KUALA LUMPUR, 17 Julai:

Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan Malaysia kini berhadapan dengan krisis kepimpinan yang kritikal dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri mereka.
Dalam perutusan yng dikeluarkan hari ini, kedua-dua pemimpin itu berkata rakyat Malaysia juga perlu mengukuhkan tekad mereka dalam menghadapi krisis tersebut.
"Malaysia berhadapan dengan krisis kepimpinan yang kritikal mutakhir ini.
"Tekad rakyat harus dibulatkan untuk memperkemaskan usaha memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan, tatakelola yang bermasalah dan sikap pilih kasih keterlaluan yang melangkaui batas agama dan perundangan," kata mereka.
Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini sedang berhadapan krisis apabila beliau didakwa menerima dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.
Selain itu, beliau juga turut diserang oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak senang dengan pentadbiran beliau.
Kerajaan bagaimanapun menafikan segala dakwaan tersebut.
Pembangkang pula berhadapan krisis apabila Pakatan Rakyat yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya 2008 kini berpecah susulan krisis antara PAS dan DAP.
PAS meluluskan usul memutuskan tahaluf siayasi dengan DAP dan susulan keputusan yang dicapai dalam Muktamar PAS ke-61 bulan lalu, DAP mengambil pendirian Pakatan sudah tidak lagi wujud.
Pemimpin progresif PAS yang tewas kepada kumpulan konservatif dalam pemilihan itu kemudiannya bertindak menubuhkan Gerakan Harapan Baru dan dijangka bakal menjadikannya sebagai parti politik selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.