan sistem negara.
Strategi umum "Muwajahah Silmiyah" dalam pendekatan PAS untuk memenangi pilihanraya berpaksikan kepada dua nokhtah;
  1. Memenangi hati rakyat bahawa PAS parti yang terbaik
  2. Meyakinkan rakyat bahawa PAS mampu memerintah
Justeru, kematangan dan kesejahteraan politik yang dipersembahkan oleh PAS untuk menjayakan strategi umum "Muwajahah Silmiyah" tersebut adalah dengan mempraktiskan wahyu Allah;
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
"Maka dengan sebab rahmat dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lunak terhadap mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." (surah Aali-Imran: ayat 159)

Hayatilah sifat dan sikap yang digariskan oleh Allah dalam ayat di atas. Kita biasa dengar orang berkata politik itu kotor. Malah mereka tidak percaya kepada ahli politik. Walhal, yang kotor itu ialah sebahagian ahli politik kerana mereka gagal berpolitik berasaskan akhlak Islami, ataupun mereka mewarisi subjek politik peninggalan penjajah yang nyata sebenarnya terpisah dari nilai dan didikan wahyu Allah.

Tentu sahaja politik warisan penjajah adalah berteraskan politik penaklukan, permusuhan, peperangan, perebutan kuasa, bolot kekayaan yang kemudiannya menelurkan budaya politik perkauman, politik fitnah, politik emosi tanpa kawal, politik kebencian, politik retorik, politik persepsi, politik menghalalkan cara, politik syak wasangka, politik kemasyhuran, politik keras kepala, politik angkuh dan 1001 jenis politik negatif yang mempalit stigma "politik itu kotor".

Kini PAS sedang mengorak langkah untuk menerajui anjakan budaya politik negara, daripada politik konvensional tinggalan penjajah kepada meletakkan prinsip politik Islam berteraskan panduan al-Quran dan Hadis Nabi. Langkah ini adalah membersihkan politik negara dari budaya negatif dan digantikan dengan budaya politik yang matang dan menepati syara'. 
Negara kita perlu anjakan budaya politik ini demi pembinaan tamadun atau peradaban yang hebat pada masa depan. PAS mengambil tanggungjawab ini dengan penuh sedar bahawa negara tercinta ini memerlukan perubahan yang total dan optimis bahawa ia boleh dilakukan dengan baik dan berkesan di bawah sinar petunjuk wahyu Allah dan sunnah Nabi-Nya sallallahu'alaihi wasallam.

Realiti Budaya Masyarakat Malaysia

Menganalisa kedudukan sosio-budaya masyarakat Malaysia, kita dapati secara umumnya ia terbentuk dengan sifat lemah-lembut dan sopan-santun, sesuai dengan sejarah kemasukan Islam dan kemerdekaan negara. Justeru itu, rata-rata rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan budaya ini mulai bosan serta jemu dengan karenah dan budaya politik yang agresif, kasar, kesat, fitnah, adu-domba dan akhirnya membawa kepada perpecahan serta benci membenci antara satu sama lain.

Ternyata negara sangat memerlukan anjakan budaya politik kepada yang lebih matang, sejahtera, bertanggungjawab dan harmonis. PAS sebagai sebuah parti politik Islam sangat memahami realiti ini lantas segera memposisikan diri untuk menerajui budaya politik matang dan sejahtera. Pendekatan ini adalah lebih sesuai bagi PAS sebagai sebuah gerakan tarbiyah, dakwah dan siasah serta dalam masa yang sama, pendekatan ini lebih dekat di hati masyarakat. 
Terlalu banyak kepentingan yang boleh diraih melalui amalan budaya politik matang dan sejahtera, paling menonjol ialah;
  1. Mengekang berlakunya ketidakadilan
  2. Mengelak penyalahgunaan kuasa
  3. Menghindari ketidakstabilan politik
  4. Menghindari kemelesetan ekonomi
  5. Menghindari keruntuhan sosial
  6. Menamatkan perselisihan rakyat
  7. Mengurangkan pembaziran masa
  8. Mengelakkan campurtangan asing
  9. Menggalakkan budaya politik ilmu
  10. Menyuburkan budaya politik fakta
  11. Mendidik rakyat buat keputusan berasaskan maklumat yang benar
Marilah kita hayati sejenak firman Allah dari petikan surah al-Nuur ayat 55. Betapa politik yang berpaksikan kepada iman dan amal soleh akan mengutuhkan kedudukan dan mengukuhkan kuasa.
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
"Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang yang sebelum mereka khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka."

Kriteria-Kriteria Politik Matang dan Sejahtera

Politik matang dan sejahtera yang diterajui oleh PAS sewaktu mengemudi halatuju perjuangan Islam dewasa kini dikemukakan dengan beberapa kriteria yang mesti difahami, dihayati serta dipraktiskan oleh setiap anggota parti sama ada pemimpin ataupun ahli biasa.

Kriteria Pertama : Bertunjangkan Prinsip
Prinsip perjuangan PAS pasti sahaja berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah. Justeru itu, apa jua keputusan PAS mestilah menepati syarak. Ini adalah prinsip yang tidak boleh bertolak-ansur padanya. PAS menolak sebarang keputusan dan tindakan yang berasaskan "matlamat menghalalkan cara". Sebaliknya hanyalah cara yang halal akan digunakan untuk mencapai matlamat perjuangan Islam.
Tindakan bertunjangkan prinsip akan menyelamatkan PAS dari situasi flip-flop ketika membuat keputusan dan tindakan. Malah lebih tegas, ia mesti konsisten di atas prinsip Islam yang diperjuangkan, meskipun dilihat sebagai tindakan yang tidak popular di kalangan pengundi mahupun parti-parti politik. PAS tetap akan mempertahankan prinsip-prinsip Islam atau keputusan politik yang disepakati bersama selagi tidak melewati kerangka syarak.

Perjuangan PAS bukan sekadar mendepani UMNO dan BN. Tidak juga sekadar berpada untuk mendapatkan Putrajaya dari tangan UMNO dan BN. Perjuangan PAS adalah jauh lebih besar dan penting dari itu. Ia adalah sebuah perjuangan untuk menyebarkan risalah Islam, menyelamatkan ummah dari perangkap jahiliyyah dan mendaulatkan syariat Islam serta meninggikan kalimah Allah di atas tanahair tercinta ini.

Terdapat kekeliruan apabila ada pihak-pihak tertentu yang berhujjah, kita mesti menang dulu. Jangan gopoh untuk bercakap hal Islam dan jangan tergesa-gesa untuk memperjuangkan Islam. Apa yang penting buat masa ini ialah memburu kemenangan walau dengan apa cara sekalipun. Kita mesti menang dan selepas menang barulah kita boleh bercakap mengenai pelaksanaan Islam. Kalau tidak menang, bagaimana kita mahu melaksanakan Islam?

Hujjah sebegini mampu mengelirukan sebahagian dari kita dan akhirnya lari meninggalkan PAS kerana tidak berpuas hati dengan "kedegilan" PAS untuk terus bercakap mengenai Islam secara terbuka termasuk usaha untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di Kelantan. Menyingkap kekeliruan ini, marilah kita meneliti Manhaj Nabawi, bagaimana Nabi kita Muhammad sallallahu'alaihi wasallam berjuang? Apakah Baginda sallallahu'alaihi wasallam memburu kemenangan dengan meninggalkan prinsip perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh Baginda sallallahu'alaihi wasallam? 
Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam pernah mendapat tawaran yang hebat dari Utbah bin Rabiah mewakili Kerajaan Kuffar pada masa itu. Kata Utbah (Abal Walid) ;
يا ابن أخي، إن كنت إنما تريد بما جئت به من هذا الأمر مالا جمعنا لك من أموالنا حتى تكون أكثرنا مالا، وإن كنت تريد به شرفا سودناك علينا، حتى لا نقطع أمرا دونك، وإن كنت تريد به ملكا ملكناك علينا؛ وإن كان هذا الذي يأتيك رئيا تراه لا تستطيع رده عن نفسك، طلبنا لك الطب، وبذلنا فيه  أموالنا حتى نبرئك منه
"Wahai anak saudaraku, jika engkau berjuang ini kerana mahukan harta, kami sedia kumpulkan harta-harta kami dan diserahkan kepadamu sehingga engkau menjadi orang paling kaya di kalangan kami. Jika sekiranya engkau berjuang ini kerana mahu menjadi pemimpin, kami sedia lantik engkau jadi pemimpin sehingga kami tidak memutuskan sebarang keputusan melainkan mendapat persetujuanmu. Jika sekiranya engkau berjuang ini kerana mahu menjadi raja, kami sedia menabalkan engkau menjadi raja yang memerintah kami. Jika sekiranya engkau dirasuk suatu yang engkau sendiri tidak mampu menghadapinya, kami sedia menyediakan tabib untuk merawatmu dan kos ditanggung oleh kami sehingga engkau sembuh." (Sirah Ibnu Hisyam)

Jika teori menang dulu (matlamat material) itu suatu yang praktis dan rasional, pastinya Nabi sallallahu'alaihi wasallam menerima tawaran menjadi kerajaan atau sebahagian dari kerajaan. Tetapi Nabi sallallahu'alaihi wasallam menolak semua tawaran untuk berkuasa sebaliknya terus bersama Islam yang diperjuangkan oleh Baginda sallallahu'alaihi wasallam.

Hayati jua peringatan Baginda sallallahu'alaihi wasallam. Jangan sekali-kali tinggalkan Islam dalam apa jua posisi kita. Memburu kepentingan politik jangan sampai melunturkan nilai pegangan dan amalan Islam. Sabda Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam ;
أَلَا إِنَّ رَحَى الْإِسْلَامِ دَائِرَةٌ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ، أَلَا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ، فَلَا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ، أَلَا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لِأَنْفُسِهِمْ مَا لَا يَقْضُونَ لَكُمْ، إِنْ عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ، وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، كَيْفَ نَصْنَعُ؟ قَالَ كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ، مَوْتٌ فِي طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ
"Ketahuilah sesungguhnya roda Islam itu berputar. Maka berputarlah bersama al-Kitab (Islam) sekira-kira bagaimana ia berputar. Ketahuilah sesungguhnya al-Kitab dan Pemerintah dua perkara yang berbeza. Maka jangan memisahkan diri dari al-Kitab (Islam). Ketahuilah sesungguhnya kamu akan mendepani pemerintah yang memerintah untuk kepentingan mereka bukan untuk menjaga kepentingan kamu. Jika kamu mengingkari mereka, mereka akan bunuh kamu dan jika kamu mentaati mereka, mereka akan menyesatkan kamu. Lalu sahabat berkata; Ya Rasul Allah, (apabila kami bertemu dengan situasi begini) apa yang harus kami lakukan? Nabi sallallahu'alaihi wasallam menjawab; Jadilah sebagaimana sahabat-sahabat Nabi Isa ibnu Maryam, jasad mereka digergaji, digantung pada kayu salib (namun mereka tetap bersama Islam). Mati dalam keadaan taat kepada Allah lebih baik dari hidup derhaka kepada Allah." (Riwayat al-Tabarani)

Perjuangan PAS bertunjangkan nas dan hujjah syarak. Inilah juga prinsip yang menunjangi keputusan dan tindakan PAS. Kita tidak berjuang kerana amarah dan kebencian yang meluap terhadap satu pihak. Bahkan perjuangan kita tidak boleh meniti di atas dendam kesumat meskipun terhadap musuh.

Perjuangan bertemakan Asal Bukan UMNO (ABU) adalah salah justeru ia memberi maksud, asal bukan UMNO maka nasionalis pun tidak mengapa, kapitalis pun tidak mengapa, sosialis pun tidak mengapa, apa yang penting asalkan bukan UMNO. Pendirian sebegini adalah salah. Prinsip yang benar ialah "Asalkan Islam". "Aslim Taslam", kamu terima Islam kamu selamat.

Hayati hadis Nabi sallallahu'alaihi wasallam dari Abi Musa al-Asya'ari radhiyallaahu'anhu yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari :-
 قَالَ أَعْرَابِيٌّ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ ((وفي رواية يقاتل حميةً و يقاتل شجاعةً و يقاتل غضباً)) فمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ. فَقَالَ، مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
"Seorang A'rabi telah bertanya kepada Nabi sallallahu'alaihi wasallam. Seseorang berjuang kerana mahu mendapatkan habuan harta rampasan perang. Ada yang berjuang supaya dirinya disebut-sebut orang. Ada yang berjuang untuk dilihat kedudukannya. ((Dalam riwayat yang lain : ada yang berjuang kerana mahu dapatkan perlindungan, ada yang berjuang kerana mahu tunjuk berani dan yang berjuang kena marah/benci)). Maka siapakah yang berjuang di jalan Allah? Maka jawab Nabi sallallahu'alaihi wasallam : Sesiapa yang berjuang bagi meninggikan kalimah Allah maka dia-lah yang berjuang di jalan Allah."

Kriteria Kedua : Politik Dakwah
PAS adalah sebuah Gerakan Islam yang berdaftar sebagai sebuah parti politik yang sah bagi membolehkan ia beroperasi di pentas demokrasi negara menepati ijtihad para alim ulama' terdahulu yang meletakkan konsep perjuangan PAS berasaskan Muwajahah Silmiyah (berjuang secara aman). 
Bermula dari noktah ini, PAS berjuang dengan tiga method atau sistem gerakkerjanya secara seimbang dan sepadu iaitu :-
  1. Gerakan Tarbiyah (pembinaan dalaman)
  2. Gerakan Dakwah (pembinaan luaran)
  3. Gerakan Siasah (pembinaan sultah/kedaulatan)
Memanfaatkan ruang-ruang demokrasi yang ada, PAS tampil membawa risalah Islam kepada semua masyarakat sama ada Muslim mahupun mereka yang belum lagi Muslim. Justeru Islam diturunkan oleh Allah untuk diterima dan diamalkan oleh seluruh umat manusia. Siapa jua yang menerima Islam, pasti sahaja ia selamat di dunia dan juga di akhirat. "Aslim Taslam" (kamu terima Islam, kamu selamat dunia dan akhirat)

Bagi umat Islam mereka wajib mengamalkan Islam dan seluruh syariatnya selepas ia menerima dan mengucap dua kalimah syahadah. Sementara mereka yang belum menganut ajaran Islam, mereka tidak boleh dipaksa menganut Islam sebaliknya mereka diberi hak untuk terus menganut agama mereka. Namun mereka boleh berada dibawah sistem pemerintahan Islam sementara hak keselamatan, kebajikan dan beribadah mengikut tatacara agama mereka, menjadi urusan wajib pemerintahan Islam ke atas mereka.

Politik PAS tidak berorientasikan ketamakan kuasa. PAS tidak meletakkan kuasa itu segalanya. Tetapi apa menjadi asas perjuangan PAS ialah berdakwah dan berusaha untuk menyelamatkan manusia daripada api neraka Allah dengan Islam dan mengusahakan agar wujud sebuah pemerintahan dan masyarakat yang terlaksana padanya sistem, dasar dan hukum Islam yang menuju keredhaan Allah. Hal ini sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan PAS fasal 5 di bawah tajuk tujuan-tujuan PAS.

Ini bermaksud, siapa pun yang diberi mandat sebagai pemerintah dan mereka melaksanakan sistem pemerintahan Islam yang adil serta saksama, maka PAS pasti akan mendukung malah membantu pemerintahannya. Justeru perjuangan PAS hanyalah untuk meninggikan kalimah Allah (mendaulatkan syariat Islam), bukan berebut untuk menduduki takhta pemerintahan. Adapun situasi berdepan dengan sebuah pemerintahan yang tidak melaksanakan sistem pemerintahan Islam, PAS akan terus berjuang, berdakwah dan berperanan untuk memastikan Islam dapat didaulatkan. Peranan tersebut dinyatakan seperti berikut;
  1. Memberi nasihat dan bimbingan secara berterusan, bagaimana Islam itu boleh dilaksanakan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara.
  2. Berjuang menegakkan syariat (amar makruf) dalam apa jua kesempatan dan ruang yang boleh dilakukan oleh PAS pada tahap keupayaan yang dimiliki.
  3. Menegur, mengkritik, membantah dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) dan menentang kezaliman yang berlaku sama ada dalam aspek sosial, ekonomi mahupun politik. Sekalipun kemungkaran itu dilakukan oleh pemerintah, PAS tegas menyatakan kebenaran.
  4. Menggerak agenda perubahan total (al-taghyir) ke arah mendaulatkan syariat Allah secara berterusan. Terutama apabila PAS berdepan dengan sebuah pemerintahan yang degil dan enggan melaksanakan Islam malah memusuhi Islam.
Peranan-peranan tersebut adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi sallallahu'alaihi wasallam;
أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
"Jihad yang paling afdhal ialah berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim." (Riwayat al-Tirmidzi)

PAS akan terus berdakwah bagi menyedarkan masyarakat dan memimpin kebangkitan mereka ke arah sebuah perubahan yang menepati manhaj perjuangan Nabawi kerana dasar perjuangan PAS ialah Islam, PAS akan sentiasa bersama Islam dan kepentingannya dalam apa jua situasinya, sama ada ketika memerintah ataupun ketika menjadi rakyat di sesebuah negara. Kepentingan politik PAS terhenti di atas Islam yang diperjuangkan demi mencari keredhaan Allah. Kaedah "Matlamat Menghalalkan Cara" ditolak oleh PAS. Meskipun PAS berjuang bersungguh-sungguh supaya menang, namun kalah menang dalam perjuangan ini, PAS tetap memilih untuk bersama Islam.

Memerintah bersama Islam, ke Putrajaya bersama Islam, malah kalah sekalipun PAS tidak akan meninggalkan Islam semata-mata untuk mencongak jalan mudah ke mercu kuasa. Dakwah PAS berterusan dan mensasarkan semua pihak. Mad'u (sasaran dakwah) PAS bukan musuh PAS. PAS tidak memusuhi individu sebaliknya PAS memusuhi kepercayaan dan pegangan yang bercanggah dengan Islam. 

Peranan dakwah PAS secara umumnya saling tidak tumpah dengan peranan doktor yang bekerja keras untuk menyelamatkan pesakit dan membebaskan pesakit dari penyakit yang memudaratkan. Doktor tidak pernah memusuhi pesakitnya dan da'i (pendakwah) tidak pernah memusuhi mad'unya (sasaran dakwah). PAS untuk semua dan berjuang menegakkan keadilan untuk semua.

Kriteria Ketiga : Amar Makruf Nahi Mungkar
PAS menjadi sandaran ummah untuk menegakkan al-Makruf (Syari'ah) dan memerangi mungkar yang berlaku dalam negara kita, sama ada yang melibatkan segmen sosial mahupun politik dan ekonomi. Ia adalah komitmen PAS yang tidak berbelah bahagi. 
Justeru inilah tugas yang sewajarnya dilakukan untuk membina "Malaysia Sejahtera" yang selamat, aman dan harmoni serta mendapat keampunan daripada Allah. Bahkan inilah tugas utama sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat. Peranan ini termaktub dalam firman Allah;
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (surah al-Hajj: ayat 41)

Al-Makruf tidak bermaksud amal kebajikan semata-mata sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan. Sebaliknya al-Makruf adalah merangkumi semua aspek amal Islami yang diperintah perlaksanaannya oleh Allah. Para mufassir sebahagiannya menakrifkan al-Makruf sebagai al-Syari'ah. Justeru menegakkan al-Makruf ataupun Syari'ah dan memperjuangkannya agar ia tegak di atas tanahair kita adalah menjadi tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Ia menjadi solusi utama kepada pelbagai bentuk kegagalan sistem ciptaan manusia.

Seiringan dengan usaha gigih untuk menegakkan al-Makruf, kita wajib mengerahkan kegigihan yang serupa malah perlu dilipat ganda untuk menentang kemungkaran. Lantaran kemungkaran adalah virus yang merosakkan semua usaha menegakkan amal Islami (al-Makruf) di dalam diri kita, masyarakat mahupun negara. Khasnya kemungkaran politik dan ekonomi (tanpa menafikan kesan buruk kemungkaran sosial) mesti dibasmi secara bersungguh-sungguh dan istiqamah serta teliti strateginya, terancang hala tujunya, cermat tindakannya dan berhemah langkahnya.

Politik yang digerakkan oleh PAS sekali-kali tidak akan dibenarkan merempuh sempadan syariat. Politik menghalalkan cara adalah satu contoh kemungkaran politik yang ditentang oleh PAS. Maksudnya kematangan berpolitik PAS tidak hanya memburu kemenangan tanpa peduli batas halal dan haram, sebaliknya ia menjadi prinsip utama bahawa jalur politik PAS adalah berlandaskan "Manhaj Nabawi".

Kemungkaran yang melanda negara mutaakhir ini semakin parah khasnya kemungkaran politik dan ekonomi. Ummah mesti bangkit melakukan perubahan sesuai dengan arahan Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam ;
مَن رَأى مِنكُم مُنكَرَاً فَليُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِقَلبِه وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإيمَانِ
"Barangsiapa dari kalangan kamu yang menyaksikan kemungkaran maka hendaklah ia ubah dengan tangannya, jika sekiranya tidak mampu maka ubahlah dengan lidahnya, jika sekiranya tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya, sedemikian itu adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

Perubahan tidak akan berlaku tanpa kebangkitan ummah melunaskan al-Amru bi al-Makruf wa al-Nahyu an al-Mungkar seperti mana yang ditegaskan oleh Allah;
 إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (surah al-Ra'du: ayat 11)

PAS mengambil tanggungjawab bagi menggerakkan kempen atau dakwah untuk menyedarkan ummah sekaligus memimpin dan memandu gerakan perubahan agar ia berlangsung dengan jaya tanpa mengundang murka Allah.

Kriteria Keempat : Fokus Penyelesaian Islam
Layaknya sebagai sebuah Gerakan Islam, PAS memposisikan dirinya sebagai sebuah parti yang konstruktif. Setiap kelemahan, kesalahan mahupun kepincangan pihak pentadbiran kerajaan mahupun pemerintahannya tidak hanya dibantah atau dibangkang semata-mata, tetapi sebaliknya PAS bertanggungjawab mengemukakan penyelesaian. 
Penyelesaian yang berasaskan pedoman syariat dan prinsip Islam adalah kriteria penting bukan sahaja untuk merealisasikan politik matang dan sejahtera tetapi juga menepati aspirasi politik Islam itu sendiri, "Islam itu adalah penyelesaian".
الإسلام هو الحل

Islam tidak hanya menyelesaikan masalah ritual agama sebagaimana difahami oleh kebanyakan, sebaliknya penyelesaian Islam turut merangkumi politik, ekonomi dan sosial. Pastinya Islam sarat dengan pelan dan jalan penyelesaian terhadap apa jua masalah yang sedang dihadapi oleh negara, pemimpin dan rakyatnya. Sebagai contoh mudah, belenggu yang menjerut politik dan ekonomi negara dewasa kini telah habis forum didebatkan, habis wacana didiskusikan. Sang politikus di pentas debat mereka, para akademik di dewan kuliah mereka dan hamba rakyat di majlis rapat umum mereka, namun negara masih buntu mencari formula menangani kemelut politik dan krisis ekonomi yang kian parah.

Islam sebagai petunjuk dan wahyu dari Tuhan yang Maha Mencipta telah jelas memberi pedoman dan panduan. 

Firman Allah;
 وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا
"...Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari kemelut dan krisis yang melanda)."

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
"...Serta memberinya rezeki (menyuburkan ekonomi) sekira-kira ia tidak tahu dari arah mana datangnya rezeki itu. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (surah al-Tholaq: ayat 2 - 3)

"Ekonomi" dan "Politik Taqwa" perlu diperinci, dan dimodulkan secara sistematik lalu diterap-laksanakan dalam penguatkuasaan pentadbiran dan sistem pemerintahan negara. Ke arah membentuk sebuah negara yang aman dan maju namun dalam masa yang sama mendapat keampunan daripada Allah. Ia mesti menjadi satu solusi yang boleh digarap secara lebih halus dan hikmah sama ada secara langsung kepada pihak pemerintah mahupun dikemukakan kepada umum sebagai proses pendidikan politik dan anjakan paradigma seraya membentuk kesediaan rakyat untuk berubah dan keluar dari serkup pemikiran lapuk dan purba.

Bermula dari kepimpinan PAS dan seluruh anggota PAS, juga mesti melangkah dengan jiwa besar dan akal yang hikmah untuk memimpin perubahan dan kebangkitan rakyat ke arah membina "Malaysia Sejahtera". Tidak hanya memburu "political mileage" tetapi lebih bermaksud untuk memartabatkan perubahan total, maka PAS mengambil tanggungjawab penuh meletakkan keseimbangan dalam perjuangan yang didukung iaitu komited menentang segala kemungkaran dalam ekonomi, politik dan sosial namun dalam masa yang sama kita turut bertanggungjawab mengemukakan pelan dan formula penyelesaian.

Kriteria Kelima : Pertentangan Dasar Bukan Pertentangan Fizikal
Perjuangan Islam tidak memusuhi sosok tubuh dan rupa wajah. Malah nama dan latar belakang kaum, bangsa dan bahasa bukan persoalan. Itu adalah ciptaan dan anugerah Allah yang tiada siapa berhak mempertikaikannya. 
Islam datang bukan merubah nama, rupa wajah, kaum, bangsa dan bahasa, tetapi sebaliknya Islam membetulkan kefahaman, meluruskan pemikiran dan memurnikan pegangan hidup agar menepati apa yang dikehendaki oleh Allah sebagai Tuhan yang Maha Mencipta.

Berdiri atas manhaj inilah Islam membimbing dan mendidik manusia biarpun sehodoh mana wajahnya kerana Allah tidak memandang rupa wajah, biarpun sejahat mana perilakunya kerana pintu taubat Allah terbuka luas buat hamba-Nya. Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu'alaihi wasallam adalah untuk menyelamatkan manusia dari api neraka Allah bukan meninggalkan mereka terkapai-kapai di tepi jurang neraka jahannam. Islam tidak mengajar umatnya berdengki-dendam. Justeru itu ;
  1. Allah menghantar Nabi Allah Musa menemui Firaun yang zalim dan kejam untuk mengajaknya beriman kepada Allah menggunakan kalimah yang lunak sedang Allah Maha Mengetahui bahawa Firaun akan kekal kufur sehingga matinya.
  2. Nabi kita Muhammad sallallahu'alaihi wasallam mendoakan agar Islam diperkuatkan oleh salah seorang dari dua Umar sedang kedua-dua Umar pada waktu itu tegar memusuhi Islam. Sehingga akhirnya Allah memilih Umar Ibnu al-Khattab untuk memperkuatkan Islam sementara Umar ibnu al-Hisyam (Abu Jahal) kekal kufur.
  3. Hari pembukaan Kota Makkah, Nabi sallallahu'alaihi wasallam membebaskan musyrikin Makkah dari sebarang hukuman balas atau dendam kesumat. Malah dengan penuh kasih sayang Nabi sallallahu'alaihi wasallam berkata (mafhumnya), "Siapa yang berada di dalam rumahnya maka dia selamat, siapa yang masuk rumah Abu Sufyan maka dia selamat dan siapa yang masuk Masjidil Haram maka dia selamat".
Kita sebagai pejuang Islam sewajarnya menghayati manhaj ini agar perjuangan kita tidak dipengaruhi dendam dan kebencian sehingga kita menjauhkan diri daripada mad'u (sasaran dakwah). Sebaliknya berusaha mendekati semua orang bagi memasarkan Islam yang kita perjuangkan ini. Lihat bagaimana pendekatan Para Sahabat Nabi, saat mereka lemah dan ditindas, mereka berhijrah menemui Najaasyi, raja yang menganut agama Nasrani. Walaupun asal mereka ingin mendapatkan perlindungan di bawah pemerintahan Najaasyi, tetapi akhirnya prinsip Para Sahabat ang dipimpin oleh Jaafar bin Abi Talib pada waktu itu membuatkan Najaasyi akhirnya menerima kebenaran Islam.

Sejarah juga menarik untuk dikaji bagaimana Islam dengan pendekatan para alim ulama'nya berjaya menunduk dan meng-Islamkan bangsa yang menjajah mereka dengan kejam.
  • Siapa tidak tahu dengan Dinasti Hulagu Khan yang menghancurkan pusat peradaban Islam Baghdad pada tahun 1258 malah tentera Monggol yang dipimpinnya membunuh dan merogol penduduk Kota Baghdad dengan begitu sadis. Namun ringkasnya, bangsa Monggol yang ganas dan kejam itu kemudiannya menerima Islam agama yang mereka jajah dan menjadi pejuang Islam yang handal dalam sejarah moden.
  • Kisah perang salib yang memaparkan bagaimana tingginya akhlak Sultan Salahudin al-Ayyubi yang menghantar tabib merawat Richard The Lionheart yang cedera parah (setengah kisah meriwayat bahawa Salahudin sendiri menyamar sebagai tabib), akhir menyaksikan Richard The Lionheart terpaksa patah balik ke England seraya berkata, "...hari ini kita tewas bukanlah kerana kekuatan jumlah umat Islam tetapi kerana kekuatan akhlak Salahudin al-Ayubi".
Situasi dan tempat kita berjuang hari ini, tidak lagi menggunakan senjata. Bukan sahaja alim ulama' kita berijtihad untuk memperjuangkan Islam ini secara Muwajahah Silmiyah (mendepani lawan secara aman) bahkan sememangnya musuh Islam tidak menggunakan senjata untuk menghadapi kita. Sebaliknya mereka menyerang Islam melalui pemikiran, kebudayaan, sosial dan peradaban. 

Menghadapi serangan pemikiran ini, kita tidak perlu menghunus pedang atau menghalakan senjata api ke dada musuh, sebaliknya kita mesti menguasai hujjah dan memiliki keupayaan budi bahasa yang tinggi untuk memenangi hati mereka melalui prinsip dan akhlak Islam yang jitu agar mereka menyokong dan mengundi perjuangan Islam di bumi Malaysia ini.

Politik dakwah menjadi salah satu sarana utama dalam mendepani serangan pemikiran. Malah selain dari keutuhan ilmu, kebijaksanaan tindakan dan penguasaan psikologi sangat penting dalam perjuangan Islam di era ini. Ia bukan lagi soal pertentangan fizikal tetapi dasar dan pegangan hidup yang mesti diperbetulkan. Merealisasikan pendekatan ini, kita mesti mendekati semua orang (dengan cara yang tidak bertentangan dengan syara') bukan menjauhkan diri dan membina benteng antara kita dengan mereka.

Bagaimana kita boleh menjauhkan diri dari mereka? Sedang yang rosak fikiran itu mungkin ahli keluarga kita, jiran tetangga kita, ahli qariah kita dan juga pemimpin negara kita. Tugas kita sekarang ialah selamatkan mereka dari api neraka Allah. Dekati mereka dan sampaikan Islam yang benar kepada mereka. Bimbing dan didik mereka dengan Islam yang benar selama mereka tidak memerangi kita dengan kekerasan dan persenjataan.

Comments (0)