KUALA LUMPUR, 16 November:
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menyelar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana 'melakukan tugas Umno-BN'.
Khalid berkata Hadi kini seolah-olah menjadi 'pekerja kuat' demi kepentingan BN.
"Kerja-kerja yang dilakukan oleh Umno kini diambil alih oleh Pas.
"Ini amat menyedihkan untuk kita lihat. Hadi kini sedang melalui jalan yang sama sekali berbeza dan ia sesuatu yang sangat asing terhadap apa yang telah dilakukan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Tuntutan dan dakwaan yang beliau buat terhadap DAP, adalah tidak berasas, berat sebelah dan sangat prejudis," katanya kepada The Rakyat Post.
Beliau mengulas kenyataan yang dibuat oleh Hadi semalam bahawa Pas akan memastikan DAP tidak mendominasi satu-satu bandar bagi mengelakkan bekas rakan politiknya itu menghalalkan yang haram kepada orang-orang Islam, iaitu arak dan judi.
Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata, arak dan judi telahpun wujud di bawah pemerintahan BN, jadi mengapa DAP dipersalahkan.
"Ia adalah Umno-BN yang merupakan parti pemerintah dan Presiden Pas sepatutnya mengkritik mereka.
"Mengapa Hadi mahu menyerang DAP mengenai isu ini. Kita hanya boleh menyimpulkan bahawa Pas menjadi parti bersifat Melayu dan perbezaan antara Pas dan Umno adalah sedikit.
"Saya tidak akan terkejut bahawa dalam Pilihan Raya Umum akan datang mereka akan bekerja rapat bersama-sama," ujarnya.