KUALA LUMPUR, 16 Oktober:

Memperketatkan undang-undang atau memperkenalkan undang-undang lebih ketat mungkin bukan cara terbaik untuk menangani keganasan.
Ini kerana, kata bekas ahli Umno yang melompat ke PKR semalam, Datuk Saifuddin Abdullah, ia sudah terbukti tidak berkesan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).
"ISA membenarkan penahanan orang yang pulang dari Afghanistan untuk dipulihkan, termasuk oleh mereka yang datang daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau pihak yang melantik mereka.
"Tetapi, terdapat satu kes di mana seorang bekas tahanan telah pergi ke Syria, barangkali untuk menyertai IS, selepas dia dibebaskan (daripada tahanan ISA)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu forum mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, pada Khamis malam yang turut dihadiri peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan.
Saifuddin berkata, ramai pakar keganasan Eropah mengandaikan beberapa kumpulan dalam masyarakat menjadi radikal secara tidak sengaja, apabila kerajaan memperketatkan undang-undang, kerana mereka menganggap ia sebagai kerajaan autoritarian atau drakonian.
"Itu sebabnya di Australia dan Amerika Syarikat, walaupun mereka ada undang-undang seperti Akta Patriot, mereka turut menggunakan kumpulan-kumpulan masyarakat awam dan pemimpin-pemimpin agama (untuk beritahu mereka) supaya tampil ke depan, kerana tindakan itu lebih berkesan daripada menggunakan undang-undang.
"Tetapi, apa yang berlaku ialah, apabila kerajaan berdepan pengganas dan keganasan, mereka akan memperkenalkan undang-undang baru atau memperketatkan undang-undang baru, namun ini tidak semestinya cara paling berkesan (untuk menangani mereka)," kata Pengerusi Akademi Belia itu.
Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, beliau menyokong Sosma kerana ia hanya tertumpu kepada keganasan dan bukannya penentang politik.
Beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa undang-undang itu telah disalahgunakan terhadap bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang yang ditahan di bawah akta itu, sebelum didakwa atas pertuduhan sabotaj.
Saifuddin turut mengeluh mengenai cabaran yang dihadapinya dalam usaha untuk memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, ketika beliau berada dalam kerajaan.
"Kami pernah ada perdebatan berhubung pemansuhan itu yang turut disokong Perdana Menteri, sebelum beliau membuat 'pusingan U' mengenai keputusan itu.
"Tetapi kemudiannya, ada individu-individu (dalam kerajaan) yang bukan sahaja tidak bersetuju dengan pemansuhan akta itu, malah mahu memperkenalkan ISA semula.
"Amat sukar untuk memahami alasan mereka," katanya.