Lebih 10 orang di bawah penelitian Pasukan Petugas Khas yang menyiasat dakwaan penyalahgunaan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Sin Chew Daily.
Akhbar harian itu yang dipetik Malaysiakini sebagai melaporkan maklumat daripada sumber dalaman pasukan khas itu berkata, individu terbabit termasuk mereka yang terbabit dalam sektor kewangan dan perniagaan, selain politik.
Menurut laporan itu lagi, individu terbabit sedang disiasat dan pihak berkuasa mungkin menahan mereka sebaik mendapat bukti kukuh.
"Mereka yang dalam senarai pemerhatian bukan semuanya daripada pengurusan atasan tetapi pelbagai, dari bawahan hingga atasan termasuk ketua pegawai eksekutif, pengarah dan eksekutif," menurut sumber yang tidak dinamakan itu.
Berdasarkan laporan itu lagi, sumber berkenaan mendakwa tangkapan seterusnya mungkin membabitkan dakwaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Katanya, Pasukan Petugas Khas semalam turut menyerbu syarikat yang tidak dinamakan untuk mendapatkan dokumen penting bagi membantu siasatan.
Pasukan Petugas Khas membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara, selain merujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebagai panduan dan nasihat undang-undang.
SPRM hari ini mengesahkan penahanan pengarah sebuah syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, bagi membantu siasatan Pasukan Petugas Khas.
Antara dakwaan yang disiasat oleh Pasukan Petugas Khas itu termasuk RM2.6 bilion yang dikatakan didepositkan ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.