Followers

Nuffnang

"BERANI KERANA BENAR!"

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 11:08 PG | Posted in

sumber :-
BERANI KERANA BENAR

"BERANI KERANA BENAR!"


Dilema anak mangsa perceraian

Posted: 28 Mar 2016 11:56 PM PDT

Oleh Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal
 

KEGEMBIRAAN menerima menantu dapat dilihat daripada raut muka pasangan ibu bapa. Namun,
tidak semua bernasib baik, ada juga yang menerima menantu seorang diri kerana suami atau isteri telah meninggal dunia atau bercerai semasa anak-anak masih kecil.

Bagi pasangan pengantin pula, jika ibu bapa mereka pernah bercerai, melangkah masuk ke alam perkahwinan adalah satu langkah yang mencabar. Malah ramai daripada mereka berfikir panjang kerana takut apa yang terjadi kepada ibu bapa mereka bakal terjadi kepada mereka.

Oleh itu, ada yang memilih untuk tidak berkahwin dengan alasan "takut dapat suami macam bapa" atau "takut beristeri orang seperti ibunya!"

Dalam perkahwinan, perkara utama ialah nafkah semasa berkahwin dan selepas bercerai. Semasa pasangan berkahwin, soal makan minum, tempat tinggal, pakaian dan perubatan isteri serta anak-anak ditanggung suami sebagai orang yang bertanggungjawab memberi nafkah.

Kebanyakan pasangan hari ini tidak jelas mengenai nafkah kerana kedua-dua pasangan bekerja. Adalah lebih baik merujuk al-Quran dan hadis dalam hal ini. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, 233: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan ke atas bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya,"

KETAHUI HAK NAFKAH

Berdasarkan nas tersebut adalah jelas nafkah anak tetap menjadi kewajipan seorang bapa walau dalam apa juga keadaan. Dalam kitab Fiqh al-Manhaj, kewajipan memberi nafkah kepada anak adalah berdasarkan kepada syarat nafkah usul (ayah, datuk) kepada furuk' (anak, cucu). Usul dimaksudkan dengan bapa dan datuk (usul keturunan) yang wajib memberi nafkah kepada anaknya serta cucunya hingga ke bawah (furu' keturunan).

Oleh itu, bapa adalah orang bertanggungjawab membiayai nafkah anak sama ada lelaki atau perempuan. Jika anak itu tidak mempunyai bapa, maka datuk iaitu ayah kepada bapa wajib mengambil tanggungjawab berkenaan.

Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama untuk dilaksanakan oleh bapa. Ibu tidak dibebankan dengan tanggung jawab itu tetapi apa yang diberikan jika ada dianggap pemberian sumbangan bagi membantu suami.

Justeru, apabila seorang bapa mempunyai harta kekayaan, wajib ke atasnya membiayai nafkah anaknya dengan hartanya. Jika tidak berharta tetapi mampu membuat kerja, wajib ke atasnya berusaha mencari kerja yang membolehkannya membiayai nafkah.

Dengan itu, bapa yang menganggur dan mengharapkan ibu membayar keperluan anak adalah lelaki yang tidak amanah dan berdosa. Kitab Fiqh al-Manhaj menjelaskan kewajipan seorang bapa menanggung nafkah anaknya tidak akan terjejas sekali pun mereka adalah berlainan agama.

BUKAN PERKARA MUDAH

Ramai dalam kalangan pasangan muda hari ini agak keliru atau tidak memahami konsep nafkah. Ia adalah kewajipan seorang lelaki yang bernama suami. Wajib bermakna, dibuat dapat pahala dan jika diabaikan mendapat dosa.

Namun hari ini, ramai dalam kalangan suami atau bapa tidak bekerja dan ditanggung isterinya. Isteri menjadi ketua rumah yang bertanggungjawab mencari rezeki.

Dalam kes suami atau bapa tidak sihat, gila atau tidak berkemampuan, maka tanggungjawab itu perlu dipikul oleh keluarganya iaitu bapanya (datuk kepada anak-anak) atau saudara lelaki suami atau bapa.

Persoalannya, adakah ini berlaku?

ANAK JADI MANGSA

Sekarang kita dapati lebih ramai wanita yang bekerja dan suami duduk di rumah akibat diberhentikan kerja atau berhenti kerja untuk berniaga dan akhirnya perniagaan tidak menjadi. Apabila ini berlaku, isteri dibebankan dengan semua tanggungjawab yang sepatutnya ditanggung oleh suami.

Yang lebih mendukacitakan apabila isteri sudah tidak mampu menanggung keluarganya, suami mengambil keputusan meninggalkannya atas alasan tidak mendapat layanan daripada isteri.
 Anak-anak adalah pemerhati yang jujur dan setiap apa yang berlaku dirakam dalam minda mereka dan ia akan berada lama dalam pemikiran mereka.

Dapatkah anak melupakan kesusahannya itu? Hari ini ramai pasangan muda yang bercerai dan ramai juga suami atau bapa yang secara sengaja enggan membayar nafkah anak.

Wanita merempat jadi jutawan

Posted: 28 Mar 2016 11:47 PM PDT

LONDON – Ibarat tuah datang bergolek, seorang bekas jurusolek yang hidup merempat tahun lalu,
bakal menjadi jutawan apabila pakaian rekaannya yang diperbuat daripada 3,000 butir gula-gula Skittles mendapat perhatian syarikat pakaian terkenal, Ripleys.

Sarah Louise Bryan, 27, yang merupakan ibu kepada dua orang anak lelaki mendapat idea untuk mereka pakaian wanita itu secara tiba-tiba pada suatu malam ketika dia hampir terlena.
Menurut laporan Mail Online, untuk menyiapkan pakaian itu, wanita tersebut mengambil masa selama enam jam sehari selama sebulan membabitkan 145 bungkusan Skittles yang dilekatkan menggunakan 90 tiub gam.

Bakat Bryan itu dihidu oleh syarikat Ripleys setelah wanita tersebut memuat naik gambar pakaian berkenaan yang disifatkan 'amat mengagumkan' dalam media sosial yang kemudian menjadi viral.
Syarikat tersebut yang kagum dengan rekaan Bryan telah meminta dia mereka cipta koleksi pakaian dan beg menggunakan jenama namanya sendiri, Sarah Louise Bryan.

Fesyen rekaannya mendapat sambutan hebat daripada selebriti se­perti artis Big Brother, Chloe Jasmine yang dilihat memakai beg ta­ngan rekaannya.

Menurut Bryan, sejak pakai­an Skittles menjadi viral, dia telah dijemput menghadiri pelbagai majlis dan pertunjukan fesyen.

Tahun lalu, wanita itu terpaksa hidup merempat tanpa wang bersama-sama anaknya dan hanya mengharap ihsan dengan me­numpang di rumah kawannya.

Kini Bryan mampu menyewa rumah yang cantik dan membeli sebuah kereta sport.

Blastosista

Posted: 28 Mar 2016 11:41 PM PDT

Oleh SAZA S 

Ruang kamar bedah pengap-sunyi. Sekali-sekali dijentik bunyi alatan pembedahan yang sedang
dikemas sungguh perlahan oleh jururawat yang bertugas. Matanya berkelintaran tidak dapat menumpukan perhatian pada kerja. Antara mahu membereskan lebihan kerja atau menjenguk seorang doktor yang sedang tersandar di dinding kamar. Hatinya berasa belas. Sungguh doktor itu sedang ditimpa walang.

Fahimi meraup wajah sesudah sapaan jururawat tadi mengetuk gegendang telinganya.

"Doktor tidak apa-apa ?" Tanya penuh prihatin. Senyuman yang manis sedaya upaya dihadiahkan. Dia membalas acuh tidak acuh. Cuba mempamerkan sekelumit penghargaan pada pertanyaan itu.

Hatinya masih rawan. Seragam pembedahan berwarna biru laut masih membalut tubuh. Pembedahan kanser hati sekitar setengah jam yang lalu, penatnya masih menggigit segala urat dan sendi. Dia bangkit berlalu dan membersihkan diri sesudah kamar bedah pengap itu ditinggalkan sang jururawat.
Dia mengerling jam di tangan. Sekitar satu pagi. Shifnya sudah tamat namun dia masih enggan beredar. Ada sesuatu yang membuat kakinya masih berjalan di aras empat hospital tempat dia menawarkan khidmat kesihatan.

"Doktor Fahimi," Teriakan seseorang membuatkan dia berpaling. Dengan mata kuyu dia, wajah rakan sejawatan dia seluruhi. Kali ini dia tidak mampu menunjukkan kegagahan seorang lelaki. Belum sempat soalan meluncur, air matanya terlebih dahulu meluruh laju.

"Sabar Fahimi. Ini ujian untuk kamu. Hadapinya dengan tabah. Mariah sudah menunggu di kamarnya." Doktor Zahari menepuk bahu sahabatnya itu. Dia mengerti derita rasa yang berselirat di hatinya. Sebagai seorang doktor, seorang suami, juga seorang ayah, dia juga turut merasakan bongkahan bebanan yang ditanggung. Dia langsung melorongkan Fahimi ke bangku berkusyen biru dan menyuruhnya duduk.

Zahari ada membisikkan sesuatu tetapi Fahimi tidak mendengar. Di kepalanya masih terngiang-ngiang perkhabaran yang diterima lewat telefon beberapa jam yang lalu

"Fahimi, Kondisi jantung Amin semakin parah, dia terpaksa ditahan di wad kanak-kanak." Suara teman sekerja itu seperti halilintar yang datang lalu memanah koklea. Hatinya terus tidak keruan. Nawaitu untuk membantu kendalian pembedahan hati beberapa minit sahaja lagi hampir terencat. Mujur sahaja Mariah, sang isteri langsung memujuk agar tugasnya tidak terjejas. Serba sedikit naluri lelakinya jadi tersentap. Dia sibuk menguruskan perihal kesihatan orang lain sedangkan sakit demam keluarga sendiri tidak terlayankan.

Dari jauh, dia mengintai dari balik pintu utama wad kanak-kanak. Waktu pagi sebegini, keadaan di wad bertukar senyap. Para pesakit kebanyakan tidur. Lampu juga dimalapkan. Sekali-sekali kesunyian pecah oleh tangis anak-anak kecil yang tidak mengerti jerih perit hidup di dunia ini. Wajah Mariah yang sugul terbenam di matanya. Wajah suci sang isteri yang tidak pernah mengalah pada desakan kerjanya, wajah mulus sang isteri yang tidak pernah mempersoalkan kesibukan mahupun ketiadaannya di rumah, wajah indah sang isteri yang menjadi penyejuk mata. Kali ini, wajah itu menyebabkan tangisnya meletus. Dia cuba gagahkan diri. Semenjak dimasukkan ke wad malam tadi, inilah kali pertama dia melihat anak dan isterinya.

"Maafkan abang." Itu sahaja yang mampu disebutnya tatkala jemarinya melingkar ke bahu isteri. Mariah lantas mendongak. Air mata Fahimi seperti berbicara segalanya. Tentang kekesalan, kesedihan serta kesebalan. Mariah jadi sebak.

"Abang jangan menangis. Ini ujian yang Allah berikan kepada kita. Bukankah ujian itu bunga kasih untuk hamba-hamba-Nya" Mariah menyeka air mata Fahimi sedang air matanya juga berguguran jatuh.

Fahimi merenung putera tunggal satu-satunya. Dilahirkan dengan kecacatan kongenital pada bahagian jantung. Salah satu injapnya tidak tumbuh secara normal lantas menyebabkan aliran dan pengepaman darah tidak dapat berfungsi secara efisien. Kesannya dinding jantung jadi menebal, membesar mengakibatkan anaknya menderitai sakit jatung di usia muda. Aduh, inikah kifarahnya meninggalkan anak dan isteri terlalu lama mendepani tugasannya selaku pengamalan sains kesihatan ?

"Keadaan Amin semakin buruk. Fungsi jantungnya jatuh merudum. Tanpa jantung yang baharu, harapan untuk pulih amat tipis." Mariah meluahkan rasa sesudah menjatuhkan kepala ke dada suaminya. Fahimi tidak menjawab. Selaku seorang doktor dia sediri maklum tentang keadaan puteranya itu. Penderma jantung masih belum ditemui. Hidup anaknya seperti digantung tidak bertali. Hanya bisa menyandarkan harapan pada alat bantuan pernafasan dan decitan mesin yang pelbagai. Ibu mana yang tidak luluh hatinya melihat zuriat diselirati wayar alat eletronik yang rencam.
"Saya bimbang, Amin tidak sempat beraya Aidiladha bersama kita nanti" Keguasaran itu langsung tumbuh menjadi lalang resah dalam hatinya.

"Abah, kenapa kena korbankan binatang semasa hari raya Aidiladha ?" Puteranya yang berusia empat tahun itu bertanya galak.

"Hari raya Aidiladha disamput sempena memperingati peristiwa pengorbanan yang dilaksanakan oleh Nabi Allah Ibrahim. Allah memerintahkannya menyembelih anaknya sendiri, Ismail sebagai korban kepada tuhan." Belum sempat Fahimi menokhtahkan jawapan Amin terburu mencelah.
"Korbankan anak sendiri, takutnya!" Amin membega wajah membuat reaksi gerun. Fahimi tertawa.

"Kerana ketaatan Ibrahim, dia telah memaklumkan suruhan yang diterima menerusi mimpi itu kepada isterinya Hajar dan anaknya Ismail. Ismail lantas menyuruh ayahnya mendahulukan perintah Allah.

Dengan hati yang sepenuhnya rela, Ibrahim pun membaringkan Ismail yang bersedia untuk dikorbankan. Tatkala mata parang menyentuh permukaan kulitnya, maka Allah menggantikan Ismail dengan seekor binatang dari syurga. Namanya Kibas. Dari situ, termetrailah peristiwa korban di Aidiladha."

Amin bertepuk tangan kegembiraan. Tiba-tiba batuk kecil meletus. Fahimi segera mendakap puteranya lantas diurut-urut dada kecilnya. Dia sangat pasti itu angkara penyakit jantung yang dideritainya.

"Abah, nanti di kampung, Amin mahu lihat abah yang menyembelih binatang ya" pintanya dalam cungap bersama sejumlah cahaya yang terpancar menerusi anak mata. Dan mungkin permintaan itu akan berkubur di ruang kubikel putih ini.

Gema takbir mula kedengaran di kaca televisyen. Semesta akan meraikan sambutan hari raya Aidiladha dua hari sahaja lagi. Persiapan untuk pulang beraya di kampung terpaksa dibatalkan. Dia kembali mendekati Mariah. Wanita itu masih setia menemani Amin. Nafasnya mendesah.

Kedengaran berat sekali setiap hembusan yang ditarik dan helaannya kelihatan sungguh menyeksakan. Mariah tidak putus-putus mengusap ubun-ubunya sambil membaca kitab suci. Dia mengerti, itulah peneman Mariah paling akrab. Meja kecil di sisi katil pula terletak sebuah cawan kecil berisi ketulan ais. Air yang mencair daripada ketulan ais itu sahajalah yang boleh disuap ke mulut Amin. Bagi mengurangkan bebanan pengepaman darah oleh jantungnya yang sakit, jumlah air yang diambil terpaksa dihadkan. Riak kehausan tidak lepas menopengi wajah kanak-kanak itu.

Tiba-tiba salah satu mesin yang bersambungan ke tubuh Amin berbunyi. Lampu kecemasan menyala-nyala tidak henti. Suasana berubah cemas dan tegang. Para jururawat dan doktor yang bertugas bergegas menghampiri. Fahimi diterpa kedunguan. Kali ini mindanya tidak dapat bekerja.
"Hati Amin pula semakin parah. Sirosisnya semakin menular. Tekanan darah di bahagian hati sudah terlalu tinggi. Jika dibiarkan, bilirubin pasti mencerun tinggi." Ucap Doktor Zahari. Fahimi meraup wajahnya. Mariah kembali menangis. "Dengan hati yang mulai memburuk, sudah pasti jantung juga tidak dapat bertahan. Untuk mengawal keadaanya tanpa dua organ utama adalah sesuatu yang mustahil." Terang Doktor Zahari lagi.

Fahimi lantas berlari ke ruang solat. Dengan air mata yang masih enggan berhenti mengalir, diratakan wuduk ke segenap anggota dan dia membawa diri ke tikar sejadah. Seupayanya dia mengumpul seluruh kekhusyukan. Kali ini dia benar-benar buntu. Meminta kepada tuhan ditemukan pemecahan pada permasalahannya. Kali ini, fikirannya bekerja keras. Apa yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan nyawa si kecil itu. Tiba-tiba ilham menjelma. Dia langsung membawa diri ke makmal patologi. Ujian kompatibiliti hatinya dan hati Amin positif. Sebahagian hatinya boleh didermakan kepada Amin.

"Tidak ! Saya tak izinkan !" Tangisan Mariah terburai di hadapan Fahimi. Tidak sekelumit pun dia menyangka suaminya sendiri akan mengorbankan diri untuk putera mereka.

"Hanya sebahagian sahaja hati abang dipotong. Abang masih akan hidup seperti biasa dengan izin Tuhan." Tangis Mariah masih bersisa. Hati hawanya terusik. Kini, kesihatan suaminya akan turut terjebak. Dia jadi enggan merestui.

Kali ini Fahimi pula meraih kekura tangan isterinya. "Jika Hajar bisa merelakan suruhan Tuhan agar ditinggalkannya di lembah kontang, juga meredai perintah-Nya agar putera satu-satunya disembelih bapa sendiri, inikan pula kita didatangi ujian yang serba sedikit ini." Senyuman yang manis dihadiahkan seikhlasnya buat Mariah. Tahulah dia bahawa inilah jalan yang sewajarnya perlu diambil. Hatinya mengizinkan.

Sesudah persiapan pembedahan dibuat, Mariah menghantar Fahimi dan putera mereka Amin ke pintu kamar bedah. Hatinya luluh, air matanya luruh tanpa henti. Fahimi juga begitu. Demi anak dan isteri yang sudah terlalu banyak bekorban. Kali ini dia pula yang akan berkorban untuk mereka. Sewaktu tautan jari Mariah terlerai dari pautan tangan, sempat Mariah membisikkan pesan "Jika Allah memerintahkan api agar mendingini bakaran Ibrahim, saya doakan agar kesejahteraan yang menjadi luka pembedahan ini."

Fahimi berasa gementar. Kali ini, trilogi cinta antara Ibrahim-Hajar-Ismail seperti benar terjadi di hadapan matanya. Amin, si anak kecil persis Ismail yang bakal dijadikan korban. Mariah, umpama Hajar yang ditinggalkan suami di gurun penantian bertemankan perlindungan dari Tuhan sedang dirinya. Apakah layak dia dimisalkan Ibrahim? Sang Khalilullah yang teguh meruntuhkan berhala, terus utuh dibakar hidup-hidup dan langsung patuh pada setiap suruhan Allah. Kali ini, dia akan menegakkan tiang pasrah dan merafakkan bendera tawakal ke langit Tuhan.

Dia percaya kalau Allah tidak akan menguji hambanya kecuali bersesuaian dengan kesanggupan mereka. Kini, keputusan ini adalah ilham yang dikirim Tuhan dalam sujud dan rukuknya tika dinihari lepas. Dia tidak akan berganjak. Biarpun kali ini yang menjadi korban adalah dia. Separuh hatinya akan dikerat dan dipindahkan ke tubuh Amin. Dia rela. Jika pengorbanan itu lazimnya menghasilkan amputasi, maka biar waktu ini, hatinya akan beranastomosis dengan hati puteranya menjadi kalbu yang terus hidup dan berdegup dalam ketaatan kepada Tuhan.

Kini, kedua-dua mereka sudah berada di ruang tengah kamar pembedahan. Langkah pertama adalah memotong separuh hatinya kemudian, bahagian tersebut akan dipindahkan langsung dicantumkan pada hati anaknya yang semakin mengecil. Bibirnya hanya basah dengan zikir dan doa. Doktor Zahari sedia memaklumkan kalau dia akan berusaha bersungguh-sungguh menyelamatkan Amin. Dia sendiri yang akan mengepalai pembedahan tersebut.

Jantungnya berdetak laju. Debaran mulai kencang bergendang. Matanya diluruskan menghadap siling. Silauan lampu bedah sedikit mengganggu pandangan. Kelihatan pakar bius yang bertugas mula menjalarkan aliran bius ke tubuhnya. Sedikit demi sedikit pandangannya terasa kabur.

Badannya terasa melemah. Dia akan terdorong masuk ke ruang bawah sedar. Namun sebelum itu, dia mahu melihat wajah puteranya sebelum dia sendiri ditidurkan oleh anestesia.

"Amin, kali ini abah akan bekorban untuk Amin." Doktor Zahari mula berdiri di sebelah kanan katil. Dimintanya sebilah skapel. Dia akan mula membelah dada temannya sendiri.

Kring ! Kring ! Kring ! Telefon penyambung yang melekat di dinding kamar bedah tiba-tiba berdering kencang. Jururawat berdekatan lantas mencapai cekatan menjawab. Gagang disuakan kepada Doktor Zahari yang sudah bersedia untuk memulakan pembedahan. Dari dalam topeng muka yang menutupi hampir keseluruhan wajahnya, riak gembira bercampur tidak percaya terpencar-pencar sesudah menerima perkhabaran.

"Ahamdulillah, penderma hati sudah ditemukan. Pembedahan ini tidak perlu dijalankan !" Tahmid dan syukur gamat bersipongang di sekitar kamar.

"Fahimi, kibas korban sudah dikirim Tuhan !" ucapnya ke telinga Fahimi yang tidak sedar. Dia pasti, dalam lenanya itu, Fahimi sedang bersujud syukur kepada Tuhan . 

Selamatkah lagi benua Eropah?

Posted: 28 Mar 2016 10:58 PM PDT

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA

Sejak akhir-akhir ini, Eropah sering menjadi topik perbualan utama masyarakat antarabangsa apabila
beberapa siri serangan bom menggegarkan benua yang mempunyai populasi penduduk ketiga tertinggi di dunia itu.

Situasi itu dilihat semakin menjadi-jadi apatah sebahagian besar daripada pelakunya ketika ini didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas termasuk militan IS.

Bermula dengan tragedi letupan di stesen kereta api pusat di tengah-tengah bandar raya Ankara, Turki pada Oktober tahun lalu yang mengorbankan hampir 100 orang awam, Perancis menjadi mangsa berikut tragedi berdarah kira-kira sebulan kemudian selepas beberapa lokasi tumpuannya di Paris dibom sehingga meragut kira-kira 130 nyawa.

Seakan-akan tiada henti, beberapa siri keganasan terus berlaku apabila Turki dilihat paling kerap menjadi mangsa serangan bom di Eropah ketika ini dan terbaharu, Belgium pula menjadi mangsa apabila Lapangan Terbang Zaventem serta Stesen Metro Maelbeek, Brussels dibom pengganas.

Justeru, timbul persoalan, selamatkah bumi Eropah yang tersohor dengan kepesatan pembangunan dan kekayaan budayanya untuk dikunjungi ketika ini?

Pada masa yang sama, bagaimana pula kumpulan militan IS boleh menyusup masuk dan membuat onar sedangkan umum mengetahui bahawa benua itu khususnya menerusi Kesatuan Eropah (EU) mempunyai kawalan keselamatan yang ketat?

Menurut laporan Mirror.co.uk yang memetik sumber berkaitan, ada dalam kalangan pengganas itu menyamar sebagai pelarian dan menyeludup masuk ke Eropah bersama pelarian lain yang melarikan diri dari Asia Barat dan Afrika Utara.

Sumber itu mendakwa, pengganas kebiasaannya datang secara berseorangan dan berkumpulan dengan menaiki bot merentasi Laut Mediterranean.

"Mereka akan menjadi pencari suaka apabila tiba di Eropah atau gagal dikesan pihak berkuasa. Dengan cara itu, suspek dipercayai boleh membawa masuk lebih ramai anggota militan ke Eropah menerusi sindiket penyeludupan manusia.

"Ini bermakna, mereka boleh masuk jauh ke dalam Eropah dan mengelak daripada ditahan polis dan pasukan keselamatan. Tiada siapa tahu berapa ramai jumlah mereka," kata sumber tersebut.

Walaupun ada yang mendakwa sukar untuk menghentikan 'kegilaan' itu daripada berlarutan kerana sasaran kumpulan pengganas itu dibuat secara rawak, namun EU menerusi Europol atau Polis Eropah tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

Antaranya ialah dengan meningkatkan aspek keselamatan terutamanya di negara-negara yang bernaung di bawah kesatuan itu.

Beberapa negara lain turut mengambil inisiatif sendiri dengan menguatkuasakan peraturan berkaitan bagi mengelak daripada menjadi mangsa serangan.

Ternyata, serangan demi serangan itu seperti 'wake-up call' yang mengejutkan seluruh warga Eropah serta masyarakat antarabangsa.

Dengan Perancis bakal menjadi tuan rumah kepada kejohanan Euro 2016 mulai Jun ini, ramai pemerhati berpendapat, tahap keselamatan sepanjang penganjuran itu akan menjadi 'penanda aras' terhadap kemampuan Eropah menangani kejadian pasca siri serangan bom sebelum ini.

Hakikatnya, Eropah masih selamat untuk dikunjungi ketika ini. Bagaimanapun, seperti pasukan keselamatan dan pihak berkuasa yang berkenaan, orang awam termasuk pelancong juga perlu mengamalkan pendekatan dengan menekankan bahawa bahaya itu ada di mana-mana dan tidak boleh dijangka.

Tambah pengawas
rahsia di sekolah

Posted: 28 Mar 2016 10:53 PM PDT

Oleh M. JASNI MAJED 

KES buli berlaku lagi. Kali ini agak berbeza. Seorang murid di salah sebuah sekolah rendah di Klang disuruh memotong lidahnya sendiri dengan gunting oleh murid-murid lain. Kes ini agak berbeza walaupun banyak kes buli sebelum ini melibatkan kecederaan.

Pertama, kes ini membabitkan murid sekolah rendah dan dibuli juga oleh murid sekolah rendah, cuma bezanya setahun. Kedua, kes ini melibatkan kecederaan anggota yang agak sensitif iaitu lidah. Seterusnya, kejadian mirip satu jenayah kerana jika benar para pembuli bertopeng kertas, ini adalah satu perkara yang dirancang.

Di samping itu, sebelum ini pun, murid tersebut pernah dibuli kerana matanya pernah lebam. Ini menunjukkan betapa kes buli di sekolah tersebut bukanlah perkara baharu. Amat membimbangkan kerana kes ini berlaku di sekolah rendah yang menunjukkan betapa anak-anak yang masih mentah lagi seakan-akan sudah biasa dan pandai membuli.

Walaupun tidak membabitkan kecederaan serius kerana murid itu sudah stabil, tetapi insiden ini perlu dilihat sebagai satu ancaman. Kita tidak nafikan suatu masa nanti pembuli-pembuli ini akan bertindak lebih ganas dan serius jika tidak diambil tindakan.

Hal ini sudah tentunya mampu menghakis kepercayaan ibu bapa terhadap institusi pendidikan negara dan nama baik sekolah sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan. Ibu bapa bimbang kalau-kalau anak mereka juga akan dibuli dan apa-apa bentuk buli lain yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

Dalam soal ini, pihak sekolah memainkan peranan penting untuk menentukan tahap disiplin dan tingkah laku murid-murid supaya tidak terus mengganggu sistem pembelajaran di sekolah dan mengikis keyakinan terhadap badan disiplin di sesebuah sekolah.

Di samping menambah jumlah pengawas yang sedia ada, pihak sekolah mesti melantik pengawas rahsia supaya pergerakan setiap murid boleh diawasi dengan lebih berkesan dan menyeluruh tanpa disedari. Beberapa kaedah untuk mewujudkan keberkesanan pengawas rahsia mestilah dibuat oleh pihak tertentu di sekolah supaya tindakan dan pergerakan pengawas rahsia ini tidak diketahui, waima oleh rakannya sendiri yang sama-sama memikul tugas tersebut.

Seperti pengawas biasa, pengawas rahsia juga akan melaporkan sesuatu salah laku murid atau melapor sesuatu keadaan yang mencurigakan di sekolah kepada pihak yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Biasanya murid akan menghentikan aktiviti-aktiviti negatif di sekolah sekiranya mereka melihat kelibat pengawas. Ada tindakan yang terlepas pandang oleh pengawas kerana nisbah pengawas dan murid agak besar ditambah pula dengan identiti mereka yang dikenali dengan jelas di sekolah.

Contohnya, jika ada aktiviti tidak sihat di belakang bangunan sekolah, di tandas dan seumpamanya, sudah tentu aktiviti tersebut dapat dihidu dengan mudah oleh murid-murid nakal jika ada pengawas yang datang atau ditempatkan di kawasan-kawasan tersebut. Malah, tidak menghairankan jika berlaku kes-kes pergaduhan di luar sekolah yang ada kaitan dengan kes-kes yang berlaku di kawasan sekolah, umpamanya dendam murid terhadap pengawas.

Apa-apa pun, sekolah yang mempunyai bilangan murid ramai mestilah mencari jalan agar masalah buli dan kesalahan disiplin lain dapat dibendung. Pelbagai pihak terbabit mestilah memahami bahawa apabila tahap disiplin dalam kalangan murid merosot, ini akan menyumbang kepada pelbagai masalah terutamanya kepada murid-murid yang ingin belajar dan menimba ilmu pengetahuan, dan bukannya mahu melihat pelbagai krisis yang berlaku di sekolah.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru mestilah memainkan peranan yang lebih efisien agar masalah yang ditimbulkan oleh murid-murid dapat ditangani dan tidak berulang. Malah, usaha untuk menyekat daripada berlakunya gejala tidak sihat mestilah diutamakan dengan pelbagai pendekatan.

Bagi murid-murid yang bermasalah, pihak sekolah mestilah mengambil tindakan tegas agar mereka dan murid lain tidak berani melakukan kesalahan yang sama pada suatu masa nanti.

Comments (0)