SHAH ALAM – Pakar ekonomi berpendapat kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bermula April lalu bakal dinaikkan dari semasa ke semasa, malah ia bukan sesuatu yang pelik untuk berlaku.

Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata, sejarah GST yang dilaksanakan oleh negara-negara lain menunjukkan kadarnya dinaikkan selepas beberapa tahun diperkenalkan.

"Jika kita bercakap beberapa tahun akan datang, saya rasa ia bukan kemungkinan tapi satu kepastian. GST ini memang 'confirm' akan naik. Kalau kita tengok di negara-negara lain pun, selepas beberapa tahun diperkenalkan, kadarnya pasti akan naik.

"Sebagai 'counter ballance', biasanya, cukai pendapatan dan cukai korporat akan diturunkan. Jadi, kenaikan kadar GST ini bukan satu perkara yang pelik dan saya rasa itu memang boleh dijangka dari awal.

"Saya tidak melihat kenaikan kadar itu sesuatu yang negatif. Bukan benda pelik... memang sepatutnya naik tapi yang peliknya ialah jika kadar itu tidak naik-naik tiap tahun," katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, susulan pembentangan Bajet 2016, Pas melahirkan kebimbangan kemungkinan kenaikan kadar GST akan berlaku ekoran kebergantungan kerajaan pada hasil kutipan GST.

Namun menurut Wan Saiful, sebelum kenaikan kadar GST itu dilakukan oleh kerajaan, pertimbangan utama berkaitan faktor pendapatan rakyat perlu diambil kira.

"Kenaikan pendapatan rakyat memang setiap tahun akan berlaku, jadi, mungkin apa yang berlaku ialah peningkatan itu tidak selaras dengan... ataupun tidak sebanding dengan peningkatan kos sara hidup. Tapi yang pastinya, pendapatan rakyat memang pasti akan meningkat dari tahun ke tahun.

"Sekiranya pendapatan rakyat masih lagi dianggap sebagai tidak cukup tinggi untuk membolehkan GST dinaikkan, maka ini memberikan pertimbangan kepada kerajaan, 'mungkin masanya tidak sesuai untuk naikkan terlalu banyak'.

"Saya rasa ini perkiraan yang perlu dibuat dari semasa ke semasa, kalau sekiranya kenaikan pendapatan rakyat amat rendah pada tahun 2018 contohnya, maka 2018, jangan dinaikkan lagi (kadar GST).

"Tunggulah 2019 untuk membuat perkiraan lain... perlu dinaikkan atau tidak. secara prinsipnya, naik memang pasti tapi berapa banyak, bila naik, itu bergantung pada perkiraan semasa," katanya.