Tindakan pemimpin yang mendakwa perhimpunan Bersih 4 boleh mencetuskan isu perkauman, disifatkan sebagai berniat jahat dan rasis.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub menegaskan, tidak timbul isu perkauman dalam Bersih 4 seperti yang didakwa pemimpin berkenaan, kerana perhimpunan itu disertai rakyat pelbagai kaum.
"Semua rakyat, termasuk saya sendiri, turun menyertai Bersih atas kesedaran tinggi dan sebab yang jelas, iaitu menuntut pilihan raya adil dan menentang ketidakadilan dalam urus tadbir kerajaan, seperti rasuah dan salah guna kuasa.
"Adalah tidak benar sama sekali untuk mendakwa Bersih 4 cuba mencetuskan isu perkauman dengan melatarbelakangkan tragedi 13 Mei," kata bekas Naib Presiden PAS dalam satu kenyataan semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa dilaporkan sebagai berkata, berpuluh-puluh laporan polis telah dibuat berhubung perhimpunan haram itu.
Ketua Anti-Bersih 4.0, Datuk Jamal Md Yunos mendakwa, perhimpunan Bersih 4 boleh mencetuskan isu perkauman yang akan menghuru-harakan negara, seperti peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar mendakwa, lebih 80 peratus peserta Bersih 4 terdiri daripada orang Cina yang dilihat bersungguh-sungguh menggerakkan agenda himpunan haram itu.