Followers

Nuffnang

DIALOG RAKYAT

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 3:11 PTG | Posted in

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Pemimpin rasuah: Rakyat sudah tidak boleh bersabar

Posted: 27 Mar 2016 05:25 AM PDT

 
Pemimpin digesa bersatu untuk bertindak menyingkirkan Najib Razak bagi membantu memulihkan kehidupan rakyat yang semakin terhimpit.


zaid-ibrahim,selamakan-malaysia


SHAH ALAM: Pemimpin politik ternama di Malaysia perlu bersatu untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana rakyat sudah tidak lagi boleh bersabar dengan keadaan negara ketika ini.

Bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim berkata, negara perlukan perubahan secara total terhadap sistem politik dengan dimulakan menyingkirkan Najib dan pemimpin lain yang bersekongkol dengan beliau daripada pentadbiran negara.

"Mereka mendakwa menentang rasuah, berjuang untuk Islam dan mengutamakan integriti sebaliknya mereka selesa dengan rasuah. Sebahagian besar rakyat kini hidup dalam kesukaran sedangkan pemimpin terus bergelumur rasuah," katanya dalam ucapan pembukaan Kongres Rakyat yang dihadiri pemimpin ternama di sini, hari ini.

Kongres itu adalah kesinambungan Deklarasi Rakyat yang bertujuan menyingkirkan Najib.

Antara pemimpin politik yang hadir hari ini termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Husam Musa, Tun Dr Ling Liong Sik, Tan Sri Sanusi Junid dan pemimpin masyarakat sivil antaranyat Maria Chin Abdullah dan Datuk S Ambiga.

Zaid berkata, pemimpin yang datang pada program itu pernah berjasa dengan menjadikan negara ini dihormati dunia.

"Ramai pemimpin yang hadir hari ini adalah sebahagian daripada kisah kejayaan itu. Ramai antara kami adalah daripada generasi selepas merdeka, sama-sama berjuang untuk rakyat bawahan supaya mereka merasai sedikit kemakmuran dan keadilan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, imej negara kini teruk tercemar dengan skandal rasuah terutama melibatkan 1MDB dan pertukaran Peguam Negara dan salah guna Akta Rahsia Rasmi yang digunakan untuk merahsiakan kepincangan negara.

Pas Terengganu arah jentera sedia hadapi pilihan raya negeri mengejut

Posted: 27 Mar 2016 05:21 AM PDT

MALAYSIA DATELINE


Pas Terengganu berhajat kembali ke Wisma Darul Aman.Pas Terengganu berhajat kembali ke Wisma Darul Aman.


Berlawanan dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu tidak berminat untuk menangguk di air keruh dan mengamalkan politik matang, Pas Terengganu semalam mengarahkan jentera pilihan raya parti agar bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri.

Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat mengarahkan kawasan-kawasan, Dun dan Unit Peti Undi (UPU) parti itu agar bersiap sedia memandangkan kebarangkalian pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu boleh berlaku dalam masa terdekat.

Pas katanya tidak menolak kebarangkalian bahawa Dun Terengganu akan dibubarkan dalam masa terdekat, lapor portal berita rasmi Pas, Harakahdaily.

Satiful berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Taklimat Khas Pas Pusat Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq) Pas Kuala Nerus, kelmarin.

"Tidak ditolak kebarangkalian bahawa Terengganu ini akan dibubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun). Boleh jadi ada dan boleh jadi tidak, sebab tidak tolak (kemungkinan).
"Politik ini macam bola, benda bulat. Jadi apa pun kita mesyuarat Dewan Harian baru-baru ini telah ambil keputusan semua kawasan, semua Dun dan juga UPU bersiap sedia dari sekarang.
"Selepas ini buka semula bilik gerakan, semak daftar pemilih, kemaskinikan data dan sebagainya, insya Allah jika dikatakan bila-bila masa loceng dibunyikan untuk ke medan perang, insya Allah kita bersedia.

"Roadmap kita menuju ke Wisma Darul Iman, kalau pun tidak pada PRU14 dan kalau masa terdekat pun insya Allah, dengan izin Allah Taala kita akan kembali ke Wisma Darul Iman," jelasnya.

Abdul Hadi dalam satu kenyataannya semalam menjelaskan, Pas tidak berminat untuk menangguk di air keruh untuk berkuasa ekoran masalah yang dihadapi parti politik kawan dan lawan.

"Mengapa Pas tidak bersungguh menyokong usul undi tidak percaya menjatuhkan kerajaan pusat dan khususnya Terengganu yang paling dekat laksana dicapai tangan sahaja, kerana kerusi Adun Pas yang hampir mendekati majoriti mudah?

"Mengapa tidak bersemangat menyertai himpunan yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang yang bersemangat bergabung dengan Umno yang memprotes pemimpinnya?

"Jawapannya kepada ahli Pas dan penyokongnya, bahawa nelayan yang bijak walaupun miskin, tidak boleh menangguk di air keruh yang ikannya bercampur belut, ular dan buaya, kerana membahayakan diri dan merosakkan jala dan pukat, bahkan boleh menenggelamkan perahunya serta membahayakan diri," kenyataan Abdul Hadi dipetik.

19 pemidato bahas Deklarasi Rakyat, Mahathir & Muhyiddin sampai awal

Posted: 27 Mar 2016 05:19 AM PDT

ARIF ATAN & HUSIN MAHAT


Ketibaan Muhyidddin disambut laungan 'reformasi'.Ketibaan Muhyidddin disambut laungan 'reformasi'.


Seramai 19 pemidato akan membahaskan Deklarasi Rakyat pada Kongres Rakyat 2016 petang ini yang bertemakan 'Selamatkan Malaysia'.

Menurut senarai akhir yang dikeluarkan sekretariat penganjur kongres, antara pemidato yang terlibat ialah mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; mantan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin; Presiden Amanah Mohamad Sabu; Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Turut berucap bekas menteri besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir; mantan menteri kebinet Tan Sri Sanusi Junid; ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar; ahli dewan undangan negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa dan naib presiden PKR Rafizi Ramli.

Antara pemimpin masyarakat sivil yang dijadualkan berucap ialah bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenesavan, pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, pemangku presiden MTUC Abdullah Sani dan pemimpin pelajar Syed Saddiq.

Turut tersenarai pengarah strategik PKR Fahmi Zainol; setiausaha publisiti DAP Teresa Kok dan penganjur program Datuk Zaid Ibrahim.

Tun Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama pada program anjuran Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) yang berlangsung di Dewan Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula jam 2.00 petang hingga 6.30 petang ini.

Menurut Zaid, pihaknya telah memaklumkan kepada polis berkenaan kongres tersebut bagi tujuan keselamatan.

Beliau berkata, selepas kongres berkenaan Dr Mahathir akan mengetuai gerakan turun ke negeri-negeri.

"Kami adalah the right force bukan satu, dua atau tiga force," kata beliau pada sidang media di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kongres itu katanya diadakan bagi merangka tindakan susulan mencapai matlamat mengubah pucuk pimpinan negara yang ada sekarang.

"Kongres ini akan membahas matlamat negara Malaysia yang baru untuk kembali ke arah pemerintahan yang menolak korupsi dan penyalahgunaan kuasa, membina budaya politik yang sihat dan demokratik, urus tadbir yang baik, menghormati dan mematuhi undang-undang, dan tidak kurang pentingnya memulih kembali institusi kerajaan yang boleh berfungsi secara profesional dan penuh integriti," jelas beliau.

Ketika berita ini ditulis, Tun Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mahfuz sudah pun sampai di pekarangan SACC sambil disambut tepukan gemuruh dan laungan 'reformasi' dan 'hidup Tun'.

Laungan "Hidup Tun, Reformasi" bergema di SACC Shah Alam

Posted: 27 Mar 2016 05:16 AM PDT

ARIF ATAN


Lagu Negaraku dinyanyikan para hadiri tepat jam 2.00 petang.Lagu Negaraku dinyanyikan para hadiri tepat jam 2.00 petang.


Ketibaan beberapa pemimpin utama di Kongres Rakyat anjuran Gerakan Selamatkan Malaysia di SACC, Shah Alam hari ini disambut dengan laungan berbeza oleh golongan penyokong.

Sorakan "Hidup Tun" mengiringi ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad pukul 1.10 petang tadi manakala laungan "Reformasi" kedengaran 30 minit selepas itu sebaik Muhyiddin Yasin tiba.

Tidak lama selepas itu pekikan "Bebas Anwar" bergema ketika Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR, Azmin Ali tiba.

Turut kedengaran sorakan "Tangkap Najib Tangkap" di pintu masuk utama dewan.

Ketiga-tiga pemimpin yang menjadi tumpuan lensa kamera itu kemudiannya memasuki bilik tetamu VIP di kompleks konvensyen tersebut sebelum majlis bermula pukul 2 petang tadi.

Program berkenaan bakal menyaksikan 18 pembahas mewakili kesemua parti politik dan NGO di negara ini sebelum diakhiri dengan ucaptama oleh Tun Mahathir.

Pas yang dilihat senada dengan kepimpinan rejim BN hanya diwakili dua tokoh 'harumanis' iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa, masing-masing di kedudukan kelapan dan ke-10 dalam senarai pembahas.

Selain kawalan keselamatan dan kelancaran program daripada pihak ARiF, kemunculan sekumpulan lelaki kira-kira 10 orang berkot dan berkaca mata hitam menarik perhatian peserta kongres.

"Semua subsidi ditarik, rakyat pekerja sengsara," kata Abdullah Sani

Posted: 27 Mar 2016 05:14 AM PDT

 ARIF ATAN


Perbahasan Abdullah Sani yang mendedahkan penderitaan golongan pekerja menarik perhatian hadirin.Perbahasan Abdullah Sani yang mendedahkan penderitaan golongan pekerja menarik perhatian hadirin.


Menarik perhatian peserta Kongres Rakyat 2016 yang memenuhi dewan persidangan di SACC, Shah Alam hari ini, ucapan pemimpin golongan pekerja yang mengecam kepimpinan Najib Razak.

Pemangku Presiden MTUC Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan ratusan ribu pekerja hilang sumber pendapatan akibat kejatuhan ekonomi negara mutakhir ini.

"Rakyat pekerja derita dan sengsara. Lebih 400,000 pekerja jadi penganggur terhormat. Ratusan ribu graduan tidak memperoleh pekerjaan.

"Kos sara hidup naik mendadak dengan kepimpinan tidak tentu hala tuju," bidasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat dari PKR itu.

Beliau berkata, pada masa ini semua subsidi ditarik dengan kesan paling buruk menimpa rakyat apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan mulai April tahun lalu.

"Hari ini semua subsidi ditarik. Pagi cakap lain, petang cakap lain, jam 12 tengah malam cakap lain (kenaikan harga).

"Rakyat sengsara kena cukai itu, ini. GST penyebab utama rakyat derita. GST menyebabkan banyak syarikat tutup operasi mereka," ujarnya.

Beberapa kali beliau turut menekankan tentang situasi pemberhentian pekerja yang kritikal pada masa ini.
"Hari-hari saya dapat maklumat pekerja hilang kerja. Banyak kilang, syarikat tutup. Sudah hampir 70,000 pekerja dipecat dalam tempoh tiga bulan lalu.
"Saya yakin rakyat di desa dan bandar padat dengan kesengsaraan. Negara ini perlukan perubahan.

"Mana rakyat yang tak mahu sertai (Deklarasi dan Kongres Rakyat), yang nak beri tongkat (pada Najib), pergi m*mpus.

"Rakyat kena bangkit menolak Najib dan Rosmah," tegasnya diikuti tepukan gemuruh hadirin.

Kongres Rakyat 2016 pada hari ini susulan daripada pemeteraian Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu yang disertai parti dan NGO merentas fahaman politik.

Bukan DAP atau Mahathir, tapi hak rakyat Malaysia tolak pemimpin korup

Posted: 27 Mar 2016 05:11 AM PDT

ARIF ATAN


Husam MusaHusam Musa


Menafikan desakan menuntut pengunduran Najib Razak sebagai suara pihak tertentu, Datuk Husam Musa mengingatkan bahawa seluruh rakyat mempunyai hak untuk menolak pemimpin yang korup.

Pemimpin Pas itu berkata, isu perkauman tidak harus dijadikan alasan untuk menafikan tuntutan rakyat yang mendesak pengunduran Najib.
"Ini bukan (gerakan) DAP. Ini bukan Mahathir. Jangan jadikan kebangkitan ini isu rasis, isu Cina. Ini bukan pilihan tapi adalah kewajipan," tegasnya ketika berbahas dalam Kongres Rakyat 2016 hari ini.
Mengulas kepincangan pentadbiran Najib, beliau berkata, institusi kerajaan berkaitan gagal memainkan peranan sewajarnya ketika negara berada di kemuncak masalah.

"Tiada mekanisme pembetulan. Kuasa hanya berpusat pada seorang saja bahkan mengatasi kuasa raja-raja," ujar Husam.

Mengingatkan pelbagai isu berlaku akibat pentadbiran Najib, beliau menggesa rakyat segera bangkit melakukan perubahan.

"Bagi pemimpin ini, sila pandang dan refleksikan diri. Apa yang telah berlaku terimalah hakikat kemusnahan demi kemusnahan yang berlaku kerana tangan kekuasaan anda (Najib).

"Adakah tuan-tuan bersetuju Najib must go?" soalnya dengan mengakhiri perbahasan beliau dengan laungan "Najib must go" sebanyak tiga kali bersama-sama peserta yang memenuhi dewan SACC petang ini.

Kenakan tindakan tegas terhadap Muhyiddin, Mukhriz – MT UMNO

Posted: 27 Mar 2016 05:08 AM PDT

 
Langkah Muhyiddin dan Mukhriz itu mencerminkan mereka kini adalah sebahagian daripada pembangkang yang terang-terangan mahu menentang parti.


mahdzir


KUALA NERANG: UMNO perlu mengambil tindakan tegas terhadap dua pemimpinnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menghadiri perhimpunan tertutup bersama-sama pemimpin pembangkang di Shah Alam, Selangor hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan Mukhriz selaku Ketua UMNO Bahagian Jerlun dan Muhyiddin sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh, mencerminkan mereka kini adalah sebahagian daripada pembangkang yang terang-terangan mahu menentang parti.

Beliau berpendapat, sudah tiada maknanya kedua-dua mereka berada di dalam parti.

"Menyatakan bahawa mereka menyayangi UMNO, sedangkan tindakan mereka jelas bertentangan dengan kenyataan tersebut … parti sepatutnya ambil tindakan terhadap mereka, kalau sudah pergi sejauh itu tak perlu berada dalam parti lagi, baik berterus terang sahaja," katanya yang dipetik dari Bernama.

Kerajaan dolak dalik isu kos RM270 juta baiki KLIA2

Posted: 27 Mar 2016 04:54 AM PDT

Oleh Farhana Mohammad


KUALA LUMPUR: Kerajaan berdolak dalik dalam isu peningkatan kos sehingga RM270 juta untuk membaiki kerosakan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin bertanya bagaimana kos pembaikan dari lebih RM70 juta naik sehingga RM193.5 juta – peningkatan begitu besar, sejak lapangan terbang itu dibuka pada Mei 2014.

Menurutnya, Menteri Pengangkutan dalam jawapan bertulis kepada beliau di Parlimen pada 21 Oktober 2015 menyatakan, kos yang dibelanjakan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) bagi kerja-kerja pembaikan sejak KLIA 2 dibuka adalah RM76.5 juta bagi operasi berkaitan masalah mendapan di tempat letak kereta, takungan serta retakan di bangunan terminal.

TAKUNG"Persoalan utama yang perlu dijawab kenapa kos pembaikan naik dari lebih RM76 juta sehingga RM270 juta?" soalnya lagi mengulangi pertanyaan di Dewan Rakyat semalam mengenai perbelanjaan terkini MAHB untuk pembaikan tersebut tetapi masih belum dijawab.

KLIA2 dilaporkan mengalami masalah mendapan tanah di ruang parkir dan laluan pesawat, selain kejadian kebocoran bahan api, takungan air di landasan pelepasan dan mendarat serta retakan di bangunan terminal.

Sebelum ini, dilaporkan, berlaku lebihan kos pembinaan KLIA2 daripada RM2 bilion menjadi RM4 bilion.
Hanipa berkata, sehingga sekarang, kerajaan gagal memberikan penjelasan walaupun isu tersebut ditanya berkali-kali di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, dua jawatankuasa dibentuk bagi menangani permasalahan KLIA2 ini – jawatankuasa terlibat dalam menyiasat tentang kerosakan lapangan terbang berkenaan dan satu lagi berkenaan peningkatan kos.

Namun laporan kedua-dua jawatankuasa tersebut belum didedahkan kepada Ahli Parlimen.

Ekoran itu, Hanipa mendesak kerajaan membentangkan semua laporan berkenaan di Dewan Rakyat.

"Mengapa begitu lewat untuk mendedahkan kedua-dua laporan itu sedangkan isu ini melibatkan kepentingan awam dan keselamatan pengguna dan telah lama dibangkitkan pelbagai pihak.

"Saya meminta kerajaan mendedahkan segera kedua-dua laporan itu iaitu dalam persidangan ini juga dan Parlimen kena tetapkan satu tarikh di Dewan ini untuk kedua-dua laporan itu dibahaskan, hentikan berdolak dalik dalam isu ini," kata Hanipa pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ayuh gempur Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia 28 Mac

Posted: 27 Mar 2016 04:52 AM PDT

KEADILAN DAILY

 

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan perhimpunan Muafakat Selamatkan Malaysia siri pertama pada Isnin, 28 Mac ini sebelum menjelajah ke seluruh negara.

B5 HANDBILL-01-01Perhimpunan pertama ini akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah bermula 8 malam.

Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli, himpunan ini akan dijadikan wadah untuk menggembleng seluruh rakyat bagi mencipta gelombang untuk mendesak Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Rafizi yakin gelombang ini mampu mencipta kejutan untuk menewaskan Umno BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

"Pentas himpunan ini terbuka untuk semua pihak tanpa mengira latar belakang, jemputan juga telah dihantar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Seri Shafie Afdal dan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Yang menariknya kesemua pimpinan tertinggi Pakatan Harapan juga akan bersama-sama berkongsi pentas untuk menyelamatkan negara ini dari dikuasai Umno BN," katanya.

Perhimpunan akan diteruskan di Gelang Patah, Johor pada Sabtu 16 April, diikuti Alor Setar pada Sabtu, 7 Mei. Untuk program seterusnya, pihak Sekretariat PH akan mengeluarkan jadual untuk setiap negeri.

Jelas Rafizi, rakyat semua dijemput hadir bagi menyatakan sokongan kepada tuntutan Muafakat Selamatkan Malaysia.

"Rakyat wajib mengambil peluang ini untuk menghantar isyarat kepada Najib untuk berundur sekaligus menamatkan derita rakyat ketika ini," kata Rafizi kepada Keadilan Daily.

DAP seru badan kehakiman selesai segera saman Mahathir terhadap Najib

Posted: 27 Mar 2016 04:23 AM PDT

lim-lip-eng21

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Mahkamah dan badan peguam diseru menyelesaikan segera kes saman yang difailkan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan mengingkari tanggungjawab fiduciari dan pelanggaran undang-undang sebagai penjawat awam.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata rakyat meletakkan harapan terakhir kepada badan kehakiman bagi menyelesaikan kes itu dengan segera serta masih percaya bahawa ia mampu mendedahkan kebenaran berkenaan skandal tersebut.

Saman itu dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua bekas pemimpin UMNO yang  mendakwa Najib cuba menjejaskan siasatan-siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.

"Tiga bekas pemimpin UMNO itu sedang melakukan apa yang terbaik untuk rakyat Malaysia yang selari dengan undang-undang bagi menyelamatkan negara ini.

"Ia membuktikan bahawa mereka dan seluruh rakyat Malaysia yang lain, termasuk saya, masih yakin dengan badan kehakiman walaupun banyak dakwaan mengatakan mahkamah lebih memihak kepada golongan yang berpengaruh," kata Lip Eng dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, kes itu perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan Najib dan kerajaan UMNO-BN terus cuba menutup skandal berkenaan dan menghalang rakyat dari mempersoalkannya sehingga tamat pilihanraya umum ke-14.

"Saya bimbang jika saman ini mengambil masa yang panjang di mahkamah, Najib sebagai defendan boleh terus menolak semua persoalan tentang dua skandal itu daripada dibincangkan.

"Saya hampir pasti juga bahawa calon-calon BN dalam pilihanraya negeri Sarawak akan datang bakal menggunakan saman ini sebagai justifikasi untuk melarikan diri daripada soalan-soalan berkaitan dua skandal tersebut.

"Malah, ia akan turut memberi kesan kepada media kerana terpaksa lebih berhati-hati melapor isu itu untuk mengelak dari masalah undang-undang yang tidak diingini disebabkan tindakan saman ini, termasuk semasa kempen PRU14 akan datang," katanya.

Kegagalan menyelesaikan kes itu dengan segera, katanya, turut mampu menyebabkan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dihentikan pada bila-bila masa, justeru beliau menggesa mahkamah dan badan peguam menyelesaikan kes itu secepat mungkin. – Roketkini.com


DAP kesal Ketua Polis enggan minta maaf, lawat keluarga arwah Aminulrasyid

Posted: 27 Mar 2016 04:11 AM PDT


Oleh Syazana Hasanudin


SHAH ALAM: DAP kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang masih enggan meminta maaf kepada keluarga arwah Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis enam tahun lalu, walaupun keputusan mahkamah memihak kepada keluarga itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata beliau kecewa apabila Khalid terus cuba mempertahankan polis yang membunuh Aminulrasyid tersebut kerana ia menunjukkan tahap profesionalismenya yang cetek.

"Amat menyedihkan apabila Khalid masih tidak mahu meminta maaf dan cuba melindungi polis yang terlibat dalam kes itu kerana ia menunjukkan tahap profesionalisme yang bertentangan dengan tugas mereka menegakkan kebenaran dan undang-undang.

"Khalid sepatutnya menjadi contoh baik kepada polis yang lain dengan menunjukkan bahawa walaupun polis mempunyai kuasa menangkap penjenayah, mereka juga tidak boleh lari dari hukuman jika melakukan jenayah," katanya.

Kit Siang berkata demikian semasa membuat kunjungan ke rumah keluarga arwah Aminulrasyid  yang mati ditembak polis enam tahun lalu di Shah Alam petang tadi.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, Khalid bukanlah satu-satunya pihak yang harus meminta maaf kepada keluarga arwah, malah, semua menteri yang terlibat perlu membuat perkara sama.

"Bukan hanya Khalid, tetapi bekas dan Menteri Dalam Negeri sekarang, Hishamuddin Hussein dan Zahid Hamidi turut perlu meminta maaf atas salah laku polis tersebut," katanya.

Pada masa sama, keluarga arwah Aminulrasyid ketika ditemui berkata, mereka berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap apa yang menimpa arwah.

Mereka turut melahirkan rasa lega dan gembira dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka serta mengarahkan pegawai polis terlibat, Ketua Polis Negara dan kerajaan Persekutuan membayar gantirugi sebanyak RM414,800 kepada mereka.

"Makcik berasa lega apabila mahkamah memihak kepada kami. Segala penat lelah kami dalam memperjuangkan kebenaran dan nasib arwah akhirnya tidak sia-sia.

"Bukan duit yang kami harapkan, tapi sekurang-kurangnya kini, nama baik arwah yang tercalar sebelum ini akibat kontroversi dapat dibersihkan.

"Makcik berterima kasih kepada semua yang membantu selama ini dan berharap agar kes seperti ini tidak berlaku lagi. Biarlah kes ini merupakan kes terakhir yang melibatkan pembunuhan orang awam oleh polis," kata ibu arwah Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, kepada Roketkini.

Turut bersama Kit Siang dalam pertemuan itu adalah beberapa pemimpin dan ahli DAP termasuk Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng. – Roketkini.com


Nazir Razak: 1MDB - jangan berlaku lagi

Posted: 26 Mar 2016 11:04 PM PDT

MALAYSIAKINI




Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Abdul Razak berkata perlunya diambil pengajaran dan tindakan bagi memastikan skandal seperti yang melibatkan 1MDB tidak berlaku lagi.

"Masa depan ialah tentang memastikan bahawa 1MDB - tidak berlaku lagi.

"Dalam usaha untuk memastikan 1MDB - tidak berlaku lagi, kita perlu melihat masa lalu dan memahami apa yang berlaku supaya kita belajar daripadanya.

"Supaya mereka yang bertanggungjawab untuk itu, dipertanggungjawabkan untuk itu dan tiada siapa melakukannya lagi," katanya semasa StarLIVE Power Talk Business Series di Menara Star hari ini.

Bagaimanapun, Nazir yang juga adik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata proses ini masih berjalan dan belum lagi selesai.

1MDB adalah idea Najib dan beliau juga bertindak sebagai pengerusi lembaga penasihat syarikat dana milik negara itu.

Nazir menegaskan perlu mengambil pengajaran daripadanya bagi memastikan tidak akan ada bahaya moral di mana orang boleh mengulangi apa yang berlaku di 1MDB dan merasakan mereka boleh terlepas.

"Dari segi magnitud kasalahan, apa yang salah, siapa yang buat salah - itu menjadi tugas ketua audit negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan lain-lain dan ia masih berjalan.

Powerbank meletup selepas ditinggalkan dalam kereta

Posted: 26 Mar 2016 11:02 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
NIBONG TEBAL: Seorang jurutera bersara berusia 72 tahun bersyukur kerana dia tidak berada dalam kereta apabila 'powerbank' yang ditinggalkannya di satu ruang simpanan barang dalam keretanya terbakar.
 
Mengimbas kembali kejadian itu petang Sabtu lalu, Tan Heng Swee berkata dia telah meletakkan kereta Proton Iswaranya di bangunan Old Frees Association di Jalan Sultan Ahmad Shah dan pergi makan tengah hari bersama isterinya, Alice Tan, 67, di sebuah restoran berdekatan.
 
"Kira-kira sejam kemudian, pekerja tempat letak kereta bergegas memberitahu saya bahawa terdapat asap berkepul dari kereta saya. Saya terus mencapai pemadam dan memadamkan api.
 
"Kemudian, saya mendapati kebakaran itu berpunca daripada powerbank.
 
"Saya percaya cuaca panas telah menyebabkan berlakunya letupan kecil itu. Nasib baik, tiada siapa yang cedera," katanya di rumahnya di Simpang Ampat.
 
Heng Swee kemudian menulis mengenai kejadian itu di laman Facebook untuk memberi amaran kepada orang lain tentang bahaya meninggalkan powerbank di dalam kereta dan ia menjadi viral.
 
"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan mana-mana alat elektrik atau powerbank dalam kenderaan mereka," katanya.
 
Katanya, kerosakan terhadap keretanya yang berusia 15 tahun itu masih tidak dapat ditentukan tetapi pembaikan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.
 
Bulan lepas, Persatuan Pengguna Pulau Pinang telah mendedahkan bahawa beberapa jenis powerbank dibuat dengan bateri murah dan boleh meletup dengan mudah atau menyebabkan kebakaran.
 
Presidennya S.M. Mohamed Idris berkata jenis powerbank yang diimport ini mudah didapati di pasar lambak, pasar malam dan pusat beli-belah.
 
 

Cuaca panas, 10 rebah ketika perbarisan Hari Polis

Posted: 26 Mar 2016 11:01 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Cuaca panas terik telah memberikan tekanan kepada beberapa anggota polis yang mengambil bahagian dalam Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-209 apabila mereka pengsan dan memerlukan bantuan perubatan.
 
Sekurang-kurangnya 10 anggota yang rebah dalam perbarisan itu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan orang kenamaan termasuklah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Mereka telah diusung ke kawasan tertutup dan kesemua mereka telah dipulihkan.
 
Perbarisan pada tahun ini tidak seperti kebiasaan yang pernah dilakukan kerana ia diadakan pada waktu tengah hari disebabkan jadual ketat Najib.
 
Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata anggota polis pengsan semasa perarakan bukanlah 'sesuatu yang baru'.
 
"Sebenarnya, kita mempunyai pelan kontigensi untuk memindahkan majlis ini di tempat tertutup tetapi siatusi tidak sampai ke peringkat itu," katanya ketika ditemui selepas majlis itu di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, Jumaat.
 
Najib, selepas kejadian itu telah memendekkan ucapannya kepada hanya lima minit.
 
"Sebelum saya tampil kehadapan untuk beri ucapan, isteri saya telah bisik kepada saya. Dia kata 'kiss'. Rupanya, 'kiss' maknanya 'keep it short and sweet'.
 
"Dan ini saya kira amat bertepatan kerana cuaca terlalu panas dan kita tidak berlaku adil kepada perbarisan kalau berucap terlalu panjang," katanya.
 
Rosmah dipercayai berkata demikian kerana terkesan melihat beberapa anggota perbarisan polis rebah disebabkan cuaca panas.
 
 

Peserta bantah DLP tidak dibenar ke Dataran Merdeka

Posted: 26 Mar 2016 10:58 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pihak polis tidak membenarkan para peserta himpunan aman membantah Dual Language Programme (DLP) untuk ke Dataran Merdeka.
 
Mereka dibenarkan berhimpun di stesen LRT Masjid, petang ini.
 
Wakil-wakil NGO yang membantah DLP berucap di situ.
 
Selain berucap ada dalam kalangan mereka menyampaikan puisi.
 
Sebelum ini Prof Dr Shahrir Md Zain bersama Timbalan Pesuruhanjaya PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad bersidang dengan pihak polis untuk meminta kebenaran ke Dataran Merdeka, bagaimanapun tidak dibenarkan.
 
 

PAS umum calon PRN Sarawak 6 April

Posted: 26 Mar 2016 10:55 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS akan mengumumkan calon-calon yang bertanding pada Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 6 April ini.
 
Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, majlis pengisytiharan calon itu diadakan di Bintulu bermula jam 8.00 malam.
 
Katanya, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding nanti.
 
PAS meletakkan calon di 11 kawasan DUN pada PRN kali ini iaitu Pantai Damai, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.
 
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pada 29 Januari lalu memilih untuk mengadakan PRN pada 30 April, manakala tarikh penamaan calon 18 April.
 
Bagaimanapun, keputusan mengenai tarikh penting itu terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang mengulas cadangan Adnan itu menyatakan sesiapa sahaja boleh mencadangkan tarikh PRN Sarawak.
 
Beliau berkata, mengikut peruntukan SPR, proses pilihan raya hanya akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
 
"Selagi DUN tidak dibubarkan, SPR tidak akan menentukan tarikh pilihan raya kerana tugas berkaitan pilihan raya hanya bermula selepas itu termasuk urusan tarikh penamaan calon dan pengundian," ujarnya.
 
Sehingga kini, Adenan masih belum mengumumkan pembubaran DUN.
 
 

Fazaruddin calon BN Tupong

Posted: 26 Mar 2016 10:54 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
LUNDU: Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Fazaruddin Abdul Rahman diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi DUN Tupong.
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem ketika mengumumkan pencalonan itu berkata, Fazaruddin akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Daud Abdul Rahman yang bersara daripada politik. 
Pada majlis pelancaran Armada Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu juga, Adenan mengesahkan Gerald Rentap Jabu akan menggantikan bapanya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang di DUN Layar. 
"Ini bermakna dua muka baru kita tampilkan daripada Pemuda PBB," katanya.

Yatt Hamzah kemalangan di Lebuhraya Karak

Posted: 26 Mar 2016 09:46 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Keadaan kereta jenis Kia Optima K5 yang dipandu pelakon Yatt Hamzah rosak teruk selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Karak, dekat sini, petang Sabtu. 
 
Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 36, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang ketika dia bersama adik ipar dan pembantu peribadinya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Mentakab selepas program Jelajah Ikim. 
 
"Saya bersama adik ipar dan pembantu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Mentakab selepas program Jelajah Ikim. 
 
"Kemalangan berlaku di Lebuhraya Karak apabila secara tiba-tiba tayar kereta saya pecah dan saya hilang kawalan sehingga berpusing beberapa kali dan kemudian melanggar pembahagi jalan," ujarnya. 
 
Bagaimanapun, Yatt berkata, ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 
 
Sementara itu, Yatt berkata, dia sudah melaporkan mengenai kemalangan tersebut di Balai Polis Karak. 
 
"Alhamdulillah saya dan yang lain selamat. Namun saya masih lagi terkejut dan trauma dengan kejadian itu," ujarnya.
 
 

Henti terima dana politik dari luar negara, kata Dr M

Posted: 26 Mar 2016 09:37 PM PDT

Zulaikha Zulkifli  


LIHAT VIDEO DI SINI


Parti politik patut berhenti menerima dana politik dari luar negara, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berpendapat ini kerana mana-mana pihak yang menang dalam pilihan raya, perlu mengikuti 'telunjuk' negara yang memberi sumbangan berkenaan.

"Pembiayaan dana politik asing patut dihentikan tetapi kalau sumbangan dari pihak tempatan boleh. Tetapi jumlahnya tidak perlu terlalu tinggi.

"Kalau kita menang, kena ikut negara luar. Tak baik untuk negara ini.

"Sudah tentu mereka mempunyai niat yang berbeza. Kita ada niat yang lain," katanya sambil menambah dasar Malaysia dan negara yang memberi sumbangan tersebut berbeza.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, semasa menjadi perdana menteri, beliau tidak pernah menerima dana politik lebih daripada RM200 juta hingga RM300 juta.

Katanya, beliau juga tidak ambil duit dari mana-mana negara atau syarikat asing.

"Tak pernah (terima duit dari dana asing). Hanya dari orang tempatan, malah dari syarikat asing (tidak pernah)," katanya.

Selain itu, ditanya mengenai kunjungannya ke Arab Saudi baru-baru ini, Mahathir berkata beliau ke sana atas jemputan dan bukan untuk meminta tolong daripada negara berkenaan.

"Saya ke sana sebab saya dijemput oleh Arab untuk cakap mengenai politik dan macam mana kita dapat majukan Malaysia. Dia nak belajar. Saya tak pernah pergi ke luar nak pergi minta tolong," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada pihak NGO turut perlu berhenti menerima dana asing, beliau bersetuju dengan perkara itu.

Katanya, seperti Amerika Syarikat, beliau mendakwa negara berkenaan cuba membiayai NGO bagi memastikan perubahan regim di sesebuah negara.

"NGO juga (tidak patut menerima dana asing). Saya tahu Amerika Syarikat membayar banyak NGO. Mereka menggunakan duit untuk memastikan perubahan rejim.

"(Jadi) saya rasa kita tidak patut menerima mana-mana dana asing yang cuba untuk mempengaruhi politik di negara ini," ujarnya. 
 

Perhatian tertumpu pada Kongres Rakyat di Shah Alam

Posted: 26 Mar 2016 09:33 PM PDT

MALAYSIAKINI





Selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai gerakan Deklarasi Rakyat bersama-sama pemimpin pembangkang termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, perhatian hari ini tertumpu pada Kongres Rakyat di Selangor.

Kongres rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam itu merupakan cetusan ilham dan diselaraskan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Mahathir sendiri dijadual mengambil bahagian dalam majlis tertutup itu dan menjadi orang terakhir yang dijadual menyampaikan ucapan.

Antara pemimpin yang akan membuat penampilan dalam majlis itu adalah timbalan presiden Umno yang digantung jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah yang disingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Perhimpunan atas dasar jemputan itu akan bermula pada jam 2 petang dan dijangka berakhir sekitar jam 6 petang.

Mahathir dan sekutunya sebelum ini bergabung tenaga dengan pembangkang dan masyarakat sivil bagi menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga melakukan pembaharuan institusi.
Malaysiakini membawakan liputan secara langsung acara tersebut.

Pelajar lemas terjun lubuk beramai-ramai

Posted: 26 Mar 2016 09:31 PM PDT


Pelajar lemas terjun lubuk beramai-ramai
Rakan-rakan mangsa tidak dapat menahan kesedihan melihat jasad mangsa terbujur kaku.


DUNGUN - "Kami 13 orang terjun beramai-ramai tetapi selepas semua timbul hanya dia seorang tidak muncul-muncul,"kata, Mohd Ikmal Mohd Razi, 16 rakan kepada mangsa lemas, Mohd Imran Morshidi, 16 yang maut ketika mandi manda di kawasan air Terjun Cemerong, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang, Kemaman dipercayai bersepakat secara beramai-ramai untuk terjun di satu kawasan lubuk dengan kedalaman kira-kira tiga meter dan aksi mereka membawa padah apabila salah seorang daripada mereka terkorban.

Mohd Ikmal berkata, mereka berkonvoi motosikal ke kawasan air terjun berkenaan dan tiba kira-kira jam 1.30 petang.

Menurutnya, selepas terjun beramai-ramai, salah seorang rakan mereka, Mohd Iqbal Zamri, 16 nyaris lemas, manakala mangsa tidak sempat diselamatkan apabila tidak timbul-timbul di permukaan air.

"Sebelum terjun kami berpesan sesama sendiri supaya jangan terlalu seronok, jangan 'galok-galok sangat' tetapi tidak sangka pula musibah seperti ini menimpa. Kami terjun beramai-ramai dan Imran dipercayai orang terakhir terjun tetapi dia tidak timbul-timbul. Apabila timbul saya ternampak salah seorang kawan nyaris lemas dan saya sempat menyelamatkannya.

"Bagaimanapun, kelibat Imran tidak kelihatan dan kami berusaha mencari tetapi tidak berjaya,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini, hari ini.

Mayat mangsa yang juga anak yatim itu ditemui di dasar sungai kira-kira lima minit selepas kehilangannya.

Mohd Akmal berkata, menyedari salah seorang daripada mereka tidak timbul,  rakan-rakannya meminta bantuan orang ramai untuk sama-sama mencari.


Dr Vida: Saya janji tak buat lagi

Posted: 26 Mar 2016 09:29 PM PDT

Hasmiza Othman
Hasmiza Othman
 
 
"SAYA tak tahu peraturan, sekarang dah tahu lepas ni tak buat lagi," itu janji Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Hasmiza Othman selepas dikritik Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam kerana tidak mematuhi peraturan ketika berada di kawasan teknikal bagi menyaksikan perlawanan membabitkan Kelantan.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, selepas teguran itu, beliau berjanji tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Dr Vida memaklumkan beliau tidak tahu mengenai peraturan berkenaan.

Kelmarin, Kevin menggariskan beberapa peraturan yang wajar dipatuhi ketika berada di bangku simpanan, termasuk memakai pakaian berbeza daripada pemain beraksi di padang.

Menurut Kevin, Dr Vida perlu mematuhi peraturan di kawasan teknikal seperti mengelak daripada menggunakan telefon bimbit, pakaian tidak boleh sama dengan yang dipakai pemain di padang.

Kata Kevin lagi, Dr Vida tidak boleh meninggalkan kawasan teknikal untuk bertemu penyokong dan perkara seumpama itu adalah peraturan biasa dalam bola sepak yang perlu dipatuhi.

Malah, Dr Vida juga dikatakan berselfie bersama pemain di kawasan teknikal.

Kevin menegaskan, Dr Vida mungkin tidak dibenarkan memasuki kawasan teknikal jika terus melanggar peraturan.

Menurutnya, Dr Vida dibenarkan memasuki kawasan teknikal menerusi pendaftaran oleh Kafa sebagai pegawai pasukan dan FMLLP selaku entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia (Liga- M) sejak awal musim ini, akur berdasarkan peraturan itu.


Khalid sahkan tak tanding PRU14, beri peluang muka baru

Posted: 26 Mar 2016 09:23 PM PDT

Khalid sahkan tak tanding PRU14, beri peluang muka baru
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika sesi wawancara di kediaman beliau di Damansara, semalam. - Foto Sinar Online RAZIATUL HANUM A.RAJAK


KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Bandar Tun Razak dan Dun Pelabuhan Klang dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Namun katanya, keputusan itu bukan kerana kecewa selepas dipecat dari PKR serta tidak lagi menjawat jawatan menteri besar namun sudah diputuskan olehnya selepas PRU13 yang lalu.

"Sudah lama saya putuskan. Selepas saya jadi Menteri Besar Selangor kali yang kedua, saya beritahu parti yang saya tidak akan bertanding lagi dalam PRU14," katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian.

Sebelum ini, Abdul Khalid dipecat dari parti sebelum diguling dari kedudukannya sebagai menteri besar.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya itu, Abdul Khalid berkata, beliau percaya kepada konsep bahawa setiap pemimpin itu tidak boleh memegang jawatan terlalu lama.

"Saya rasa lebih baik kita beri dua penggal kemudian berilah peluang kepada orang lain pula untuk memberi sumbangan.

"Jadi, rakyat akan merasa perbezaan. Lapan tahun memang lama," katanya.

Berkongsi mengenai perancangan masa depannya, Abdul Khalid berkata, berkemungkinan beliau akan kembali ke Universiti Oxford dan pada masa sama menjadi penasihat pelaburan antarabangsa.


Minggu ketiga Dewan Rakyat kecoh kenyataan 'bohong'

Posted: 26 Mar 2016 09:21 PM PDT

SINAR HARIAN


Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
 
 
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat minggu ini 'kecoh' dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa berbohong mengenai harga rumah mampu milik yang ditetapkan kerajaan persekutuan.

Lim yang kini terpalit dengan isu kontroversi pembelian banglo yang didakwa di bawah nilai pasaran itu, turut diperintah keluar dewan kerana menimbulkan kekecohan semasa sesi penggulungan titah Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lepas.

Kekecohan berlaku apabila Lim mendesak Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menarik balik perkataan 'bohong' yang dilemparkan kepadanya minggu lepas berhubung isu rumah mampu milik di Pulau Pinang.

Abdul Rahman berkata perkataan 'bohong' itu ditujukan kepada fakta Lim dan bukan ditujukan kepada Lim berikutan satu video yang dimuat naik di Internet yang menyiarkan Lim berkata harga rumah mampu milik RM400,000 seunit di Pulau Pinang adalah selaras dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

Harga maksimum rumah mampu milik yang ditetapkan kerajaan persekutuan adalah bernilai RM300,00 seunit.

Setelah meneliti hujah Abdul Rahman, Ismail memutuskan bahawa perkataan 'bohong' itu tidak ditujukan kepada Lim tetapi kepada kenyataan yang dikeluarkannya berkaitan harga rumah mampu milik.

Namun, Lim tetap tidak berpuas hati dan membuat kecoh.

Ismail memerintahkan Lim keluar di bawah Peraturan Mesyuarat 44, kerana gagal mematuhi arahan Yang Dipertua yang berkali-kali memintanya duduk, manakala Teo Kok Seong (DAP-Rasah) turut diperintah keluar dewan kerana membuat rakaman di dalam Dewan.

Mengikut Peraturan-peraturan Berbahas 36(4) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan yang seksis.

Abdul Rahman yang kemudiannya menyambung semula penggulungannya berkata, tindakan Lim itu sudah diduga: "Beliau menggunakan taktik lama untuk diarahkan keluar dewan, kemudian di luar dewan membuat sidang media dan menangis meraih simpati," katanya.

Lim kini terpalit dalam isu kontroversi pembelian banglo di Pulau Pinang didakwa di bawah nilai pasaran.

Pada persidangan Dewan Rakyat 17 Mac lepas, Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung banglo berharga RM2.8 juta yang dibeli oleh Lim di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai banglo itu melebihi daripada harga berkenaan.

Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Minggu ini juga menyaksikan kesemua 31 kementerian selesai menggulung titah Yang di-Pertuan Agong. -Bernama


Rakyat Selangor paling banyak guna air

Posted: 26 Mar 2016 09:15 PM PDT

Rakyat Selangor paling banyak guna air
Kira-kira 236 liter air digunakan setiap seorang rakyat Selangor dalam sehari.
KLANG - Rakyat Selangor direkodkan sebagai pengguna air terbanyak di Malaysia berbanding negeri lain dan Singapura.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kira-kira 236 liter digunakan setiap orang pada setiap hari.

"Saya tak tahu kenapa, mungkin orang Selangor suka mandi atau suka membazir?

"Kita seharusnya bertanggungjawab menggunakan air terawat kerana kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan negeri sangat tinggi," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya lagi, sebanyak RM160 juta setahun diperuntukkan untuk menyediakan air terawat bagi memenuhi keperluan harian lima juta rakyat Selangor.

Tegasnya, jangan kerana dapat air percuma penduduk membazir dan tidak menggunakan ia dengan berhemah dan bertanggungjawab.

"Jika perkara ini berterusan ia akan memberi kesan kepada ekonomi negeri dan rakyat Selangor sendiri," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan air terawat yang diberikan secara percuma untuk memenuhi kepentingan peribadi.

Ramai yang menggunakan air terawat untuk mencuci kereta, berkebun dan mengisi kolam renang sewenang-wenangnya.

"Sepatutnya kita gunakan air hujan yang mewah dan banyak di negara kita untuk ditakung bagi tujuan berkenaan," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri memberikan air percuma untuk meringankan beban rakyat dan bukan untuk dibazirkan.


Comments (0)