Followers

Nuffnang

.

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:20 PG | Posted in

sumber :-

.


Pilihan raya Sarawak tanpa Anwar dan Nik Aziz

Posted: 01 Apr 2016 02:03 AM PDT

RENCANA KHAS 

Allahyarham Nik Aziz tiba di Sarawak untuk berkempen.
Pilihan raya umum negeri Sarawak akan diadakan bila-bila masa dari sekarang. Ketua Menteri Adenan Satem telah pun menghadap Yang diPertua Negeri, Taib Mahmud untuk meminta perkenan DUN Sarawak dibubarkan. Tarikh bila akan diadakan, tergantung kepada SPR yang akan bermesyuarat dan mengumumkan tarikh-tarikh penting pilihan raya berkenaan.

Dipercayai pilihan raya Sarawak akan berlangsung pada April ini juga. Saya menjangkakan paling awal hujung bulan dan paling lewat awal Mei. Bagaimana pun ia bergantung kepada persiapan pihak BN Sarawak.

Kesegeraan pilihan raya Sarawak akan dilihat kepada penyelesaian beberapa isu yang membelit Najib Razak. Ia tidak boleh dilambatkan kerana isu membelit Najib akan memberi kesan sedikit sebanyak. Isu yang menghentam PM itu tampaknya bukan mudah untuk lengsai.

Pengistyharan Kuching kenangan PRN 2011.


Dalam pada itu selalunya SPR yang mengaku bertindak adil dan saksama, telus dan terbuka, akan memberi kelebihan (perioriti) kepada parti yang memerintah. Sarawak diperintah BN. Tidak terfikir Pengerusi SPR yang baru Hashim Abdullah, asal Kelantan, bertindak berbeza dengan pengerusi-pengerusi SPR sebelum ini.

Dalam pilihan raya kali ini sebanyak 82 kerusi dipertandingkan dengan tambahan 11 kerusi baru apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri diluluskan. Parti PBB yang menjadi parti tunggak BN di Sarawak menyakini mereka akan menang besar. Keyakinan itu ada asasnya. Antara sebabnya populariti Adenan sebagai ketua menteri baharu menggantikan Taib.

Kedudukan atau pencapaian pada pilihan raya lalu, parti bekas pimpinan Taib Mahamud itu mendapat 35 kerusi, manakala regunya daripada SUPP mendapat enam (6) kerusi, SPDD juga enam (6) kerusi dan PRS memperolehi 8 kerusi. SUPP mengalami kekalahan teruk dan memalukan, ini termasuk presidennya sendiri yang juga Timbalan Ketua Menteri, George Chan Hong Nam tewas.

Kemerosotan parti Cina itu menunjukkan peningkatan dan penerimaan DAP di kalangan masyarakat Cina di negeri Bumi Kenyalang itu menggalakkan. DAP yang sebelumnya mempunyai 6 (enam)  kerusi meningkat 12 kerusi, kebanyakan kerusi dimenangi di kawasan bandar. Senario itu juga menyebabkan apa yang menjadi tumpuan dalam pilihan raya kali ini dari kalangan oposisi ialah DAP, bukan PKR atau Pas.

Untuk pilihan raya kali ini DAP mensasarkan bagi menafikan majoriti 2/3 BN di DUN Sarawak. DAP tidak bernafsu besar untuk memerintah Sarawak. Apa dilakukan parti itu mengukur baju dibadan sendiri dan senantiasa bersikap tasamuh. Ia jauh lebih rasional berbanding parti agama Pas yang bercadang untuk letak 11 calon walaupun tenaga dan kemampuan batin kurang. Dalam pilihan raya lalu Pas letak 5 calon, semua kalah.

Hasrat Pas itu tidak masuk akal, melainkan ia sebagai hendak tunjuk "agah" sahaja itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah). Pas seharusnya tidak berkeras dan berbalah dengan Amanah. Parti itu harus berbaik dan berpakat dengan bekas rakannya itu bagi menghadapi pilihan raya Sarawak. Cubalah berpolitik secara "berpancabudi". Kalau ini dipraktikan mungkin hasrat Pas untuk mendapat kerusi sulung akan berjaya.

Alasan Pas meletak calon sebagai misi dakwah bukan sangat untuk menang pilihan raya. Kalau begitulah cara Pas elok parti itu menukar pendekatan politiknya di Sarawak dengan bergerak sebagai jemaah Tabligh atau badan bebas daripada politik. Politik memerlukan strategi, dan strateginya haruslah tersaul dek akal.

Manakala bagi PKR pula, dalam pilihan raya lalu telah meletak 49 calon dan menang hanya satu kerusi sahaja. PKR walaupun dilihat jauh lebih baik daripada Pas, tetapi masih juga berhadapan dengan masalah tersendiri. Masalah parti itu ialah apabila dua kelompok saling cuba menonjol dan merebut kekuasaan dalam parti, yakni Melayu dan Dayak/Kadazan.

Kepimpinan PKR kini dipegang oleh Baru Bian, bekas pemimpin Parti Bangsa Dayak (PBD) yang telah dimansuhkan. Keberadaanya di situ kurang disenangi oleh ethnik Melayu. Malangnya pula PKR tidak ada tokoh seperti Baru Bian untuk ditonjol sebagai pemimpin dan mereka juga masih berlegar di kalangan ethnik Melayu sahaja. Dalam kata lain PKR belum ada seorang tokoh bertaraf kebangsaan untuk memimpin parti itu.

Beberapa tokoh politik bekas PBB, pula kebanyakan sudah usang dan tidak mempunyai karisma lagi sebagai ahli politik yang penuh dengan sophisticated.

Keadaan yang ada dalam PKR, perebutan kuasa dua kumpulan itu menyebabkan ia kurang diyakini oleh rakyat Sarawak. PKR belum berjaya meletakkan ia sebagai wadah pengganti PBB atau setanding dengan DAP.

Kelemahan inilah bakal memberi kesan kepada PKR untuk mendapat banyak kerusi dalam pilihan raya nanti. Kalau PKR dapat tambah satu atau dua kerusi ia dikira sudah memuaskan. Menjadi tugas dan tanggungjawab pemimpin PKR di Kuala Lumpur untuk meredakan perasaan saling ragu meragui antara dua etnik dalam parti itu bagi melihat parti itu bersepadu.

Melihat kepada pelbagai masalah dan titikbengik yang berlaku dalam parti oposisi ini, terutamanya PKR dan Pas, sukar untuk oposisi menafikan kekuasaan majoriti 2/3 BN di DUN Sarawak seperti mana disasarkan DAP. Bagaimana pun jangan terkejut kalau DAP dapat menambahkan satu dua lagi kerusi pada pilihan raya kali ini untuk meletakkan parti itu terus menjadi parti oposisi besar di Sarawak?

Untuk oposisi mencapai kejayaan dalam pilihan raya itu nanti, terbaik ialah menerima formula diberikan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali. Oposisi perlu elak dari bertanding melibatkan sesama sendiri. Pertandingan tiga penjuru akan memberi keuntungan kepada BN. Selagi boleh bincang parti oposisi hendaklah berbincang hingga sampai ke saat akhir.

Pilihan raya Sarawak ini juga tidak memberi kelebihan kepada oposisi seperti mana pilihan raya yang ke-10 lalu. Ketiadaan dua orang tokoh yang menjadi ikon rakyat, menyebabkan sambutan rakyat Sarawak tidak seteruja dahulu. Apa dimaksudkan ialah ketiadaan Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim. Dalam pilihan raya lalu, kedua mereka "bercawat kote" untuk mempengaruhi rakyat Sarawak agar menyokong pembangkang.

Kehadiran mereka di beberapa lokasi ceramah yang saya saksi sendiri mendapat sambutan hangat. Misalnya ceramah Nik Aziz di pinggir bandaraya Kuching dihurungi masyarakat Cina yang luar biasa. Naik rimas bekas MB Kelantan itu dengan telatah anak-anak muda dan remaja Cina betina yang ingin bersalam dengannya.

Begitu juga dengan ceramah oleh Anwar penuh pepak dengan orang ramai. Mereka berdua dianggap sebagai tokoh pembaharuan dan perubahan kepada politik Sarawak ketika itu. Kini mereka berdua tidak mungkin akan berpartisipasi lagi. Tokguru sudah tiada manakala Anwar direhatkan di Sungai Buloh.

Walaupun Pas masih ada pemimpin spiritual yang baharu, tetapi keupayaan dan daya magnetik yang ada kepada mereka tidak sehebat Nik Aziz. Abdul Hadi Awang sendiri walaupun kerap turun ke Kuching tetapi masih gagal untuk menarik hati masyarakat pelbagai etnik di Sarawak kecuali diberi sambutan oleh anak-anak Kelantan yang bergabung dalam Perakan atau anak-anak Terengganu sahaja sambil makan ikan terubuk bakar.

Apa yang disebut itu, memberi kesukaran untuk oposisi menang besar di Sarawak kali ini. Kesimpulannya pilihan raya ke11 Sarawak kali ini tetap akan berstatus quo dengan BN akan menjuarai pilihan raya berkenaan. Dan kemenangan besar nanti akan digunakan Najib bagi menunjukkan kepada rakyat (Melayu) di Semenanjnung bahawa dia masih relevan untuk terus jadi PM. [wm.kl.4:30 pm 01/04/16]

Comments (0)