PETALING JAYA, 15 Ogos:
Bersih 2.0 bukan sahaja menentang Perdana Menteri, tetapi juga sistem politik yang wujud ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003 yang menyebabkan berlakunya kegiatan rasuah.
Pengerusi kumpulan reformasi pilihan raya itu, Maria Chin Abdullah menggesa penyokongnya mengingati skandal-skandal seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang berjumlah RM12 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
PKFZ bermula sebagai projek usaha sama antara Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang dengan promoter Zon Perdagangan Bebas Jebel Ali pada 1999, untuk menarik kemasukan pelaburan asing dan memperkenalkan pelabuhan-pelabuhan utama di Malaysia.
PKFZ kemudiannya menjadi tumpuan, disebabkan kos pembinaan yang melambung tinggi, daripada tidak lebih RM4.6 bilion kepada lebih RM10 bilion.
Berhubung perhimpunan Bersih 4 yang bakal diadakan pada hujung bulan ini, Chin berkata, pertukaran Perdana Menteri tidak akan menyelesaikan masalah.
"Jika kita tidak mengubah sistem politik, Perdana Menteri baru akan buat skandal-skandal barunya sendiri," katanya pada majlis pelancaran Bersih 4 di Dewan Sivik Petaling Jaya, malam semalam.
Chin mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa protes terbaru itu bukan bertujuan menggulingkan kerajaan melalui keganasan atau paksaan.
Bersih 4, tegasnya, akan menjadi himpunan aman selama 34 jam, mulai 29 Ogos hingga 30 Ogos ini dan merupakan "undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri serta sistem politik Malaysia."