KUALA LUMPUR, 1 November:

PAS menawarkan diri untuk menjadi penasihat kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi negara, demi kepentingan rakyat.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipetik akhbar Utusan Malaysia berkata, pucuk pimpinan PAS akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membincangkan pel­bagai isu, termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan kos sara hidup rakyat.
"Kita ada cadangan supaya kerajaan hapuskan GST, kerana ia menyusahkan rakyat dan akan menyebabkan inflasi. Kita akan bincang cara untuk selesaikan masalah ini.
"Contohnya, dalam Islam, orang kaya saja dikenakan cukai, orang miskin tak kena. Begitu juga orang Islam saja dikenakan bayar zakat, manakala bukan Islam kena bayar cukai.
"Kita nak tolong selesaikan masalah, kita bukan nak rebut kuasa. Kalau Umno ubah kuasa dengan konsep Islam, kita akan bantu dia.
"Yang penting, kita nak ubah pemerintahan kepada lebih baik, berasaskan tuntutan Islam," katanya ketika berucap pada program Dialog Rakyat Bersama PAS, anjuran Badan Perhubungan PAS Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.
Tambahnya, jika teguran dan nasihat yang diberikan parti itu tidak berkesan, PAS tiada pilihan dan akan berusaha untuk mengambil alih tampuk pemerintahan.
"Perjuangan kita untuk ubah keadaan, bukan be­rebut jadi pemimpin. Tetapi, kalau tidak ubah juga, menjadi tanggungjawab kita untuk tukar kerajaan.
"Kita akan jadi pembangkang yang boleh beri nasihat, bukan pelahap nak rebut jawatan," katanya sambil menegaskan, PAS tidak akan bergabung dengan BN, khususnya dalam bentuk kerjasama politik.
Pada masa sama, beliau menyifatkan DAP 'syok sendiri' dengan Kabinet bayangan mereka dan berhasrat untuk merampas Putrajaya, melalui Pilihan Raya Umum akan datang.
Mengenai usaha parti pembangkang lain yang mahu mengemukakan usul menolak Bajet 2016 di Dewan Rakyat, jelasnya, PAS mengambil pendirian berkecuali.