KUALA LUMPUR, 18 November:

Pas tidak boleh menghalang dan membantah keputusan Kerajaan negeri Pulau Pinang memecat semua ahli parti berkenaan dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan kerana ia sememangnya sudah disebut-sebut sebelum ini.
Menurutnya, selepas Pas tidak lagi menganggotai Pakatan Harapan (PH) selepas terbubarnya Pakatan Rakyat (PR) maka sudah perkara tersebut sudah dijangka akan berlaku.
"Jadi Pas sudah tidak bekerjasama dengan kerajaan negeri dan macam mana ahli boleh dilantik sebagai JKKK?
"Sudah pasti kerajaan negeri akan melantik mereka yang terdiri daripada ahli Parti Amanah Negara (Amanah) ataupun ahli Pas yang mengisytiharkan diri mereka menyokong Amanah.
"Namun begitu, situasi terbaharu ini dilihat bakal memburukkan lagi hubungan antara kedua parti berkenaan yang sudah sememangnya buruk selama ini," katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bahawa ahli Pas di Kepala Batas tidak meletak jawatan seperti yang didakwa sebaliknya dipecat.