KUALA LUMPUR, 24 Jun:

Berkemungkinan parti baru yang akan dibentuk oleh kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai 'G18′ lebih mensasarkan kawasan selatan Malaysia, kata Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azizuddin Mohd Sani.
G18 yang merupakan kumpulan progresif dari parti PAS dilihat mempunyai kecenderungan untuk menubuhkan satu parti baru sebagai alternatif kepada PAS dan juga rakan baru buat PKR dan DAP.
Menurut Azizuddin, kumpulan ini boleh memberikan impak kepada corak politik negara namun ianya bergantung kepada bagaimana parti itu ingin ditubuhkan.
"Dia bergantung kepada bagaimana ianya nak ditubuhkan, jika sekadar nak wujudkan seperti mana PAS berfungsi, maka ia tidak memberikan kelainan.
"Tetapi, jika mereka menubuhkan parti yang lebih progresif dan terbuka, ini akan memberikan impak kepada politik kita. Jadi sukar untuk kita jangkakan, tunggu sehingga parti baru itu tertubuh," katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.
Walau bagaimanapun, Azizuddin melihat sekiranya benar G18 ini akan menubuhkan parti, ia tetap memberikan impak memandangkan mereka yang berada di dalam kumpulan ini merupakan mereka yang sudah sedia ada dikenali rakyat.