Audit 2014
KUALA LUMPUR - Sebanyak 241 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan negeri membuat penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.
 
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata, daripada jumlah itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 90 syor kepada Kerajaan Persekutuan, 56 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 95 syor kepada Kerajaan negeri.
 
"Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang program, pembinaan, penyenggaraan, perolehan, pengurusan hasil, alam sekitar dan pengurusan syarikat," katanya.
 
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
 
Beliau berkata, dalam Laporan Siri 2 itu, sebanyak 57 pengauditan prestasi dan 18 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan dilaksanakan di peringkat persekutuan, negeri dan Badan Berkanun Persekutuan.

Ambrin berkata, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Laporan Maklum Balas ke atas Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.