Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:12 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


'Saya sedia dipenjara, tapi yang lain pun akan ikut saya'

Posted: 15 Apr 2016 05:41 AM PDT

Alyaa Alhadjri  




Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan bahawa beliau bersedia untuk dihukum penjara kerana mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan berkaitan dengan firma dana milik negara 1MDB tetapi menegaskan bahawa ramai lagi akan bersamanya di penjara.

Rafizi berikrar untuk 'mengheret bersama' semua individu yang didakwa melindungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada bertanggungjawab di atas kerugian besar dana awam yang melibatkan 1MDB.

Katanya, beliau bersedia sepenuhnya untuk ke penjara tetapi menegaskan bahawa bukan dia seorang sahaja yang akan masuk ke dalam.

Rafizi berkata, jika terpaksa ke penjara, beliau akan mengheret bersama semua orang yang terlibat.

Minggu lepas ahli Parlimen Pandan itu mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Berdasarkan hasil laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, Rafizi memberitahu satu forum Pakatan Harapan di Shah Alam malam tadi bahawa Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy boleh didakwa menghalang keadilan.

Beliau berkata Arul tentunya tahu isu-isu yang melanda 1MDB kerana beliau adalah ketua pegawai eksekutif syarikat itu semasa proses audit terkini syarikat.

Sebagai mesejnya kepada mereka yang dengan jelas dinamakan dalam laporan PAC, Rafizi berkata, tidak lama lagi "kita akan mengeluarkan senarai rakyat yang dikehendaki'."

Katanya, jika anda tidak boleh mendapatkan orang di atas, anda cari orang yang melindungi mereka.

PENGAKUAN YANG TIDAK MEMBERI APA-APA MAKNA KEPADA NAJIB

Posted: 15 Apr 2016 05:35 AM PDT

shahbudindotcom

 

 
 
Sepanjang hari ini seronok benar golongan pemakan dedak dengan berita Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al Jubeir yang mengatakan wang yang diterima Najib Razak memang datang daripada negara itu.

"Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.

"Justeru, setahu kami, isu itu ditutup," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Najib sempena Sidang Kemuncak OIC di Turki.

Wah...seronok benar mereka, terutama Azalina Othman Said yang pantas mengatakan dengan ini bermakna semua dakwaan terhadap Najib adalah palsu belaka dan Setiausaha Akhbar Najib, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad yang terus menyalahkan Tun Mahathir dan media-media barat serta menggesa mereka memohon maaf kepada Najib.

Sementara pemakan dedak gembira ria dengan berita  yang seolah-olah sudah menyelamatkan Najib itu, ada beberapa perkara yang boleh dipersoalkan mengenai pengakuan Adel Al Jubeir itu.

Kenapa hanya baru sekarang Adel Al Jubeir mengatakan wang yang diterima Najib itu berupa sumbangan?

Bukankah beliau juga pada Januari  lalu yang mengatakan wang yang sama adalah suatu pelaburan?

Sekarang sudah tukar kaa Ya Sheikh?

Lebih menghairankan perubahan pendirannya itu dilakukan selepas mengadakan pertemuan dengan Najib?

Kenapa sebelum ini atau sejak Januari lalu apabila mengatakan ianya pelaburan, beliau tidak pernah berkata apa-apa atau cuba mengubah pendiriannya?

Kenapa berubah pendirian selepas bertemu Najib? Kenapa tidak sebelum ini?

Malah, Gabungan Ketua-Ketua Cawangan Malaysia atau GKCM juga pernah menghantar memorandum kepada Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur pada 25 Februari lalu meminta penjelasan mengenai wang yang diterima Najib itu, tetapi mengapa tidak berjawab sehingga sekarang?

Alih-alih selepas mengadakan pertemuan dengan Najib di Turki, Adel Al Jubeir mengatakan ia berupa sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. 

Ini betul-betul pelik bin ajaib. Pasti  unta-unta di padang pasir pun turut terkejut sama dengan perubahan Adel Al Jubeir itu.

Apakah perubahan kenyataan  Adel Al Jubeir daripada pelaburan kepada sumbangan dibuat atas permintaan Najib?

Lebih menghairankan ialah apabila Adel Al Jubeir juga menyatakan Peguam Negara Malaysia sudah menjalankan siasatan dan mendapati tiada salah laku melibatkan Najib.

Ehhhh....ini dah mirip skrip yang selalu diutarakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan media arus perdana dalam Malaysia selama ini.

Di samping itu, kenyataan Adel Al Jubeir yang mengatakan sumbangan tersebut datangnya daripada Arab Saudi juga lebih bersifat umum. Beliau hanya mengatakan datang daripada negara itu, tetapi tidak pula menyebut ia sumbangan pemimpin, kerabat diraja atau mana-mana tokoh terkayanya.

Harap kita tidak lupa bahawa pemilik PetroSaudi, Putera Turki Abdullah Al Saud yang ada perjanjian perniagaan dengan 1MDB juga berasal daripada Arab Saudi.

Adel Al Jubeir turut tidak menyebut langsung fakta yang diumumkan oleh Peguam Negara, Apandi Ali bahawa Najib sudah memulangkan semula sebanyak RM2,030 juta kepada pendermanya atas alasan ia tidak digunakan.

Mengapa fakta itu tidak disebut oleh beliau?

Yang harus disedari ialah pengakuan Adel Al Jubeir itu sudah tidak bermakna apa-apa lagi kepada Najib berikutan isu kehilangan wang sebanyak AS$3.51 bilion atau kira-kira RM14,000 juta yang dibayar oleh 1MDB kepada syarikat palsu, Aabar BVI sudah pun diakui kebenarannya dan sedang disiasat oleh banyak pihak berkuasa di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana yang didedahkan oleh WSJ dan Sarawak Report sebelum ini, mereka percaya wang yang masuk ke akuan peribadi Najib itu adalah berasal daripada 1MDB yang tiba-tiba hilang selepas dimasukkan ke akaun bank  Aabar BVI.

Sekarang, di mana wang tersebut terus menjadi misteri kepada seluruh dunia. Tetapi dengan penyiasatan di beberapa negara yang nampaknya mula menunjukkan perkembangan positif, kebenaran pasti akan terserlah juga akhinya.

Dengan peredaran masa, sama-samalah kita tunggu sama ada wang yang dikatakan sumbangan itu, dengan mula-mula angkanya adalah RM2,600 juta tetapi kemudian meningkat kepada RM4,200 juta, benar-benar merupakan derma atau apa jenisnya?

Ketika itu juga, mungkin Adel Al Jubeir akan menukar kenyataannya sekali lagi. Siapa yang biasa berurusan dengan Pak-Pak Arab, pasti lebih faham perangai mereka itu. 


Ceramah Dr Zakir Naik catat sejarah

Posted: 15 Apr 2016 05:27 AM PDT

Ceramah Dr Zakir Naik catat sejarah
Ahmad Razif mengiringi Dr Zakir di samping ribuan hadirin di Dataran SM Imtiaz Besut malam kelmarin.


KAMPUNG RAJA - Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut, di sini, mencatat sejarah apabila berjaya menghimpun lebih 30,000 hadirin di pekarangan sekolah itu pada malam kelmarin untuk menyaksikan ceramah daripada tokoh Maal Hijrah 2013, Dr Zakir Naik.

Orang ramai tanpa mengira fahaman politik termasuk juga dari kalangan bukan Islam dan dari Kelantan tiba seawal jam 6 petang di pekarangan sekolah itu semata-mata mahu mendengar dan menyaksikan sendiri ceramah disampaikan Dr Zakir.

Dr Zakir yang kini menjayakan siri jelajah di Terengganu mula menyampaikan ceramahnya bertajuk 'Does God Exist' atau 'Adakah Tuhan Wujud' pada jam 9.30 malam sebelum diteruskan dengan sesi soal jawab dan program berakhir pada kira-kira jam 12.30 pagi.

Fakta kukuh

Menyentuh mengenai ceramah disampaikan, Dr Zakir banyak mengupas mengenai kewujudan Tuhan memberi contoh ayat-ayat suci al-Quran yang mempunyai fakta jelas dan kukuh.

"Dalam al-Quran yang diturunkan pada 1,400 tahun lalu, terdapat beribu fakta sains dan tiada satu pun daripadanya bercanggah dengan sains moden hari ini," katanya dalam ceramah yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Selain mengemukakan ayat suci al-Quran yang membicarakan mengenai kitaran air, teori Big Bang,
perkembangan embrio dalam kandungan, beliau turut menegaskan hanya Yang Maha Mencipta boleh mengetahui mengenai ciptaannya secara terperinci, begitu juga al-Quran sebagai kalam ALLAH SWT yang mengandungi banyak fakta sains serta sudah dibuktikan dengan sains moden.

Hampir masuk Islam

Suatu perkara menarik berlaku dalam sesi soal jawab pada majlis itu apabila seorang lelaki bukan Islam dikenali sebagai Carlos, 20-an tampil bertanyakan Dr Zakir mengenai kitab mana boleh dipercayai, sama ada injil perjanjian baharu, injil perjanjian lama atau al-Quran.

Dalam responsnya terhadap persoalan itu, Dr Zakir memberitahu lelaki berkenaan, beliau sepatutnya percaya kepada al-Quran yang dirujuk sebagai 'last testament' atau perjanjian terakhir kerana ia merupakan pesanan Nabi Isa sendiri seperti mana terdapat dalam kitab Injil, bab 16, 'The Gospel of John'.

Selepas mendengar kupasan, hujah serta penjelasan Dr Zakir, Carlos mengakui kitab al-Quran sebagai kitab yang benar sebelum Dr Zakir memberitahunya hanya dua ayat perlu disebut sekiranya lelaki itu mahu memeluk Islam tetapi menegaskan tiada sesiapa termasuk beliau sendiri berhak memaksanya berbuat demikian.

Bagaimanapun Carlos menyatakan belum bersedia mengucapkan syahadah walaupun percaya Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan terakhir dan Dr Zakir mendoakan lelaki itu mendapat hidayah sambil meminta Carlos mengkaji secara lebih mendalam mengenai Islam.

Terbuka terima teguran

Dalam pada itu, Dr Zakir memberitahu, beliau sedar terdapat segelintir pihak termasuk juga umat Islam tidak menyenangi dirinya dan memberitahu, beliau terbuka kepada teguran kerana percaya manusia bukan maksum.

"Saya cuma minta orang Islam yang menuduh saya telah berbuat sesuatu yang bertentangan dengan Islam datang bersemuka dengan saya dan kemukakan rujukan daripada al-Quran yang bercanggah dengan perbuatan saya dan jika ada, saya sanggup mengaku salah," katanya.


'Jawapan Zakir Naik buat saya nekad masuk Islam'

Posted: 15 Apr 2016 05:14 AM PDT

MALAYSIAKINI




Woo Nina Grace, 19, yang diislamkan Dr Zakir Naik tengah malam semalam, mengakui telah lama ingin memeluk Islam.

Namun, katanya, jawapan pendakwah itu membuatkannya lebih yakin bahawa Islam sebuah agama yang suci, lapor myMetro.

"Saya semakin tertarik dengan agama Islam dan kebetulan Dr Zakir berkunjung ke negeri ini yang mana membuatkan saya mahu hadir ke syarahannya kerana mahu bertanyakan beberapa soalan.

"Akhirnya, jawapan yang diberikan Dr Zakir membuatkan saya nekad untuk memeluk Islam dan tidak kisah dengan pandangan orang lain," beliau dipetik sebagai berkata.

Woo semalam bertanya adakah beliau dikira tidak menghormati Islam apabila membaca al-Fatihah, Tiga Qul dan ayat Kursi.

Zakir kemudian bertanya sama ada beliau percaya pada satu tuhan dan kerasulan Nabi Muhammad, yang dijawabnya "ya".

Beliau kemudian mengucap dua kalimah syahadah dengan dibimbing Zakir, di hadapan kira-kira 40,000 orang hadirin dalam ceramah itu.

Nama baru, mahu pakai tudung

Sementara itu, Woo berkata, kehidupan hariannya sebelum ini yang banyak bergaul dengan rakan Islam menjadi faktor agama Islam dekat dengannya.

"Saya bersyukur kerana Allah berikan hidayah kepada saya pada 12.05 tengah malam Jumaat yang menjadi penghulu segala hari," katanya ketika dihubungi myMetro, di Chukai, hari ini.

Penuntut semester tiga Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pelantar Minyak Kolej RANACO, di Chukai, Kemaman berkata, dia berasa seperti dilahirkan semula.

Sementara itu, Woo juga dilapor berminat menggunakan nama baru Nur Nina Farisha dan mahu menjadi Muslimah yang baik, termasuk memakai tudung.

Remaja itu, yang ibunya berasal dari Filipina dan bapanya dari Johor, dilapor mengakui mula mengkaji Islam ketika berusia 13 tahun.

Berdasarkan gambar dirakam media, Nina kelihatan dipakaikan tudung berwarna hijau oleh isteri menteri besar Terengganu, Toh Puan Halina Zakaria.

Gambar itu dikatakan dirakam selepas selesai sesi ceramah Zakir di sebuah bilik rehat di tempat acara itu.


Apa kontroversinya Dr Zakir Naik?

Posted: 15 Apr 2016 05:11 AM PDT



 

Oleh Abdul Jalil Ali


KALAULAH bukan kerana minda tertutup dan sikap dungu sesetengah pihak, tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan kehadiran Dr Zakir Abdul Karim Naik. Pendakwah Islam kelahiran Mumbai itu bukan tokoh kontroversi.

Lagi pun ini bukan kali pertama ulama tersohor antarabangsa itu datang ke tempat kita. Pada 2012 beliau pernah berceramah di hadapan puluhan ribu audiens di Johor Bahru, UiTM Kuantan, dan PWTC Kuala Lumpur. Semua berlangsung aman.

Malah, pendakwah berijazah doktor perubatan itu datang lagi ke Malaysia pada 2013, kali ini untuk menerima pengiktirafan negara daripada Yang di-Pertuan Agong, sebagai Tokoh Maal Hijrah.

Tetapi, entah siapa yang berfikiran sempit, kunjungan beliau awal minggu ini sengaja dikontroversikan. Meski beliau diterima baik dalam siri-siri ceramah di Terengganu Negeri Penyu, program di tempat lain mendapat halangan.

Polis mengeluarkan larangan untuk pendakwah berkenaan bercakap di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ceramah bertajuk 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam' dibimbangi mencetuskan sensitiviti beragama di negara ini.

Program di UTeM itu akhirnya mendapat kelulusan dengan syarat tajuk berkenaan tidak digunakan. Memang, kita selalu fobia apabila ada tajuk menyentuh agama lain. Kita takut itu mencetuskan kontroversi, sekali gus menggugat ketenteraman awam. Tetapi apabila pihak lain menyentuh agama Islam, tidak pula kita bertindak.

Lagi pun seperti diketahui, Dr Zakir adalah cendekiawan Islam yang mengkaji bidang perbandingan agama. Jadi apa kontroversinya jika beliau berbicara mengenai tajuk tersebut, di tempat tertutup, bukan di Dataran Merdeka atau di Danga Bay!

Dalam siri-siri ceramah beliau di seluruh dunia yang turut disiarkan oleh stesen TV tempatan isu mengenai perbandingan agama sentiasa disentuh, malah menjadi bahan debat terbuka dengan audiens, tidak pula tercetus huru-hara.

Audiens kita, khasnya yang mengikuti pemikiran dan pencerahan pendakwah berkenaan, semuanya matang lagi rasional – bukan seperti segelintir penonton bola sepak di padang yang sikit-sikit bertindak mengikut emosi.

Tetapi, seperti biasa dalam kebanyakan hal di tempat kita, ada sahaja hantu-hantu yang sengaja hendak menonjolkan seolah-olah pendakwah luar itu sebagai tokoh kontroversi, pengganas.

Ada NGO bukan Islam memprotes kononnya Dr Zakir berpotensi untuk mengadu domba masyarakat berbilang kaum dan agama, dan dibimbangi akan mengganggu ketenteraman awam.

Malang sekali ada individu dan kumpulan Islam sendiri turut mencemburui kehadiran pendakwah itu atas alasan konon ilmu agama dan pencerahan yang diceramahkan tidak sehaluan dengan amalan Islam di tempat kita.

Lebih mendukacitakan lagi ada pemimpin DAP yang begitu celopar meluahkan perasaan di Facebook. Pemimpin parti berkenaan, Dr P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang menggelar Dr Zakir 'setan'.

"Halau setan Dr Zakir Naik keluar dari negara ini!" tulis Dr Ramasamy dalam Facebook. YB itu kemudian memadamkan posting berkenaan dari Facebook, tetapi sudah terlewat sebab keceloparan beliau telah viral di media sosial.

Pemimpin DAP itu mengakui telah menggelar ulama tersebut setan, dan menyatakan kesal atas keterlanjuran tersebut. Tetapi dalam kenyataan media, beliau tidak meminta maaf.

Waimma, sekiranya beliau tabik spring, melutut, menonggeng, dan memohon sejuta maaf pun tiada guna lagi sebab 'setan' yang viral itu telah dikongsi oleh berjuta warga maya di seluruh alam.

Setakat rencana ini ditulis – semalam – dua tiga NGO telah menyatakan kekesalan terhadap YB berkenaan. Tetapi belum ada apa-apa reaksi dan tindakan daripada pihak berkuasa.

Hatta, para ulama yang sepatutnya menjerit dan menentang kebiadaban itu pun masih menyepi, bagaikan terkancing gigi. Mungkin mereka sedang berfikir, dan harap-harap sehari dua ini mereka sepakat menghukum Timbalan Ketua Menteri itu.

Kita sasau bagai nak rak, hanya kerana seorang pendakwah berwibawa hendak berhujah – secara ilmiah – mengenai perbandingan agama. Tetapi ada pihak lain menyamakan ulama dengan syaitan, dan kita masih tidak berbuat apa-apa!

Padahal sifirnya mudah sangat: memperlekeh ulama bersamaan dengan memperlekeh agama. Mana lebih kontroversi, Dr Zakir atau Dr Ramasamy? Siapa yang patut dihukum, Dr dari Mumbai atau Dr di Pulau Mutiara?
 
 

Netizen: Inilah tanda kebesaran ALLAH

Posted: 15 Apr 2016 05:05 AM PDT

Netizen: Inilah tanda kebesaran ALLAH
Wu Nina Grace (kiri) dipeluk seorang hadirin sejurus selepas mengucapkan dua kalimah syahadah semasa sesi ceramah pendakwah Dr Zakir Naik di Padang Astaka Kemaman, semalam. - Foto Bernama
 

RATA-RATA netizen terutamanya yang beragama Islam melahirkan rasa syukur selepas menyaksikan seorang gadis Kristian memeluk agama Islam ketika mengikuti syarahan penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik di Padang Astaka, Kemaman malam tadi.

Video pengislaman gadis ini mula viral di laman sosial sejak malam tadi dan tinjaun Sinar Online di laman Facebook mendapati, netizen mengucapkan syukur, mendoakan serta mengharapkan agar gadis itu terus istaqamah dalam mendalami agama Islam.

Suparnu Sukun menulis, semoga ALLAH memberi kebaikan kepada gadis bertuah itu.

"Kamu sudah jadi saudara kami sekarang, dan menjadi tanggungjawab kami membela kamu," tulisnya
Ameerul Mohmad pula berkata "Alhamdulillah semoga dipermudahkan urusan adik itu. Kita jangan lah nak berdebat sehingga bermusuh sesama manusia.

"Islam tak memaksa ia terpulang kepada diri untuk mencari kebenaran. Sebab itu kita diberi akal fikiran. Tak perlu kita nak menghina agama lain. Perbanyakkan belajar ilmu agama untuk persediaan suatu hari kelak. Islam itu indah," tulis Ameerul

"Itulah kebesaran ALLAH, mungkin ALLAH beri dia hikmah, supaya orang Islam kita tengok walaupun dia orang agama lain tapi dia di beri hati yang Mulia. Jadi kita orang Islam berbaiklah, nurani kita. InsyaALLAH," tulis Faridah Bee pula.

Tooraja Trw pula menulis, agama ni bukan perkara yang boleh di paksa. Agama ni berkaitan kefahaman tentang ketuhanan seseorang, jadi kalau dah seseorang yakin dengan ajaran yang dianuti, teruskan sahaja.

Adakah agama lain boleh memberi keyakinan kepada penganutnya, setakat ni hanya Islam yang boleh menjawab semua persoalan.Itu bezanya.

Sementara itu, netizen turut memuji kredibiliti penceramah terkemuka, Dr Zakir Naik.

Norhaslina Yahaya mengucapkan tahniah kepada Dr Zakir kerana kebijaksaannya ramai yang masuk Islam.

"Islam memerlukan orang seperti anda yang berusaha keras memperkenalkan Islam di mata dunia mana pun anda pergi pasti ramai yang datang tak kira apa agama kerana mereka masih lagi mencari kebenaran," tulisnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gadis Kristian peluk Islam di ceramah Dr Zakir]

Namun apa yang menarik perhatian, kredbibiliti Dr Zakir bukan sahaja dipuji oleh muslim, sebaliknya turut diakui penganut agama lain.

Loganathan Sivajothy berkata, "orang Kristian sendiri tak menghafal kitab Kristian macam Dr Zakir Naik hafal, orang Hindu sendiri ttidak menghafal kitab Hindu macam Dr.Zakir Naik hafal, orang Islam sendiri tak menghafal kitab Islam macam Dr.Zakir Naik hafal".

"Kalau pegangan agama masing-masing kuat, kenapa semua perlu takut?," katanya

Tambahnya lagi, semua agama ajar umatnya berbuat baik, tiada agama di muka bumi ini ajar umatnya buat jahat. Jadi semua manusia di muka bumi ini buatlah kebaikan

Semalam, Wu Nina Grace, 19 dari Johor keturunan Filipina penuntut di sebuah kolej tempatan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan lebih 30,000 hadirin.

Nina yang ditemui berkata, dia mula mengenali Islam sejak berusia 13 tahun.

Gadis itu dengan rela hati bersetuju mengucap dua kalimah syahadah selepas berpuashati mendengar penjelasan Dr Zakir mengenai konsep ketuhanan dan kenabian Muhammad.


Debat: Arul Kanda sahut cabaran Tony Pua

Posted: 15 Apr 2016 04:56 AM PDT

SINAR HARIAN


Arul Kanda, Tony Pua


KUALA LUMPUR - Presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy menyahut cabaran Ahli Parlimen DAP Tony Pua untuk berdebat.

"Dengan ini, saya menyahut cabaran itu. Jom kita!" katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pua mencabar Arul Kanda menyelesaikan perbalahan antara mereka berhubung isu 1MDB dalam debat melalui televisyen.

Arul Kanda berkata, beliau bersedia untuk bersemuka dengan Pua, walaupun mendapatinya "aneh" apabila seorang "hakim DAP" Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ingin berdebat dengan seorang "defendan" setelah prosiding selesai dan laporan "dwi-partisan, kolektif" PAC dikeluarkan.

Beliau berharap Pua sudah menyemak dengan Dewan Rakyat sebelum membuat cabaran itu "agar tidak termalu untuk kali kedua".

Pada 29 Oktober tahun lepas, debat secara langsung melalui televisyen antara Arul Kanda dan Pua kelihatan sedia untuk diadakan, tetapi tidak menjadi kenyataan apabila speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan anggota PAC itu tidak membuat sebarang kenyataan mengenai 1MDB melalui sebarang medium.

Pendengaran PAC mengenai 1MDB sedang diadakan ketika itu dan Pua mematuhi arahan tersebut.

Arul Kanda berkata, Pua keliru dan bercanggah dalam kenyataannya.

"Beliau tidak pasti sama ada suka atau benci kepada saya. Kata beliau, saya perlu letak jawatan, kemudian beliau juga berkata, saya perlu terus memegang jawatan dan berdebat dengannya.

"Apa yang jelas ialah walaupun beliau hampir secara eksklusif menyoal saya selama dua hari penuh dalam PAC (pendengaran), YB Tony masih mahu menghabiskan masanya yang berkualiti bersama saya.

"Saya tidak akan sekali-kali menafikan YB Tony keseronokan itu," katanya. - Bernama



Khalid sahkan gambar di Facebook mangsa culik di Pulau Ligitan, Semporna

Posted: 15 Apr 2016 04:50 AM PDT

BERNAMA


Khalid sahkan gambar di Facebook mangsa culik di Pulau Ligitan, Semporna
KHALID: Pihak polis turut sedang mengesan sekiranya akaun Facebook itu telah dibuat di dalam negara ataupun di luar negara. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan gambar dimuat naik dalam satu akaun Facebook adalah empat rakyat Malaysia yang diculik lelaki bersenjata berhampiran Pulau Ligitan, Semporna, Sabah pada 1 April lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedia maklum mengenai akaun Facebook dengan nama 'Victor Troy Poz' itu.

"Saya sedia maklum mengenai akaun terbabit dan polis sedang giat menjalankan siasatan.

"Pihak polis turut sedang mengesan sekiranya akaun Facebook itu telah dibuat di dalam negara ataupun di luar negara," katanya ketika dihubungi Bernama.

BACA: 'Empat rakyat yang diculik masih hidup' - KPN

Gambar berkenaan memaparkan keempat-empat mangsa berada dalam keadaan mencangkung sambil memegang sekeping kertas bertulis 'Victor Troy' berserta tarikh 8 April.

Gambar tersebut telah dimuat naik ke dalam akaun terbabit pada Ahad lepas.
Semalam, Khalid mengesahkan empat mangsa rakyat Malaysia yang diculik iaitu Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, masih hidup.

Mereka antara sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia, apabila diculik

'Tuhan Harun' dipenjara 15 tahun kerana kumpul deposit secara haram

Posted: 15 Apr 2016 04:34 AM PDT

BERNAMA


'Tuhan Harun' dipenjara 15 tahun kerana kumpul deposit secara haram
Gambar fail Harun Mat Saad, 47, yang digelar "Tuhan Harun" ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada tahun 2013. - Foto Bernama
 
 
KUANTAN: Ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun' atau Harun Mat Saat dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan mengumpul deposit secara haram berjumlah RM35 juta, 10 tahun lepas.

Bagaimanapun, Harun, 50, yang kini menghidap penyakit angin ahmar menyebabkan beliau tidak boleh bergerak dan bercakap serta sukar melihat, hanya perlu menjalani hukuman enam tahun penjara selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak, bermula hari ini.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara,  pertuduhan kedua tiga tahun penjara, serta masing-masing hukuman empat tahun dan enam tahun penjara untuk pertuduhan ketiga dan keempat.

Pada 17 April 2014, Harun didakwa atas pertuduhan membantu Business Time Dina Sdn Bhd, Pan Phoenix Dina Sdn Bhd dan Pan-Phoenix Dina Steel Sdn Bhd, menerima deposit RM35 juta daripada syarikat dan orang awam tanpa lesen sah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Wisma MPL dan Wisma Goldhill, Jalan Raja Chulan di sini, antara 13 Sept 2006 dan 8 April 2008.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Harun bersama lima lagi pengikutnya juga menghadapi pertuduhan lain, iaitu membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Abd Malek, pada 10 Nov, 2013.

Kes itu didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Harun juga menghadapi satu pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah dan 10 pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah di Kuantan, termasuk menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai tuhan.

Terdahulu, peguam Hermes Media Putra Ibrahim dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap Harun memandangkan dia mempunyai ramai anak dan kini tidak mempunyai pekerjaan.
"Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman dengan kadar minimum kerana anak guam saya tidak sihat, walaupun dia dijamin tetapi tidak dapat menikmati kehidupan seperti orang yang dijamin kerana masih direman atas pertuduhan lain," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shukri Ahmad Mansor memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh memandangkan ramai yang teraniaya dengan perbuatannya itu.

"Terdapat mangsa yang merana dan hubungan keluarga menjadi renggang disebabkan skim yang diperkenalkan oleh tertuduh," katanya. 
 
 

Suami kepada isteri, bayi dipercayai mati dibunuh ditahan polis

Posted: 15 Apr 2016 04:29 AM PDT

 
Suspek berusia 30-an yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan di lokasi kejadian kira-kira 3 petang semalam.

 
rahim-jaafar_kill_600


SERDANG: Polis menahan suami wanita yang dipercayai mati dibunuh bersama anaknya dalam kejadian di Taman Rawang Perdana 2, Rawang, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata suspek berusia 30-an yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan di lokasi kejadian kira-kira 3 petang semalam.

Katanya, polis masih lagi menyiasat motif pembunuhan berkenaan dan akan mengambil keterangan keluarga serta jiran-jiran mangsa bagi mengetahui keadaan hubungan suspek dengan isterinya.

"Polis akan menyiasat dari semua aspek termasuk pergerakan suspek pada hari kejadian menerusi kamera litar tertutup (CCTV)," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, pemangku ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias dilantik sebagai ketua polis daerah yang baharu menggantikan ACP Razimi Ahmad.

Semalam, seorang wanita berusia 34 tahun dan bayinya berusia tujuh bulan ditemui mati di rumah mereka.
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, wanita itu ditemui terbaring di tepi katil, manakala bayinya terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah teres dua tingkat di taman itu.

Dalam kes berasingan, Abd Rahim berkata polis masih memburu tiga lagi suspek dipercayai warga asing yang terlibat dengan kes samun bersenjata yang melarikan diri selepas tiga rakan mereka di tembak mati di sebuah bangunan lama kondominium Highland Towers, Hulu Klang, Selangor.

"Siasatan menunjukkan suspek terlibat dalam 10 kes samun dengan sembilan di Selangor dan satu di Pahang…kesemua suspek dipercayai masih berada sekitar Selangor," katanya.

Selasa lepas, tiga daripada enam suspek bersenjata dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Selangor, ditembak mati selepas mereka cuba menyerang polis dengan senjata tajam di bangunan berkenaan.– Bernama

Nilai hadiah RM30 bukannya isu di sini

Posted: 15 Apr 2016 04:23 AM PDT




 
Oleh Nizha Periaswamy


Usaha dan semangat seseorang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Malah, ia tidak tidak sepatutnya diukur dengan wang lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak. Benarlah kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin

Beliau tidak menafikan nilai hadiah yang diterima pemenang program Junior Cycling Malaysia (JCM) adalah kecil, namun tetap dengan pendirian bahawa ia dibuat atas dasar tidak mahu bakal-bakal atlet negara itu terdidik dengan wang ringgit.

"Jika dari peringkat kanak-kanak kita sudah biasakan mereka dengan hadiah wang tunai, saya risau mereka akan lupakan matlamat utama mereka berjuang dalam sukan," tulis Khairy dalam status Facebooknya sebagai respon kepada netizen yang berpuas hati dengan nilai wang RM30 kepada pemenang Junior Cycling Malaysia (JCM).

Malah satu laporan portal Astro Awani mendedahkan negara-negara Barat tidak endah pun hal beri hadiah berupa wang tunai kepada pemenang sukan basikal junior (kategori kanak-kanak).

Ia mengambil contoh negara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang tidak memperuntukkan sebarang hadiah wang tunai. Sekali lagi saya akui rasionalnya perkara yang sama dilakukan di Malaysia.

Walau bagaimanapun, kalaulah anak saya sendiri yang memenangi pertandingan itu dan memperoleh mock cheque dari tangan Menteri Belia dan Sukan, yang tall, dark and handsome, dan dirakam pula lensa liputan media, pasti sakit hati saya melihat jumlah wang yang tertera itu.

Bagi saya amaun yang langsung tidak masuk akal dan lebih dari itu, agak menyesalkan.

Bukan bererti kita mementingkan wang. Cuma daripada memalukan nama penganjur yang terdiri daripada kementerian itu sendiri, mencetus perbahasan dalam laman sosial, mempamerkan amaun yang sangat kecil, eloklah dari awal lagi penganjur tidak menyediakan sebarang hadiah wang tunai sebagai hadiah.

Ya, baik langsung tiada!

Dalam hal ini, saya berpendapat 'nothing better than something' kerana 'something' itu umpama tidak membawa apa-apa motivasi atau semangat malah menyebabkan kementerian dan penganjur diseret ke pelbagai persoalan.

Lihat sahaja skandal penipuan wang berjuta-juta ringgit dan salah guna kuasa oleh seorang pegawai kanan dalam kementerian itu baru-baru ini. Justeru, ramai yang mempersoalan jika berlaku ketirisan dalam kejohanan JCW apabila kementerian dilapor memperuntuk RM2 juta untuk projek tersebut dan hanya RM7,600 yang disediakan sebagai pakej hadiah wang tunai untuk kesemua pemenang dari 18 kategori.

Saya tidak pasti sama ada ia relevan, tetapi sebagai rakyat biasa, saya agak terkejut dengan peratusan peruntukan itu.

Kalaulah penganjur menyediakan trofi, sijil sahaja atau mungkin hadiah berupa hamper atau berbentuk barangan seperti basikal (memandangkan ia pertandingan basikal), barangan berjenama (takkan JCM tidak boleh mencari sponsor untuk hadiah?) ataupun kursus percuma untuk memperbaiki lagi skill kesukanan, bukankah ia lebih relevan dan tidak mengundang rasa tidak puas hati?

Jangan memalukan nama kementerian dan menteri serta penganjur dengan memberikan amaun yang boleh mencetus kontroversi. Mungkin Khairy perlu memastikan perkara remeh seperti ini tidak berulang daripada terus mempertahan kesilapan yang telah dilakukan.

Bila saya beri 'ang pau' dua not merah kepada anak saya sempena Tahun Baharu Tamil pagi tadi, dia minta not biru (RM50) atau ungu (RM100). Budak-budak sekarang lebih tahu nilai wang daripada kita!
 
 

Tambahan 11 DUN baru untuk majukan luar bandar- Adenan

Posted: 15 Apr 2016 04:20 AM PDT

Sebelum ini PKR Sarawak memfailkan semakan kehakiman bagi menghalang persempadanan semula yang melahirkan sebelas DUN baru tersebut.


Adenan-Satem_spr_600


LUNDU: Tambahan sebelas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baru, kebanyakannya di luar bandar adalah untuk memajukan lagi kawasan tersebut yang masih ketinggalan, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Berucap dalam satu acara di sini hari ini, beliau memaklumkan sembilan daripada sebelas kerusi baru itu terletak di luar bandar.

"Saya minta Suruhanjaya (SPR) tambah (sebelas kerusi) sebab ini negeri besar, sama dengan semenanjung. Dan kebanyakan kerusi bertumpu di kawasan luar bandar memandangkan ia lebih mundur dari kawasan bandar," katanya lagi di hadapan kira-kira 3000 hadirin.

Menerusi penambahan DUN ini, beliau percaya kawasan luar bandar akan lebih giat dimajukan berbanding sebelumnya.

Sebelas kerusi tersebut adalah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.

Sebelum ini, Adun Batu Lintang See Chee How dan seorang pengundi Ulu Baram, Pauls Baya berusaha menghalang persempadanan semula yang melahirkan sebelas DUN baru tersebut dengan membuat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuching.

Kes tersebut kemudian dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang pada 15 Oktober lalu menolak permohonan tersebut.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Tan Sri Md Raus Sharif memutuskan notis SPR berhubung persempadanan semula DUN Sarawak sebagai sah.

PRN Sarawak: Calon BN tidak terpilih mungkin akan sabotaj

Posted: 15 Apr 2016 04:15 AM PDT

 
Mereka yang tidak terpilih untuk bertanding juga akan memilih untuk tidak membantu BN.


sarawak


PETALING JAYA: Langkah Barisan Nasional (BN) melantik calon langsung untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dikhuatiri akan menyebabkan sabotaj khususnya di peringkat tempatan.

Menerusi analisis Sin Chew Daily, walaupun calon langsung itu diterima di peringkat atasan, namun parti komponen BN di peringkat akar umbi mungkin akan menolak kehadiran mereka.

"Selain sabotaj yang membawa kerosakan, mereka yang tidak terpilih untuk bertanding juga akan memilih tidak membantu dalam kempen BN.

"Ini akan mewujudkan imej negatif dalam kalangan pengundi, selain berdepan musuh daripada pembangkang, mereka juga pedrlu berwaspada dengan kerosakan yang dibawa orang sendiri," tulis pengarang akhbar berbahasa Cina itu.

Menurut analisis itu lagi, Panglima BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem perlu menghalang pasrti-parti komponen melakukan sabotaj jika mahu memastikan kemenangan besar di Bumi Kenyalang.

Ramai calon yang melihat diri berpotensi menang telah berebut menjadi calon BN sehingga kerusi Simunjan dan Kabong yang ditanding Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) masing-masing direbut enam calon.

Kerusi Ba'kelalan yang secara tradisi ditandingi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pula direbut oleh lapan orang.

Pada pilihan raya 2011, penyandang kerusi Ba'kelalan, Nelson Balang Rining ditukar pada saat terakhir. Disebabkan kekurangan orang lain, Willie Liau dilantik sebagai calon.

Ia telah menimbulkan suara tidak puas hati sekali gus membolehkan calon PKR, Baru Bian menang kerusi itu dengan majoriti 473 undi.

Perebutan dalam kalangan orang BN akan membawa kebaikan kepada pembangkang dan calon bebas yang mengambil kesempatan daripada pertelingkahan antara orang-orang BN.

Rosyam Nor akui tidak pandai mengaji

Posted: 14 Apr 2016 09:51 PM PDT

Rosyam Nor
Rosyam Nor
 


KUALA LUMPUR - Pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor yang juga merupakan Ikon Rumah Ngaji mengakui beliau tidak pandai mengaji sehingga usianya 45 tahun.

Beliau turut mengaku hanya menghafal tiga surah iaitu al-Fatihah, an-Nas dan al-Ikhlas.

"Saya baru tahu selama 45 tahun usia saya ini, saya baca 'bismillah' pun salah.

"Saya tak malu mengaku ini di hadapan anda semua. Biarlah saya malu dengan anda daripada saya malu dengan ALLAH SWT," katanya pada perkongsian majlis #organisasingaji Ke Arah Kukuhkan Organisasi Dengan al-Quran di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, di sini, semalam.

Berkongsi ceritanya, Rosyam berkata, beliau telah diberikan segalanya oleh ALLAH, namun di saat kehilangan ayahnya, beliau menyedari bahawa beliau tidak pandai mengaji.

"Ketika ini saya rasa seorang Rosyam Nor tertunduk malu dan sedih sebab tidak tahu mengaji.

"Kadang-kadang bila jadi imam di rumah, anak-anak saya pun tahu surah apa saya akan baca. Sebab itu saya tak berlakon cerita agama," katanya.

Terlalu lama memasang angan-angan untuk belajar mengaji, ketika penggambaran akhir filem KL Gangster 2, akhirnya hidayah buatnya hadir melalui seorang ustaz yang tidak didedahkan identitinya.

"Semasa penggambaran itu, ada seorang insan muncul dan pada awalnya saya anggap beliau hanya seorang peminat biasa. Kemudian beliau minta nombor telefon dan setiap minggu beliau hubungi saya ajak berjumpa.

"Selama empat bulan beliau hubungi saya sampai saya rimas dan akhirnya saya setuju untuk bertemu di kawasan rumah saya," katanya.

Cerita Rosyam, hatinya terdetik untuk mengaku tidak pandai mengaji dan meminta ustaz tersebut mengajarnya.

"Tapi dengan satu syarat, jangan beritahu orang lain, sebab saya malu.

"Ini masalah paling besar bila dah tua.Tapi jangan kita malu. Alhamdulillah usia 45 tahun saya mula belajar mengaji mula dengan alif, ba, ta," katanya.

Rosyam juga memberitahu tahun lalu pada usia 48 tahun, beliau akhirnya berjaya khatam al-Quran di hadapan Kaabah.


Penjawat awam diberi pilihan terima atau tolak

Posted: 14 Apr 2016 09:47 PM PDT

SINAR HARIAN


Ali Hamsa
Ali Hamsa - Foto Bernama
 
 
PUTRAJAYA - Penjawat awam diberi pilihan untuk menerima atau menolak tawaran terhadap 252 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik berkuat kuasa 1 Julai ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau yang mengulas rasionalisasi skim perkhidmatan awam itu berkata, penambahbaikan itu akan memberi kesan kepada kenaikan gaji dan gred termasuk gaji permulaan minima sebanyak RM1,200 dalam sektor awam.

"Namun saya tidak nampak sebarang sebab untuk mereka menolaknya," kata beliau kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan reka cipta logo 'My High Speed Rail' (MyHSR) di sini hari ini.

Penambahbaikan itu akan memperlihatkan kenaikan tahunan kepada kesemua 1.6 juta penjawat awam, manakala penambahbaikan skim yang bermula dari gred 11 hingga 40 akan membabitkan 1.3 juta kakitangan kerajaan, katanya.

"Ini satu berita terbaik untuk penjawat awam dan berharap mereka akan meningkatkan produktiviti dan daya usaha dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Katanya walaupun hasil negara pada tahun ini berkurangan disebabkan faktor seperti penurunan harga minyak dunia, kerajaan tetap menunaikan janjinya untuk memberi kenaikan gaji seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016, sebelum ini.

Mengenai permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar kerajaan mengkaji semula kadar gaji yang ditawarkan supaya selaras dengan keperluan hidup penjawat awam, Ali menyifatkan ia permintaan yang menarik.

"Namun, kita juga mengharapkan Cuepacs turut sama memberi idea bagaimana untuk meningkatkan hasil negara di samping menggalakkan penjawat awam meningkatkan produktiviti mereka...itu yang sangat penting," katanya. - Bernama


‘Tandatangan tanpa baca, ini PM kita,’ kata Tun M

Posted: 14 Apr 2016 09:44 PM PDT

'Tandatangan tanpa baca, ini PM kita,' kata Tun M
Mahathir berucap pada Forum Laporan PAC 1MDB : Najib - Bersubahat atau Tidak Bersalah?, di sini, hari ini.
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan sebelum ini di mana beliau menandatangani dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa mengetahui kandungannya.

"Tandatangan (dokumen) tapi tidak tahu apa-apa. Macm mana orang macam ini boleh jadi perdana menteri?," katanya pada Forum Laporan PAC 1MDB : Najib - Bersubahat atau Tidak Bersalah?, di sini, hari ini.

Sebelum ini, persoalan dibangkitkan sama ada Najib tetap tidak bersalah walaupun menandatangani dokumen berkaitan 1MDB.

Terdapat laporan menyatakan bahawa Najib selaku penasihat 1MDB menyedari dan turut menandatangani kerjasama antara syarikat tersebut dengan Petro Saudi bernilai RM3.92 bilion (AS$ 1 bilion).

Namun, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menandatangani dokumen berkaitan 1MDB sebagai amalan biasa memandangkan beliau adalah penasihat firma pelaburan negara itu.

Dalam pada itu, Tun Mahathir berkata, berasaskan sikap kurang cerdik berkenaan, beliau menasihatkan agar pemimpin nombor satu negara itu meletakkan jawatan.

"Tandatangan dokumen tanpa baca, lebih baik letak jawatan sekarang. Ini perdana menteri tandatangan tapi tak baca. Agaknya cek pun beliau tandatangan tanpa baca. Ini perdana menteri kita.

"Orang begini tidak layak jadi PM, tiada pendirian," katanya.

Sebelum ini, ‎bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberi keterangan kepada PAC berkata, Najib menandatangani dokumen jadi bermakna beliau sedar.

Gadis Kristian peluk Islam di ceramah Dr Zakir

Posted: 14 Apr 2016 09:33 PM PDT

Gadis Kristian peluk Islam di ceramah Dr Zakir
Gadis Kristian telah memeluk agama Islam ketika mengikuti syarahan Dr Zakir di Padang Astaka di sini, malam tadi.
 
 
KEMAMAN – Seorang gadis Kristian telah memeluk agama Islam ketika  mengikuti syarahan penceramah terkenal antarabangsa Dr Zakir Naik di Padang Astaka di sini, malam tadi.

Wu Nina Grace, 19 dari Johor keturunan Filipina adalah seorang penuntut di sebuah kolej tempatan di sini.

Gadis itu mengucap syahadah di hadapan lebih 30,000 hadirin dan kelihatan sedikit sebak. Nina yang ditemui berkata dia mula mengenali Islam sejak berusia 13 tahun.

Nina dengan rela hati bersetuju mengucap dua kalimah syahadah selepas berpuashati mendengar penjelasan Dr Zakir mengenai konsep ketuhanan dan kenabian Muhammad.

Dr Zakir bertanyakan soalan adakah dia percayakan ALLAH SWT dan Rasul sebelum diakui oleh gadis berkenaan.

Pendakwah itu kemudiannya berkata, sekiranya sudah percaya dengan dua perkara itu mengapa dia tidak mengucap dua kalimah syahadah.

Sejurus kemudian, gadis itu terus mengikut Dr Zakir mengucap dua kalimah syahadah.

Sementara itu, mengenai perjalanan ceramah Dr Zakir selama enam hari di negeri ini, Menteri Besar berkata, beliau bersyukur ia mendapat sambutan luar jangkaan dan telah menawarkan pulau di Tasik Kenyir untuk dijadikan pangkalan Islamic Research Foundation bagi Asia Tenggara.

"Dr Zakir Naik menunjukkan minat yang tinggi dan perbincangan terperinci akan berlangsung nanti" katanya yang dipetik laporan Bernama.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang mengundang Dr Zakir ke negeri ini tahun depan dengan turut disertai penceramah terkenal lain di dunia.

Ahmad Razif ketika ditanya sama ada beliau mempunyai perancangan untuk mengambil Nina sebagai anak angkat, menjawab: "InsyaAllah. Alhamdulillah."


Ini jawapan Tun M kenapa mahu libatkan istana

Posted: 14 Apr 2016 09:27 PM PDT


Tun Dr Mahathir Mohamad


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Deklarasi Rakyat yang sedang giat disebarkan ke seluruh pelosok negara bakal dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu.

Meskipun ada pihak yang menyatakan bantahan dengan tindakan mengheret istana terlibat dalam gerakan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu, Tun Mahathir ada alasannya.

"Suara rakyat adalah suara keramat," demikian antara penjelasan beliau terhadap tindakan gerakan yang diketuainya itu pada  Forum Laporan PAC 1MDB : Najib - Bersubahat atau Tidak Bersalah?, di sini, malam tadi.

Malah beliau melahirkan keyakinan bahawa suara rakyat itu mampu mencapai matlamat deklarasi itu.
"Kalau kita dapat tunjuk kepada Raja-raja, deklarasi ini datang daripada berjuta rakyat, saya yakin Raja-raja pun gentar juga. Bukan itu saja, saya fikir mereka akan mendesak Najib suruh berhenti (letak jawatan).

"Mungkin jadi, mungkin tidak tetapi jika tidak buat apa-apa, memang tidak (jadi) lah. Saya yakin, jika berjuta rakyat Malaysia menandatangani deklarasi ini, Raja-raja akan ambil berat," katanya.

Menyelak lipatan sejarah, Tun Mahathir berkata, suara rakyat pernah merubah keputusan yang telah diambil Raja-raja ketika sebelum merdeka.

"Ada orang datang jumpa saya kata, 'buat apa pun, Najib tak akan turun, Raja-raja pun tak akan peduli'.
Saya nak cerita sedikit ketika kita melawan dengan Malayan Union, Raja-raja sudah tandatangan untuk serah negeri mereka kepada British untuk dijadikan Malayan Union. Rakyat tak ada kuasa, tak ada Perlembagaan yang memberi apa-apa kuasa kepada rakyat.

"Oleh itu rakyat tidak boleh buat apa mengikut undang-undang. Yang boleh dilakukan hanyalah mendesak Raja-raja supaya menolak perjanjian yang ditandatangani oleh mereka. Pada hari pertabalan 'high commisioner' bagi Malayan Union, Raja-raja didesak rakyat supaya tidak hadir dalam upacara itu dan mereka tidak hadir.

"Akhirnya Raja-raja menuntut supaya dibatalkan perjanjian tersebut. Walaupun tak ada dalam Perlembagaan, rakyat masa itu tidak ramai, tidak bijak tetapi suara rakyat adalah suara keramat," katanya.

Tun Mahathir dan pembangkang sedang giat mengajak rakyat menurunkan tandatangan bagi mendesak Najib meletakkan jawatan.

Sebelumnya, Pas membantah tindakan yang mahu memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk menjatuhkan perdana menteri.


Comments (0)