KUALA LUMPUR, 12 Ogos:

Undang-undang baru untuk mengawal media sosial tidak perlu diwujudkan kerana peruntukan yang sedia ada dilihat sudah mencukupi.
Peguam muda, Syahredzan Johan, berkata kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mewujudkan undang-undang baru tanpa menjelaskan kekurangan pada peruntukan undang-undang sedia ada.
"Bagaimana Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang mana skopnya begitu luas tidak mencukupi?
"Terdapat juga kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang boleh digunakan dan dikenakan ke atas media sosial.
"Jadi kita tidak boleh mengatakan bahawa negara pada ketika ini seolah-olah tidak mempunyai undang-undang mencukupi untuk mengawal media sosial," katanya menerusi Twitternya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak bercadang untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) 1998.
Cadangan pindaan dua akta itu bertujuan memastikan dunia tanpa sempadan ketika ini, tidak disalah guna sehingga boleh menyebabkan berlakunya jenayah.
Perkara itu akan diusulkan dalam persidangan Dewan Rakyat pada Oktober nanti.