Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking berkata Kerajaan Persekutuan gagal menyampaikan 40 peratus daripada hasil bersih yang dikutip dari negeri Sabah seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Leiking berkata beliau telah menulis pada bulan Jun 2014 kepada Menteri Kewangan dan Kerajaan Persekutuan dengan merujuk perlembagaan bahawa jumlah tahunan yang wajib diberikan kepada Sabah ialah bersamaan dengan 2/5 (40 peratus) daripada hasil bersih.
Persoalan itu timbul terhadap jumlah yang telah dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah di antara tahun 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.
Pendedahan Naib Presiden PKR amat mengejutkan kerana hanya sejumlah RM160.20 juta telah dibayar sepanjang tempoh antara 2008 dan 2013, adalah bersamaan RM26.7 juta setahun.
"Kerajaan Persekutuan mahu rakyat mempercayai 40 peratus pendapatan bersih seperti yang termaktub dalam perlembagaan setiap tahun dibayar kepada Sabah.
"Namun, rakyat sedia maklum bahawa kutipan hasil cukai berbilion-bilion ringgit setiap tahun dari Sabah telah diperolehi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Darell mengesa Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan setiap tahun angka pendapatan bersih sebenar yang dikumpul dari Sabah, dan membayar dengan serta-merta kembali berbilion Ringgit dalam tunggakan kepada negeri itu menurut Jadual Kesepuluh Bahagian IV (2) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Jawatankuasa khas terpilih telah ditubuhkan baru-baru ini adalah bagi menyiasat pulangan tahunan sebanyak 2/5 (40 peratus) daripada hasil bersih kepada negeri Sabah.