KUALA LUMPUR, 5 September:

Pemimpin Umno kumpulan baju merah menawarkan perkhidmatan `cina buta' sebagai penyelesaian kepada krisis perkahwinan yang sedang dialami Ahli Parlimen Pas yang menyertai Parti Amanah Negara (PAN).
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos, berkata bagi mengelakkan daripada melakukan dosa berpanjangan oleh Ahli Parlimen PAN dan isteri mereka, beliau bersama Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam menyediakan 35 sukarelawan bagi perkhidmatan itu.
`Cina buta' adalah istilah yang digunakan dalam masyarakat kita terhadap pakatan bekas suami dengan lelaki lain supaya mengahwini isterinya, yang diceraikan dengan talak tiga, dengan mensyaratkan supaya lelaki itu menceraikannya semula isterinya selepas itu, bagi membolehkan dia merujuk kembali dengan isterinya.
Dalam perundangan Islam, ia disebut sebagai nikah muhallil.
"Kami mempunyai seramai 35 orang sukarelawan yang berumur linkungan 35 tahun, berstatus bujang dan duda sedia untuk memberi perkhidmatan "Cina Buta".
"Kami menyeru kepada bekas-bekas kepimpinan PAS yang terlibat dan beminat, untuk menghubungi kami bagi berbincang lanjut mengenai tawaran ini," kata Jamal dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dia berkata, adalah berdosa bagi Ahli Parlimen antaranya termasuk Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, untuk mereka terus duduk sebumbung dengan bekas isteri tambahan lagi, ini bukan kes cerai yang boleh diruju'
Ini susulan aku janji kepimpinan Pas terhadap parti yang jika secara sukarela keluar daripada parti itu bagi menyertai parti lain, menyebabkan jatuh talak tiga ke atas isteri-isteri mereka, melalui lafaz taklik yang telah diikrarkan dalam Baiah Kesetian.