KUALA LUMPUR, 29 Julai:

Polis Kuala Lumpur membekukan cuti anggota dan pegawainya bagi menghadapi kemungkinan berlaku kejadian yang tidak diingini di ibu negara susulan pelbagai isu kontroversi yang melanda negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, pembekuan cuti pegawai dan anggota adalah perkara biasa namun ianya terhad dalam keadaan sekarang.
Menurutnya, pada musim perayaan lalu, hanya 10 peratus anggota dan pegawai dibenarkan untuk bercuti dan selebihnya terpaksa menjalankan tugas seperti biasa.
"Kita ada pelbagai program berlaku di dalam negara yang memerlukan anggota untuk bertugas dan ditambah dengan isu kontroversi sekarang, kita perlu mengehadkan mereka yang boleh bercuti.
"Polis sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan kekuatan anggota mencukupi," katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Mengulas mengenai himpunan #tangkapnajib Sabtu ini di Pusat Membeli Belah Sogo, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan berhubung himpunan itu.
Beliau menegaskan, kekuatan anggota mencukupi dan sentiasa berada dalam keadaan sedia untuk menghadapi sebarang keadaan.
"Persediaan kami sama seperti himpunan yang diadakan sebelum ini," katanya.
Tajuddin turut menasihatkan orang ramai untuk tidak menyertai himpunan tersebut untuk tujuan keselamatan.
Difahamkan, pembekuan cuti pegawai dan anggota bermula hari ini hingga diumumkan nanti.