Followers

Nuffnang

Ustaz Moden's Weblog

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:02 PTG | Posted in

sumber :-

Ustaz Moden's Weblog


Fatwa Perlis anak tidak sah taraf canggah Fatwa Kebangsaan

Posted: 28 Mar 2016 07:43 PM PDT

AYER KEROH – Pusat Perkhidmatan BN Negeri Melaka (Pembela BN) mencadangkan supaya undang-undang syariah mengenai status anak tidak sah taraf di setiap negeri diseragamkan agar tidak berlaku kekeliruan di kalangan umat Islam terutama yang berdepan masalah sedemikian.

Pengarahnya, Amir Hamzah Aziz berkata definisi anak tidak sah taraf mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan adalah anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

Menurutnya, ketika ini, Majlis Fatwa Perlis menetapkan anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin boleh dibinkan kepada suaminya, kecuali jika dinafikan si suami.

"Sedangkan mengikut majlis fatwa kebangsaan, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh memusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali,” katanya ekoran Pembela BN Melaka menerima banyak kes seumpama itu di negeri ini.

Beliau berkata, perkara ini perlu diberikan pemahaman sejelasnya kepada rakyat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

"Sekiranya boleh digunakan pakai seperti Perlis justeru masing masing akan lari ke Perlis untuk mendaftar dan Majlis Fatwa Peringkat Kebangsaan perlu menyelaraskan supaya setiap negeri mempunyai perundangan berkaitan yang sama.

image

"Penyelarasan ini memudahkan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) supaya sekiranya fatwa berkenaan boleh digunakan pakai, pihak berkenaan boleh mendaftarkan anak berstatus sedemikian," katanya.

Sementara itu, Mufti Melaka, Dr Mohd Muhadis Yasin turut menjelaskan negeri ini masih menggunakan pakai fatwa diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh), ia  tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.

"Anak itu juga tidak boleh pusaka memusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/selaraskan-status-anak-tak-sah-taraf-1.333079

image

 

Shahidan jangan cuba menggunakan nama YAB TPM dalam isu ini. Kerana belum ada sebarang kenyataan ditemui berkaitan dengannya.

Ini bukan kali pertama Perlis pro wahabi bercanggah pandangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan bahkan isu zikir menari juga Ia berbeza dengan Mufti yang lain seperti ditulis oleh Dato Zainul Rijal Abu Bakar di sini

Adab berbeza pandangan

OLEH DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
05 November 2015 4:00 PM

PERBINCANGAN mengenai perkara cabang dalam isu agama semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam ketika ini. Pada asasnya ia positif kerana dapat meningkatkan pemahaman kepada aspek agama itu sendiri. Namun sudah lumrah apabila bercakap tentang perkara cabang pasti akan muncul perbezaan pandangan sama ada dalam kalangan agamawan apatah lagi khalayak awam.

Perbezaan pandangan dalam isu khilafiah ini perlu diuruskan sebaik mungkin agar tidak menjadi barah dalam kalangan masyarakat Islam. Perkara pokok atau utama sudah disepakati bahawa perbezaan pandangan tidak boleh dibenarkan. Umpamanya dalam isu keesaan Allah tidak boleh ada perbezaan pandangan, begitu juga dengan kedudukan dalil-dalil yang bersifat definitif atau qatie perlulah diterima seadanya.

Namun fleksibiliti diberikan di dalam perkara cabang dengan meraikan pandangan yang berbeza selagi tidak melibatkan perkara akidah ataupun perkara pokok. Walaupun demikian penulis perhatikan terdapat kegagalan dalam kalangan orang Islam meraikan perbezaan pandangan sama ada pandangan antara mazhab atau ulama di sesuatu tempat.

KEGAGALAN RAI PERBEZAAN

Terkini apabila Mufti Kerajaan Negeri Perlis mengeluarkan fatwa zikir menari adalah haram di sisi hukum syarak, tetapi Mufti Negeri Sembilan pula memfatwakan sebagai harus. Maka, hebohlah seluruh negara membincangkan perkara ini dengan masing-masing memberi pelbagai hujah sama ada menyebelahi Mufti Perlis atau Mufti Negeri Sembilan.

Saya mengakui bukanlah seorang yang layak membincangkan hal fatwa ini kerana tidak mempunyai kelayakan formal di dalam bidang agama dan tidak ada kuasa memberi pandangan berkaitan hukum. Tetapi apa yang ingin dikupas di ruangan ini ialah dari sudut menguruskan perbezaan pandangan ataupun adab al ikhtilaf.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa banyak perbezaan pandangan muncul dalam Islam. Ini sepatutnya bukan merupakan kelemahan tetapi kekuatan untuk agama Islam itu sendiri.

Sudah lazim kita ketahui terdapat empat mazhab fikah yang besar di dalam Islam iaitu Mazhab Shafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi. Kemunculan empat mazhab besar ini menzahirkan simbol perbezaan pandangan dalam kalangan ulama. Malah Imam Shafie pun mempunyai perbezaan pandangan yang disebut sebagai qaul al qadim dan qaul al jadid.

Dahulu perbezaan pandangan antara mazhab dan ulama ini diraikan dengan baik. Tidak timbul sumpah seranah, momokan atau hinaan terhadap suatu pandangan yang asing bagi seseorang itu. Namun sejak kebelakangan ini hilangnya penghormatan terhadap perbezaan pandangan ini semakin menjadi-jadi.

Perbezaan pandangan sebegini bukan hanya terjadi di dalam agama Islam sahaja. Kristian umpamanya juga mempunyai perbezaan dalam kalangan pengikutnya yang mengakibatkan munculnya pelbagai aliran Kristian seperti Katolik, Protestan, Ortodoks, Methodist dan banyak lagi.

Namun mereka semua mengakui mereka adalah Kristian. Antara perbezaan yang sangat ketara ia perayaan Krismas yang disambut pada 25 Disember setiap tahun.

Sayas dimaklumkan penganut Kristian Ortodoks tidak menyambut perayaan tersebut pada 25 Disember tetapi pada 7 Januari. Perbezaan sambutan selama dua minggu ini tidak menjadi masalah besar kepada penganut Kristian.

Bagi kalangan umat Islam pula apabila umat Islam di Malaysia menyambut hari raya lebih dahulu daripada umat Islam di Indonesia umpamanya ataupun sebaliknya pelbagai reaksi diperoleh dengan menghujahkan tidak ada kesatuan di dalam agama Islam.

TIDAK PERLU DIPERBESARKAN

Islam mengajar menghormati perbezaan pandangan dalam perkara berkenaan. Mungkin sebahagian golongan tidak lunak duduk bersama dengan orang yang berbeza pandangan dengan mereka tetapi haruslah disedari perbezaan pandangan inilah yang menjadikan agama Islam itu lebih anjal dan dapat diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Di dalam kitab Jaami Bayan al ilm, Umar Abdul Aziz berkata: "Tidak aku sukai jika para sahabat tidak berbeza pendapat kerana jika mereka semuanya mempunyai pandangan yang sama maka manusia akan berada dalam kesempitan."

Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Mohd. Zin pernah menggariskan adab-adab berbeza pandangan di dalam perkara khilafiah di mana beliau merangkumkan ke dalam empat perkara besar iaitu:

Perbezaan pendapat janganlah membawa kepada perpecahan umat Islam.

Perbezaan pendapat dalam perkara ijtihad adalah perkara biasa dalam Islam, tetapi janganlah sampai merosakkan kasih sayang dan perpaduan umat Islam.

Menjaga hak-hak persaudaraan Islam

Hasan al-Banna menegaskan: "Perbezaan pendapat dalam masalah furu' (cabang) tidak boleh dijadikan sebab untuk berpecah dalam agama yang membawa kepada permusuhan dan pertengkaran kerana setiap mujtahid ada ganjarannya.

Menghormati pendapat berbeza

Imam al-Shafie adalah antara tokoh yang sangat terbuka, bertoleransi dan menghormati pendapat serta pandangan orang lain. Beliau sangat terkenal dengan ungkapannya 'pendapat kita betul, ada kemungkinan ia salah dan pendapat orang lain salah, ada kemungkinan betul.'

Boleh dianggap taksub melulu dalam kalangan umat Islam sekiranya terlalu menghendaki orang lain menerima pendapatnya. Kerana mereka percaya pendapat mereka sahaja yang betul, manakala pendapat orang lain semuanya salah dan tidak menepati kebenaran.

Golongan ini lupa bahawa pendapat mereka hanya satu ijtihad sahaja. Ijtihad mereka hanya merupakan satu pandangan yang boleh jadi salah dan boleh jadi betul. Oleh itu kenapa mereka fanatik dan memperbodohkan pendapat orang lain. Adakah mereka dijamin ismah (tidak melakukan kesalahan) seperti Rasulullah SAW.

Tidak menggunakan perkataan keras dan kasar

Orang Islam hendaklah menjadi orang beradab dengan adab-adab Islam dan berakhlak dengan akhlak-akhlak al-Quran dan al-Sunah. Antara adab dan akhlak tersebut ialah mengelakkan daripada membuat dakwaan palsu dan tuduhan liar dalam ucapan dan tulisan. Kata-kata kesat dan kasar boleh 'meliarkan' orang ramai. Gunakanlah perkataan yang lembut dan membuat takwilan yang wajar dan munasabah.

Menguruskan perbezaan pandangan ini amatlah penting bagi umat Islam kerana kegagalan menguruskannya mungkin akan menyebabkan umat Islam terjerumus ke kancah perpecahan.

– See more at: http://m.utusan.com.my/rencana/agama/adab-berbeza-pandangan-1.154949#sthash.5Y23MshL.dpuf

 

Baca juga laporan berita Mufti Perlis Di pentas anjuran NGO Sister in Islam isu nama anak tidak sah taraf ini

 

Kaji semula fatwa nasab anak bawah enam bulan – Mufti

25/02/2012 8:38pm
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengkaji semula fatwa melarang anak yang lahir kurang enam bulan selepas perkahwinan, dinasabkan (dibinkan) kepada bapanya.

Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, kajian semula itu perlu dilakukan kerana keputusan tersebut hanya disandarkan kepada dalil bersifat tafsiran (mafhum) dan bukannya ditetapkan (mantuq).

Menurutnya, terdapat satu dalil mantuq iaitu sebuah hadis dalam sahih Bukhari dan Muslim yang menyebut bagaimana Rasulullah mengiktiraf nasab seorang anak selepas bapanya mengakui bahawa anak itu adalah anaknya tanpa mempersoalkan apa-apa.

"Saya menimbulkan isu ini bukan mahu menggalakkan zina kerana zina bukan sahaja diharamkan oleh Allah malah mendekatinya juga dilarang.

"Namun, apa yang saya mahu timbulkan ialah kewajaran kita menghukum anak yang lahir tidak cukup enam bulan selepas ibu bapanya berkahwin dilarang daripada dinasabkan kepada bapanya sendiri.

"Adakah ini yang syarak tetapkan sedangkan ada satu hadis yang boleh kita jadikan panduan iaitu hadis yang mengisahkan pertikaian dua sahabat terhadap seorang kanak-kanak.

"Asas kandungan hadis itu nasab anak adalah berasaskan kepada perkahwinan dan diakui bapanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum `Ada Apa Pada Nama' anjuran Sisters In Islam di sini hari ini.

Turut menjadi ahli panel pada forum tersebut ialah Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya dan pengamal undang-undang, Nizam Bashir.

Panel itu dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (Kanita), Prof. Dr. Rashidah Shuib.

Pada 1971, persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan, tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pusaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

Juanda berkata, atas sebab itu juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 2009 mengeluarkan fatwa bahawa anak yang lahir di bawah enam bulan selepas ibunya berkahwin boleh dinasabkan kepada suaminya kecuali ia dinafikan oleh suaminya itu.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada hadis Rasulullah. Ini adalah hadis sahih yang diriwayatkan kira-kira 20 sahabat.

"Oleh itu, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu melihat semula soal ini supaya masalah nasab ini dapat segera diselesaikan. Soal nasab ini amat penting kerana ia melibatkan maruah dan nama baik semua yang terlibat," ujarnya.

Beliau berkata, akibat daripada fatwa tersebut juga menyebabkan bayi yang lahir di bawah enam bulan selepas perkahwinan tidak boleh dinasabkan kepada bapanya walaupun bapa berkenaan mengaku bayi itu adalah anaknya.

"Satu lagi masalah yang dihadapi, bapa terbabit tidak boleh `berbin' atau `berbinti' pada dirinya apabila melakukan pendaftaran di JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) kerana dikatakan `terikat' dengan fatwa tersebut," ujarnya.

Ismail pula ketika membicarakan isu sama berkata, keputusan yang dibuat oleh hakim dalam menentukan satu-satu kes termasuk nasab adalah bersandarkan kepada sumber syarak dan tidak tertakluk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Sebelum keputusan dibuat pihak hakim akan buat siasatan dan penelitian dengan berdasarkan sumber-sumber hukum syarak yang sedia ada," katanya. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0225&pg=bt_32.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&y=2012#ixzz44FyTNZn4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan anda boleh baca di sini :

http://www.islam.gov.my/sites/default/files/jakim-anak_tak_sah_taraf.pdf


Comments (0)