KUALA LUMPUR, 14 Disember:
Kedudukan lemah Umno telah mendorong parti itu menjalin kerjasama dengan PAS.
Pengarah Penerangan PKR, Fahmi Fadzil turut mendakwa, rasional di sebalik kerjasama itu disebabkan parti pemerintah itu kini bergelut dengan persengketaan dalaman.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada Khamis lalu menghulurkan 'tali  silaturahim' kepada PAS, untuk bersama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam.
"Umno, Najib khususnya, menyedari sekarang jika persengketaan ini merebak, peluang Umno untuk menang dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), dengan jumlah sama kerusi yang dimenanginya pada PRU13 akan menjadi tipis.
"Tidak ada 'tali  silaturahim' dapat menangani asas-asas perkara itu, yang berkaitan dengan 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion," katanya.
Fahmi merujuk sayap pelaburan milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad dan dana politik AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang dimasukkan ke akaun bank Najib.
Dengan mendakwa banyak kerusi pemimpin utama Umno dimenangi menerusi majoriti undi kurang daripada 10 peratus, Fahmi berkata, inilah puncanya parti itu cuba memancing PAS.
"Tetapi, realitinya agak sukar, kerana PAS bertanding di banyak kerusi yang turut ditandingi Umno.
"Umno mungkin terpaksa mengadakan beberapa rundingan dalaman yang amat sukar dan tidak menentu dengan hulubalangnya, sesuatu yang Najib akan dapati ia tugas gentar kelak," katanya.