KUALA LUMPUR, 10 Julai:

Walau apa pun isu yang cuba dibangkitkan dalam demosntrasi jalanan, tujuannya adalah satu – untuk menyampaikan mesej dan hasrat rakyat.
Itu adalah di antara pandangan daripada orang ramai yang ditemui The Rakyat Post mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dijadikan isu demonstrasi jalanan.
Bagi seorang pekerja swasta Mohamad Razi, 38, isu ketelusan pemimpin pada hari ini baik di kalangan kerajaan mahupun pembangkang masih samar, rakyat tidak tahu siapa yang benar-benar jujur melaksanakan amanah.
"Dengan demonstrasi paling tidak rakyat mampu menyuarakan pendapat kerana rakyat mempunyai hak, kalau buat report polis secara bersendirian tidak ada sokongan ramai macam tidak berguna, paling tidak itu cara yang ada buat masa ini," katanya kepada TheRakyatPost.
Jelasnya, rakyat merasai peningkatan kos sara hidup dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga minyak, oleh itu perhimpunan aman adalah salah satu cara demokrasi untuk menyuarakan bantahan.
Pendapat yang sama dikongsikan oleh seorang pemandu teksi sambilan N. R. John, 59, katanya perkara ini adalah disebabkan isu ketelusan daripada kerajaan, lebih lama pihak berwajib berdiam diri dan tidak menjelaskan kepada rakyat sudah pasti cara terakhir adalah demonstrasi di jalanan.