KUALA LUMPUR, 14 Disember 2015:

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang memberi bayangan seolah-olah wujud dua orang yang menentang kerjasama Pas dengan Umno iaitu dirinya dan juga Naib Presiden, Datuk Iskandar A. Samad.
Menurut Tuan Ibrahim, beliau ingin mengingatkan Puad bahawa keseluruhan pimpinan Pas tidak pernah menentang sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak kerana ianya adalah perintah Allah.
Jelasnya, Pas menyatakan dengan tegas perlu penyatuan di atas landasan yang digariskan oleh Allah iaitu 'bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan".
"Inilah prinsip Islam yang menjadi pegangan Pas dan bersedia bekerjasama dalam menentang kemungkaran pemerintah, rasuah, salah urus tadbir negara, kezaliman, penganiayaaan, perjanjian yang tidak ditepati dan berat sebelah yang menyusahkan rakyat serta sistem federalisme yang tidak dilaksanakan.
"Atas dasar inilah Pas sanggup mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak namun kerjasama ini bukanlah bermakna Pas harus korbankan dasar dan perjuangan demi mencapai kemenangan politik pilihan raya sahaja," katanya menerusi posting terbaru di akaun Facebooknya, hari ini.
Tegasnya, jalinan dan kerjasama hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat adalah sebahagian daripada sistem federalisme yang tidak boleh dicampuradukkan dan diklasifikasikan sebagai kerjasama politik antara dua parti.
Katanya, ada sebilangan pemimpin Umno yang keliru akan perkara ini, mungkin kerana telah biasa dengan sistem federalisme yang telah dirosakkan oleh Umno sendiri.
"Datuk Seri Najib telah menyatakan hasrat bagi melaksanakan pemerintahan negara berlandaskan syarak dan ini tentunya khabar gembira kalau ianya benar-benar lahir dari keinginan yang bersungguh-sungguh Perdana Menteri.