BRINCHANG, 2 Disember:

Dakwaan rasuah dan berpakat dengan pemaju timbul selepas Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Cameron Highlands memusnahkan sebuah ladang, Khamis lalu.
Seorang petani dari Kampung Raja,  Kaliyappan Perumal, 33, mendakwa rasuah berleluasa di Cameron Highlands yang mencapai kadar yang endemik dan jika lewat ditangani akan menjadikannya mustahil untuk diatasi.
Bosan dengan ugutan bertahun dan desakan supaya membayar rasuah, Kaliyappan akhirnya memutuskan sudah tidak boleh lagi menahan karenah terbabit selepas ladang seluas 1.2 ekar miliknya dimusnahkan pihak berkuasa.
Dia mendakwa PTD cuba menghapuskan ladangnya bagi membolehkan pembangunan hartanah dijalankan.
Ketika memberitahu Rakyat Post semalam, dia menunjukkan dokumen bertarikh 27 Ogos 2014 sebagai bukti bahawa pemaju hartanah cuba mengusirnya dari tanah berkenaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen menolak kes pemaju hartanah itu dengan kos.
Kaliyappan mendakwa pemaju hartanah kini cuba mendapatkan tanah berkenaan dengan menggunakan pengaruh PTD.
"Keluarga saya sudah mengusahakan tanah ini selama 63 tahun.
"Selama itu, kami terpaksa membayar pegawai dari PTD untuk memperbaharui lesen operasi sementara (TOL) setiap tahun.
 "Saya membayar sekurang-kurangnya RM50,000 setahun kepada pegawai berlainan di sana," katanya.
Petani itu berkata, dia tidak faham mengapa TOL itu tidak perbaharui ketika pejabat Menteri Besar sendiri sudah memberi pengesahan terhadap mengesahkan surat permohonan ibunya, Palaniamah Palaniandy, dengan satu surat sokongan bertarikh 14 Mac 2014.
Dia menunjukkan surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob iaitu Datuk Hamdan Hussin.
"Kerajaan mesti mengubah sistem di sini kerana pegawai tertentu mempunyai terlalu banyak kuasa.
"Rasuah dalam PTD bukan khabar angin. Ia benar-benar berlaku.
"Malah, saya sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lalu tetapi tiada tindakan diambil," dakwanya.
Kaliyappan mendakwa, malah, beberapa pegawai berpangkat rendah di PTD memandu kenderaan pacuan empat roda.
"Bagaimana seorang kerani mampu memiliki kenderaan seperti itu? Sudah pasti ada yang tidak kena ketika gaya hidup mereka mengatasi jumlah gaji yang diperolehi. SPRM harus menyiasat perkara ini dari akar umbi."
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa adalah mustahil untuknya membuktikan dakwaan itu kerana rasuah dibayar secara tunai dan tiada transaksi bank.