Followers

Nuffnang

"BERANI KERANA BENAR!"

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:03 PG | Posted in

sumber :-

"BERANI KERANA BENAR!"


Pak Said Zahari pergi ketika kebebasan media tak bersinar

Posted: 12 Apr 2016 11:47 PM PDT

Oleh Rusnizam Mahat 

Saya tidak dapat membayangkan penderitaan yang ditempuhinya, bagaimana dia melalui hari demi hari selama 17 tahun di sebalik tembok dan pagar berduri.

Seperti sembilu yang menyelinap ke dalam hati apabila mendapat tahu Pak Said Zahari sudah meninggal dunia.

Beliau bekas ketua pengarang Utusan Melayu yang pernah mengetuai mogok akhbar tersebut pada 1961.

Kira-kira enam tahun lepas, ketika saya bertugas di sebuah akhbar mingguan, saya diarahkan untuk menemubual Pak Said di rumah anaknya di USJ, Subang Jaya.

Ketika itu editor saya mencadangkan satu kolum khas untuk Pak Said dalam akhbar tersebut. Tugas saya menemuramah beliau, rakaman perbualan itu dan jadikan transkrip untuk disiar sebagai kolum setiap minggu.

Pada waktu itu kesihatan Pak Said sudah tidak begitu baik. Dia bercerita tepaksa berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan dan pemeriksaan doktor. Jadi untuk datang bertemu beliau, saya perlu menghubunginya terlebih dahulu - takut-takut jika dia ada janji temu dengan pihak hospital.

Kebiasaannya beliau akan bertemu tetamu dalam sebuah bilik khas, berlatarkan beberapa rak yang dipenuhi buku, termasuk yang ditulisnya sendiri.

Selain wartawan, ada juga kumpulan pelajar dan pensyarah universiti yang sering bertandang ke teratak Pak Said.

Menggunakan 'kerusi tongkat', Said Zahari menyambut saya dengan ramah. Dalam keadaan tidak bertenaga dan kurang berdaya itu, dia sentiasa bersemangat bercerita kisah-kisah masa lalu, terutama berkaitan politik dan perjuangannya yang penuh berliku.

Ditugaskan menemu bual Pak Said merupakan saat yang sukar saya lupakan. Saya kagum. Tersangat kagum dengan ketabahan dan kecekalan tokoh bernama Said Zahari.

Sukar membayangkan bagaimana selama itu dia menempuh kehidupan tanpa keluarga, isteri dan anak-anak di sisi. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan apabila tidak dapat menyaksikan anak-anak sendiri membesar di depan mata.

Titian gelora

Penentangan Said Zahari terhadap pengambilalihan Umno dalam Utusan bermula sejak 1959. Enggan tunduk kepada desakan pemerintah, beliau memimpin mogok Utusan bermula pada 21 Julai 1961.

Antara yang terlibat dalam mogok itu termasuklah sasterawan negara, Datuk Usman Awang. Apabila Said Zahari berkunjung ke Singapura bagi mendapatkan sokongan, Tunku Abdul Rahman mengharamkan beliau kembali semula ke Malaya. Mogok itu akhirnya gagal.

Said Zahari kemudian dilantik sebagai ketua Parti Rakyat Singapura. Menjelang pilihan raya 1963, parti itu bersekutu dengan Barisan Sosialis untuk berdepan parti Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew.
Namun pada 2 Februari 1963 Said Zahari ditangkap dalam Operasi Coldstore bersama 117 pemimpin pembangkang dan kesatuan sekerja.

Kerajaan Singapura menahan Said Zahari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan berfahaman komunis. Ketika ditahan, isterinya Salamah sedang mengandung enam bulan anak perempuan mereka.

Beliau hanya dibebaskan pada 22 Ogos 1979 selepas 17 tahun dipenjarakan sebagai seorang tahanan politik.

Pada 1989, Said Zahari memohon untuk masuk semula Malaysia. Beliau kemudian menulis memoir yang menceritakan liku-liku perjuangan yang pernah ditempuhnya - Meniti Titian Gelora dan Ribuan Mimpi Gelisah. Pak Said juga membukukan kumpulan sajaknya yang ditulis ketika berada di penjara Singapura.
Politik perkauman, sejarah satu hala

Bertemu Pak Said, saya memanfaatkan peluang bertanya kepadanya banyak perkara, khususnya latar politik di zamannya, sejarah kemerdekaan dan kebebasan akhbar yang diperjuangkannya ketika memimpin Utusan.

Saya dapat melihat sikapnya sebagai seorang nasionalis yang sangat membenci penjajah. Beliau begitu bersemangat apabila bercerita tentang perjuangan tokoh-tokoh kiri dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan.

Jelas yang terpamer di wajahnya adalah penyesalan apabila sejarah ditulis secara berat sebelah. Sejarah bagi Said Zahari tidak merakamkan peristiwa jujur, dan hanya meraikan mereka yang menang.
Perbualan kami juga kadangkala berkisar politik orang Melayu sebelum dan sesudah merdeka. Sering dia menegaskan bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan bukan dipelopori Umno sepertimana difahami kebanyakan orang.

Suatu perkara lain yang saya amat pasti adalah Said Zahari juga seorang yang sangat membenci politik perkauman.

Bagi Said Zahari, orang Melayu mesti berubah dan tidak harus hanya bercakap mengenai kepentingan satu kaum semata-mata. Baginya Melayu tidak akan maju selagi terus terperangkap dalam idea politik perkauman. Ternyata pandangannya progresif, jauh ke hadapan merentasi dan mendahului zamannya.
Malangnya kerana faktor kesihatan, kolum beliau dalam akhbar mingguan itu terpaksa dihentikan.

Seorang pemberani

Apabila mendapat perkhabaran semalam, hati saya tersentuh hiba. Akhirnya Pak Said pergi tanpa pengiktirafan sewajarnya dan sejarah perjuangannya yang tidak pernah dijernihkan.

Lebih menyedihkan, pemergian Said Zahari ketika kebebasan media sudah semakin malap dan tiada tanda akan menunjukkan sinar. Dengan pelbagai akta yang mengongkong, impiannya untuk melihat kebebasan dan demokrasi tumbuh subur, berkecai.

Pak Said pergi meninggalkan kita sebagai hero yang tidak didendang dan perjuangannya yang tidak pernah selesai. Saya terbayang ketika kali terakhir bertemu dengannya beberapa tahun lalu. Saya dapat merasakan betapa sunyinya hati seorang manusia bernama Said Zahari.

Ya, saya percaya bukan sanjungan atau pengiktirafan yang dimahukan orang seperti Said Zahari. Bukan juga pangkat atau gelaran. Dia memilih perjuangannya kerana yakin dan percaya kepada jalan kebenaran yang dipilihnya. Walau apapun jalan itu, saya juga pasti Said Zahari tidak pernah sesekali menyesal.

Prinsip itulah yang tertanam kuat dalam jiwanya, mengalir dan sebati dalam batang tubuh manusia bernama Said Zahari. Ia tumbuh bagaikan sebuah tugu yang begitu sukar dan terlalu kuat untuk dirobohkan.

Akhirnya Said Zahari tetap mati sebagai seorang pemberani, seperti apa yang pernah dititipkan Usman Awang dalam baris terakhir sajaknya "Salut Untuk Said Zahari".

Saudara
Telah tiga ribu hari rebah
Rebah di kaki pemerintah yang goyah
Keyakinan dan keberanian mengheretmu lagi
Ribuan hari berdiri di penjara ngeri.
Suaramu dari penjara Singapura:
'Mereka akan berkembang
Menghancurkan manusia biadab
Dan rakyat nanti
Tiada takut lagi'
Salut untuk Said Zahari
Salut untuk mereka yang berani!

Kenapa Manusia Menjerit - Jerit Masa Marah ?

Posted: 12 Apr 2016 11:12 PM PDT

Seorang Syeikh berjalan dengan para muridnya. Mereka melihat ada sebuah keluarga yang sedang
bertengkar dan saling berteriak.

Syeikh tersebut berpaling kepada muridnya dan bertanya : "Mengapa orang saling berteriak jika mereka sedang marah?".

Salah seorang murid menjawab : "Karena kehilangan sabar sebab itulah mereka berteriak."
"Tetapi , mengapa harus berteriak kepada orang yang berada di sebelahnya?

Bukankah pesan yang ia sampaikan boleh diucapkan dengan perlahan saja?" Tanya Syeikh menguji murid2nya.

Muridnya pun saling memberikan jawapan, namun tidak satupun jawapan yang mereka sepakati.

Akhirnya Syeikh berkata : "Bila dua orang sedang marah, ketahuilah hati mereka saling berjauhan. Untuk dapat menempuh jarak yang jauh itu, mereka mesti berteriak agar perkataannya dapat didengar. Semakin marah, maka akan semakin kuat teriakannya. Karena jarak kedua hati semakin jauh".

"Begitu juga sebaliknya, di saat kedua insan saling jatuh cinta?" Tanya Syeikh.

"Mereka tidak saling berteriak antara yang satu dengan yang lain. Mereka berbicara lembut karena hati mereka berdekatan. Jarak antara ke 2 hati sangat dekat."

"Bila mereka semakin lagi saling mencintai, apa yang terjadi?", Mereka tidak lagi bicara. Mereka Hanya berbisik dan saling mendekat dalam kasih-sayang. Pada Akhirnya , mereka bahkan tidak perlu lagi berbisik.

Mereka cukup hanya dengan saling memandang. Itu saja. Sedekat itulah dua insan yang saling mengasihi."

Syeikh memandang muridnya dan mengingatkan dengan lembut : "Jika terjadi pertengkaran di antara kalian, jangan biarkan hati kalian berjauhan. Jangan ucapkan perkataan yang membuat hati kian menjauh. Karena jika kita biarkan, satu hari jaraknya tidak akan lagi boleh ditempuh"!!!
Sumber: Telegram UAI

Comments (0)