Followers

Nuffnang

Episode Sebuah Perjuangan

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:16 PG | Posted in

sumber :-

Episode Sebuah Perjuangan


Mengapa Perlu Diperkasa Mahkamah Syariah?

Posted: 29 Apr 2016 09:39 AM PDT

Abu Hurairah radhiyallaahu'anhu, berkata;
لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ اْلمَرْأَةِ، وَ اْلمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ
"Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam melaknat orang lelaki yang berpakaian wanita, dan (melaknat) wanita yang memakai pakaian lelaki." (Riwayat Abi Dawud juz 4, hal. 60, no. 4098)

Ibnu Abbas Radliyallaahu'anhu, ia berkata;
لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم اْلمُتَشَبّهِيْنَ مِنَ الرّجَالِ بِالنّسَاءِ وَ اْلمُتَشَبّهَاتِ مِنَ النّسَاءِ بِالرّجَالِ
"Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan (melaknat) para wanita yang menyerupai lelaki." (Riwayat Bukhari juz 7, hal. 55)
 
كَذَّبَتْ قَوْمُ لُوطٍ الْمُرْسَلِينَ (١٦٠) إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ لُوطٌ أَلا تَتَّقُونَ (١٦١) إِنِّي لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ (١٦٢) فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ (١٦٣) وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ إِنْ أَجْرِيَ إِلا عَلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ (١٦٤) أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ (١٦٥)وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُمْ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ (١٦٦) قَالُوا لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ يَا لُوطُ لَتَكُونَنَّ مِنَ الْمُخْرَجِينَ (١٦٧) قَالَ إِنِّي لِعَمَلِكُمْ مِنَ الْقَالِينَ (١٦٨)
"Kaum Luth telah mendustakan para Rasul. Ketika saudara mereka Luth berkata kepada mereka; Mengapa kamu tidak bertakwa?. Sungguh, aku ini seorang Rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Dan aku tidak meminta upah kepadamu atas ajakan itu, upahku hanyalah dari Tuhan seluruh alam. Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki (homoseks) di antara manusia. Dan kamu tinggalkan (perempuan) yang diciptakan Tuhan untuk dijadikan sebagai isteri kamu? Kamu memang orang-orang yang melampaui batas. Mereka menjawab; Wahai Luth! Jika engkau tidak berhenti, engkau termasuk orang-orang yang terusir. Dia (Luth) berkata; Aku sungguh benci kepada perbuatan kamu." (surah al-Syu'ara ayat: 160-168).

Ayat al-Quran serta Hadis di atas cukup menjelaskan bagaimana Allah menterbalikkan bumi akibat perbuatan kaum Luth dan bagaimana Rasulllah sallallahu'alaihi wasallam melaknat orang-orang yang berpakaian berlawanan jantinanya sendiri dan berkelakuan sedemikian. Jelas hukum Allah telah berjalan sekian lama serta tidak perlu di jelaskan lagi keadaannya. Sebagai umat Islam, segala yang terkandung didalam al-Quran dan Hadis wajib diikuti tanpa ada berprasangka dan mempertikai.

Menjalankan amanah adalah satu tanggungjawab sebagaimana yang telah ditetapkan, tambahan lagi amanah serta tuntutan agama usahkan amanah dunia. Mencegah sesuatu yang dilarang agama adalah tanggungjawab setiap Muslim namun apabila ditugaskan secara spesifik sebagai penguatkuasa, wajib menjalankan amanah.

Tidak ada ayat-ayat al-Quran dan Hadis diturunkan atau disampaikan tanpa sebab, semuanya untuk kebaikan manusia dan supaya patuh kepada ajaran agama. Begitu juga sebab di haramkan sesuatu, natijahnya Allah lebih mengetahui. Dengan akal yang di kurniakan maka jelas dan terang boleh kita berfikir kenapa dilarang atau di haramkan sesuatu ke atas setiap Muslim.

Berkaitan insiden di antara pegawai-pegawai JAWI dan sekumpulan Transgender di sebuah hotel di ibukota, hanya satu yang perlu difikir sebagai seorang Muslim apakah di larang atau sebaliknya. Tidak perlu bergantung kepada undang-undang atau tafsiran lain sebetulnya namun negara kita mempunyai undang-undang tersendiri. Sebagai rakyat kita harus patuh dan akur dengan undang-undang tersebut kerana kita adalah warganegara yang patuh dan taat.

Namun insiden tersebut sepatutnya menyedarkan kita, adakah kita benar-benar seorang Muslim yang taat kepada agamanya atau tidak, atau hanya kita seorang Muslim pada namanya sahaja sedangkan diri dan jiwa kita tidak sebagai seorang Muslim yang hakiki. Jangan sesekali mempertikai hukum Allah hanya berbekalkan ideologi atau atas nama kebebasan, kerana Islam mencakupi segalanya sama ada yang hidup mahu pun yang mati.

Disinilah murninya cita-cita PAS hendak memperkasakan Mahkamah Syariah, bukan sahaja untuk melaksanakan hukum tetapi apa yang lebih penting kefahaman tentang Islam itu sendiri terutama kepada umatnya. Bagaimana Islam itu berjalan, kaedahnya, hukumnya, tanggungjawabnya serta kewajipan ke atas setiap individu Muslim. Selagi mana tidak mendapat kefahaman sebenar selagi itulah umatnya terkeliru dengan pelbagai persepsi dan tafsiran yang salah tentang agamanya sendiri.
Mungkin ada yang berkata Mahkamah Syariah hanya akan melaksanakan hukuman, tiada beza dengan Mahkamah Sivil yang ada sekarang. Natijahnya apabila diperkasakan Mahkamah Syariah, sudah tentunya akan ada penerangan serta pemahaman yang lebih kepada rakyat tentang sesuatu hukum dan perkara agar tidak timbul polemik-polemik . Lebih jelas sesuatu perkara, lebih perincian undang-undangnya maka akan lebih jelaslah tentang Islam dan hukumnya kepada umum.
Ada yang akan tidak setuju dan berkata merumitkan proses Mahkamah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Islam adalah agama persekutuan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah hanya melibatkan orang-orang Islam sahaja, tidak melibatkan agama, bangsa dan kaum lain. Sebagaimana umat Islam tidak dicampuri urusan agama, bangsa dan kaum lain, jadikan hormat menghormati satu amalam yang mengekalkan keharmonian negara, bukan dengan sikap mencampuri urusan agama orang lain yang merugikan semua pihak.

Berilah peluang kepada umat islam mengamalkan urusan agamanya sendiri, tidak rosak pun negara malah akan lebih baik dari sebelumnya. Islam tidak membawa mudarat malah membawa kebaikan. Yang membawa mudaratnya ialah orang yang tidak faham serta keliru dengan agamanya sendiri. Mahkamah Syariah perlu dijadikan asas serta tapak untuk pemahaman kepada Islam dan hukum-hukumnya. Biarlah ia berdiri dengan sendirinya agar dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan sendiri. 
 
Perkasa Mahkamah Syariah, kuatlah umat Islam berpegang teguh kepada ajarannya. Kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

Salah Laku Penjawat Awam Memerlukan Kerajaan Mempraktiskan Amalan Pentadbiran Patuh Syariah

Posted: 29 Apr 2016 09:27 AM PDT

Isu salah laku di kalangan penjawat awam dilihat masih tidak berpenghujung. Terbaru adalah kes tuntutan palsu yang melibatkan nilai mencecah RM4.9 juta. Jika diteliti statistik yang dikeluarkan oleh SPRM, sehingga Februari tahun ini sahaja, 173 kes tangkapan telah dibuat dan daripada jumlah itu, 57 peratus iaitu 98 kes melibatkan penjawat awam. Malah, sepanjang tahun 2015 sahaja, 398 kes tangkapan telah dilakukan melibatkan penjawat awam daripada 841 jumlah keseluruhan kes.

PAS menggesa agar kerajaan termasuk agensi-agensi yang terlibat supaya meneliti aspek pencegahan dan hukuman terhadap salah laku dan jenayah rasuah yang seperti tidak dapat dibendung terutamanya melibatkan pemimpin negara dan penjawat awam.

Tambahan lagi, PAS juga mencadangkan agar kerajaan dan agensi-agensi yang terbabit meneliti semula serta memperkemaskan Pelan Pengurusan Risiko (PPR) dan Unit Integriti yang ditubuhkan dalam setiap kementerian dan agensi kerajaan bagi menangani salah laku. Ini kerana kedua-dua langkah strategik tersebut seharusnya memadai untuk mengurangkan risiko terhadap salah laku terutamanya dikalangan penjawat awam. Namun, jika dilihat kepada data kes, ia seolah-olah tidak memberikan impak yang diharapkan.

Ketiadaan suatu peraturan dan tindakan yang lebih tegas juga telah menyebabkan kes-kes salah laku tidak dapat dibanteras dengan baik. Maka, seharusnya penggubalan undang-undang berkaitan dengannya diambil perhatian secara serius oleh pihak berwajib bagi memastikan Malaysia menuju kepada sebuah negara yang berintegriti.
Suatu yang jauh lebih penting daripada itu ialah kerajaan mesti menunjukkan contoh pemerintahan dan pentadbiran yang baik serta patuh syariah sepenuhnya agar menjadi panduan dan contoh yang baik pula kepada semua penjawat awam dengan mempraktiskan kepimpinan melalui tauladan.
Kepatuhan kepada syariat dengan memulakan pendidikan amalan pentadbiran patuh syariat adalah langkah yang mesti terlebih dahulu diambil oleh kerajaan disamping mewujudkan satu undang-undang yang berkesan.

Bersatu Hanya Dengan Tali Allah

Posted: 29 Apr 2016 09:20 AM PDT

Seruan ke arah penyatuan ummah adalah seruan al-Quran al-Karim. Umat Islam dari manapun sudut bumi ia berada dan apapun bangsa yang ia wakili, mestilah bersatu atas manhaj Islam demi kekuatan dan kemuliaan umat Islam. Namun al-Quran telahpun menetap dan memuktamadkan bahawa penyatuan itu mestilah ditambat dengan "Tali Allah" iaitu al-Quran dan sebahagian ulama' menafsirkannya sebagai "Islam" itu sendiri.
وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan di antara hati kamu maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara sedang kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya." (surah Aali-Imran: ayat 103)

Seruan pendakwah terkenal Dr. Zakir Naik supaya umat Islam termasuk PAS dan UMNO dengan menjadikan al-Quran sebagai asas penyatuan adalah satu pandangan yang menepati seruan Islam itu sendiri. Inilah juga apa yang telah diseru oleh PAS selama ini bahawa semua umat Islam mesti kembali kepada al-Quran dan Sunnah al-Nabawi. Umat Islam hanya boleh bersatu atas "Manhaj Islam" yang betul. Tidak boleh bersatu atas nama bangsa, warna kulit, wang ringgit, kuasa dan pengaruh politik.
Memahami realiti yang berlaku di Malaysia termasuk kedudukan UMNO hari ini, Majlis Syura Ulamak PAS telah memutus dengan tegas bahawa tiada gabungan antara dua parti ini iaitu PAS dan UMNO.
Saya melihat penegasan Majlis Syura Ulamak PAS tersebut adalah berasaskan nilaian semasa kedudukan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi kerajaan sekian lama tetapi masih bersalut dengan keruntuhan integriti seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya serta dasar perjuangannya yang tidak meletakkan Islam dan syariat sebagai manhaj hidup dan orientasi pemerintahan.

Namun begitu, demi kebaikan Islam dan seluruh rakyat di bumi Malaysia ini, pula membudayakan "Politik Matang dan Sejahtera", PAS tetap berlapang dada untuk sedia bekerjasama dengan semua pihak, dalam apa jua situasi yang berasaskan kebajikan dan memulangkan kebaikan kepada negara dan rakyat serta taqwa kepada Allah dan sama sekali menolak kerjasama yang menumbuhkan dosa, maksiat dan mungkar serta  mencetuskan permusuhan. Sebagaimana yang diajar oleh Allah;
 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
"Dan hendaklah kamu berkerjasama untuk melakukan kebajikan dan taqwa kepada Allah dan janganlah kamu berkerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (surah al-Maidah: ayat 2)

Inilah seruan Nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam kepada semua pihak di sepanjang zaman termasuk parti politik iaitu "Aslim Taslam" ertinya, "Kamu terima dan kembali kepada Islam maka kamu akan selamat di dunia dan akhirat".

Kenyataan rasmi PAS juga telah dikeluarkan oleh YB Dato' Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bagi memuktamadkan pendirian PAS dalam isu "kesatuan" yang sering timbul di sepanjang zaman.

Semua kepimpinan PAS dan ahlinya konsisten dengan pendirian ini dan ia adalah kebaikan buat semua iaitu agama, rakyat dan negara.  Semoga kedudukan PAS dalam situasi ini tidak disalah-erti dan di-"spin" oleh mana-mana pihak yang sentiasa menyimpan dendamnya kepada PAS. PAS berlepas diri dari apa jua bentuk salah faham dan percubaan untuk mengeksploitasi isu ini.

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

Comments (0)