Followers

Nuffnang

Episode Sebuah Perjuangan

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:15 PG | Posted in

sumber :-

Episode Sebuah Perjuangan


Rasuah Cemar Integriti Penjawat Awam

Posted: 26 Mar 2016 11:56 PM PDT

Kes rasuah RM 100 juta yang dibongkarkan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini telah mencemar integriti penjawat awam. Bagaimana jumlah yang terlalu besar terlepas daripada pemeriksaan pegawai audit kementerian dan Jabatan Audit Negara? Isu ini telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap keberkesanan perbelanjaan keseluruhan dana awam yang diperuntukkan kepada kerajaan setiap tahun.
Sebenarnya, isu tersebut adalah kemuncak kepada ketirisan dan penyelewengan dana awam di negara ini. Hampir setiap tahun Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) telah mendedahkan salah guna dana awam samada perbelanjaan yang tidak relevan (inflated price), ketidakpatuhan dalam prosedur perolehan dan perjalanan projek yang tidak mengikut spesifikasi. Namun, semua pembongkaran korupsi tersebut masih tidak mampu mengekang kezaliman yang berlaku.
Sebagai contoh, dalam LKAN 2012 telah merekodkan transaksi pembelian jam dinding yang bernilai RM 3810, walhal harganya hanya RM 100 di pasaran. Jumlah ketirisan secara keseluruhan yang dimaklumkan dalam LKAN 2012 berjumlah kira-kira RM 3.5 bilion. Begitu juga LKAN 2013 yang mendedahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM telah membayar sejumlah RM 11.94 juta kepada 3,786 pesara tentera yang telah meninggal dunia. Menurut Menteri Kewangan Kedua, jumlah ketirisan dianggarkan berjumlah RM 1.5 bilion pada tahun 2013.

Adakah kita mahu ia terus berulang? Jika LKAN ini menjadi indikator terhadap parameter korupsi di sektor kerajaan, ia hanya meliputi 5 peratus daripada keseluruhan transaksi dan dibuat secara rawak. Oleh itu, bagaimana untuk memastikan ketirisan, penyelewengan, rasuah, korupsi dan kronisme tidak akan berlaku lagi? Rakyat menuntut agar satu reformasi dilakukan secara serius supaya kezaliman ini mesti dihentikan.

Jumlah ketirisan ini boleh menampung pembiayaan biasiswa yang disekat oleh kerajaan, mengurangkan kadar tol dan tambang pengangkutan awam, serta menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Rakyat tidak redha jika penyelewengan ini terus dilakukan dan pada masa yang lama lebih ramai rakyat yang menderita akibat tanggungan kos sara diri yang terlalu tinggi.

Amalkan Tabayyun “Maklumat”

Posted: 25 Mar 2016 09:20 PM PDT

Kuat dan luasnya paksi perjuangan yang berlandaskan kebenaran adalah banyak bergantung kepada benar dan tepatnya maklumat selain daripada tunjangnya adalah prinsip dan aqidah perjuangan yang sahih. Justeru perjuangan berkait rapat dengan sokongan dan penerimaan masyarakat, sementara sokongan dan penerimaan itu pula banyak dibantu oleh maklumat yang benar dan tepat.

Maklumat yang disebar dan disampaikan tanpa mengetahui kesahihannya adalah menjejaskan kredebiliti perjuangan dan merosakkan integriti pejuang. Tambahan maklumat yang mencetuskan pertelingkahan dan salah faham dikalangan penerima gara-gara salah fakta dan tidak diketahui sumber atau punca. Ia menjadi fitnah yang memusnahkan keutuhan perjuangan dan kesejahteraan hubungan. 

Hayati firman Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (surah al-Hujurat: ayat 6)

Teknologi maklumat adalah anugerah Allah yang mesti disyukuri dengan memanfaatkannya secara amanah dan penuh tanggungjawab. Jangan jadikan teknologi tersebut sebagai saluran pantas mencipta dosa dan noda. Kelak murka Allah tidak tertanggung oleh kita.
Memanglah mudah untuk copy paste sesuatu maklumat sebagaimana mudah juga untuk share dan forward maklumat tersebut, tetapi ingatlah bahawa Malaikat Allah tetap berupaya menerobos masuk ke segenap talian digital. Jaringan cyber jua bukan zone bebas dari pemantauan Malaikat Allah. Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Maka jangan cipta dosa dalam keghairahan kita ber-facebook, twitter dan mengendali website.
Penerangan dan penyampaian maklumat jalur konvensional seperti ceramah, kuliah, forum, wacana, maqalah, majallah, kenyataan media dan sebagainya juga mesti dielakkan dari fitnah, salah fakta dan sumber yang kabur. Demikian juga maklumat "hear say" kerana pastinya ia mencalar reputasi kita sebagai penyampai kebenaran. 

Bagaimanalah kita layak digelar pejuang kebenaran jika maklumat yang kita sampaikan itu pun tidak pasti kebenarannya? Dalam masa yang sama kita juga mesti menolak gaya maki hamun dan pendekatan caci nista dalam penyampaian kita. Kemukakan pandangan, komen, kritikan, nasihat dan sebagainya dengan fakta yang benar dan betul serta membawa pendekatan yang harmoni dan cool.

Sebagaimana kita dilarang syara' menyebarkan maklumat yang salah dan berbaur fitnah, demikianlah kita diajar supaya tidak menelan bulat-bulat sebarang maklumat yang diterima atau yang disampaikan kepada kita. Sebaliknya siasat (tabayyun) kebenaran maklumat itu terlebih dahulu dengan teliti dan berhemat sebelum mengambil sikap dan menentu keputusan terhadap maklumat yang diterima.

Langkah ini adalah "firewall" yang akan menyelamatkan kita dari tersalah langkah dan tersilap arah didorong oleh maklumat yang salah. Pastikan setiap kita sebagai pejuang kebenaran ini selamat dari virus yang dibawa oleh maklumat yang salah sama ada di salur input atau dijalur output.

Berpihaklah Kepada Kebenaran

Posted: 25 Mar 2016 08:51 PM PDT

Dunia Islam alami pelbagai zaman. Bermula zaman perang kabilah, perang antara negara, perang dunia, perang ekonomi, perang pemikiran, perang budaya dan kini perang cyber. Semuanya membawa satu matlamat iaitu memadam cahaya Agama Allah, dengan kelicikan strategi dan helah mereka seperti "divide and rule", "character assassination" dan lainnya. Ini adalah suatu yang telah disahkan oleh Allah;
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)." (surah al-Saff: ayat 8)
Hari ini jelas kelihatan samseng-samseng cyber dan "keyboard trouble" memenuhi segenap jalur dalam jaringan jalur lebar untuk menyebar virus fitnah, racun pembunuh karektor, melagakan pimpinan gerakan Islam, menghina alim ulamak, mempersenda syariat dan merosakkan maruah serta imej perjuangan Islam. Kerancakan serangan mereka makin menjadi-jadi di era Post Islamisme ini.
Pejuang Islam kena alert perkara ini. Kena sedar perancangan musuh dan sepak terajang mereka yang mahu merosakkan Islam. Kena ada tindakan positif dan efektif dari para pejuang Islam untuk "protect" jamaah Islam ini dari serangan virus tersebut. Kalau bukan pejuang Islam menjadi "firewall"nya maka siapa lagi? Ingat pesan Saidina Umar al-Khattab (athar ini disebut oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah dalam Minhajus Sunnah dan Ibnu Qayyim di dalam al-Fawaid);
إنما تنقض عرى الإسلالم عروة عروة إّا نشأ في الإسلام من لم يعرف الجاهلية
"Akan terungkai ikatan Islam itu serungkai demi serungkai dari ummat Islam apabila merata dalam Islam ini mereka yang tidak mengenali (dan memahami) sepak terajang jahiliyyah (musuh)."

Justeru itu, sifat pejuang Islam ialah responsif secara positif dan efektif dengan bangkit pertahankan Islam, pertahankan alim ulamak yang memperjuangkan Islam dan membawa suara Islam meskipun berdepan dengan 1001 halangan. Jangan playsafe. Sampai bila nak diam? Saya terbaca dalam Kitab yang berjudul "Imam Ahmad ibn Hanbal : Baina Mehnat al-Din wa Mehnat al-Dunya" dimuatkan pesanan Imam Ahmad ibn Hanbal rahimahullah;
إذا سكت العالم تقية و الجاهل يجهل فمتى يظهر الحق
"Apabila diamlah orang yang mengetahui kerana taqiyah (playsafe) sedang orang yang tidak mengetahui terus dalam keadaan tidak mengetahui (jahil) maka bilakah kebenaran itu akan zahir?"

Lebih malang jika sikap tidak berpihak ini terbawa-bawa sampai ke peringkat "makan keliling". Bertemu dengan kita, mereka berkata kami bersama kamu, jangan bimbang! Namun apabila mereka bersama syaitan-syaitan mereka, mereka berkata "kita serupa, di sana tadi kami hanya berolok-olok." Sifat ini adalah percikan dari sifat munafik yang tidak wajar kita biarkan. Lihat bagaimana karektor munafiq dalam firman Allah;
وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ
"Dan apabila mereka (munafiq) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata; Kami telah beriman, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula; Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)." (surah al-Baqarah: ayat 14)

Jangan sampai sifat munafiq terpercik kepada kita. Hindarinya sejauh yang boleh. Sikap suka makan keliling ini adalah keji. "Kononnya nak jaga kawan sampai lupa nak jaga Islam". Gejala ini berleluasa dan akhirnya menjadi fitnah kepada Islam. Lihat sahaja bagaimana aksi mereka. Mereka serang Islam dan alim ulamak bagai nak rak, tiba-tiba kita pula masih berada dalam "zon sangka baik" sokmo, zon playsafe, tidak mahu berpihak, kononnya kita mahu bersikap wara' sedang mereka tidak pernah bersimpati sebaliknya terus menyerang tanpa henti. Cyber Trooper mereka membelasah dan mengganyang Islam dan para alim ulamaknya tanpa wisel pelerai. Di mana kamu wahai pejuang?! 
Pilihlah kebenaran dan berpihaklah kepada kebenaran.

Berdakwah Jangan Mengalah

Posted: 23 Mar 2016 05:52 PM PDT

Cabaran dakwah kita hari ini sangat mencabar. Jangan pandang rendah pada keupayaan musuh yang merancang untuk memesong pemikiran ummah dan meruntuhkan akhlak berjamaah dikalangan anggota gerakan Islam. Mereka mencipta pelbagai salah faham dan kekeliruan agar hilang thiqah (kepercayaan) awam kepada Gerakan Islam dan kepimpinannya.

Para dae'i (pendakwah) mesti bekerja keras untuk memulihkan kefahaman dan pemikiran ummah terhadap Islam dan perjuangannya. Pula mendepani era Pasca Islamisme yang datang dengan 1001 helah untuk melunturkan nilai dan komitmen terhadap Amal Islami. Arus "Gerakan Islam Tanpa Syariat" dilihat sebagai relevan kononnya untuk diadaptasi dalam iklim politik moden pada hari ini.
Akhirnya Islam yang dibawa melalui manhaj Wahyu dan Sirah Nabawiyah dianggap asing, lambat menang, tidak sesuai, konservatif dan sebagainya. Ini adalah antara tohmahan dan igauan berulang kepada perlaksanaan Syariat yang diperjuangkan kini. Sebagai pejuang dan pendakwah, jangan mengalah apa lagi berundur. Sebaliknya banggalah bersama dengan perjuangan Islam ini. Sebar risalah Islam dan bina kader pejuang tanpa penat dan bosan.
Sabda Nabi sallallahu'alaihi wasallam;
بَدَأَ الإِسْلامُ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
"Telah bermula Islam dalam keadaan asing dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah orang-orang yang asing (kerana tetap komited bersama Islam)."

Comments (0)