KUALA LUMPUR, 30 Disember:
Susulan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berhubung saranannya meminta rakyat Malaysia melakukan dua kerja bagi menampung kos sara hidup yang meningkat baru baru ini, ada di kalangan rakyat sudah pun melakukannya sejak tiga tahun lalu.
Berdasarkan tinjauan The Rakyat Post, ada yang berpendapat keadaan ekonomi kini yang semakin mendesak membuatkan hasil pendapatan yang diperolehi dari kerja-kerja sampingan masih tidak mencukupi bagi menampung bebanan sara hidup.
Bagi wanita yang ingin dikenali sebagai Rafika, 27, berkata selain memiliki kerja tetap di sektor swasta, dia juga melakukan kerja sampingan iaitu memberi perkhidmatan mengemas rumah sejak dua tahun lalu.
Namun katanya, perkhidmatan itu kini kurang mendapat sambutan kerana ada di antara pelanggannya sudah mula pandai berjimat ekoran keadaan ekonomi semasa.
"Sekarang kerja sampingan yang saya lakukan kurang membantu kerana pelanggan mulai mengemas rumah sendiri dan menyebabkan pendapatan yang diperolehi terjejas.
"Saya bukan sahaja membersih rumah, malah turut menjual barangan solek serta tudung bagi menampung perbelanjaan harian. Namun dengan ekonomi sekarang, pendapatan yang saya perolehi hanya RM350 sebulan," katanya.
Pandangan tersebut turut dikongsi Ayshah, 25, yang menceburi bidang perniagaan atas talian sejak dari zaman belajar lagi.