Belum selesai isu blogger hantu raya, kini bersepah pula pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hantu raya yang mendakwa mereka sebagai pro UMNO. Saya tidak pasti sama ada UMNO tahu tentang kewujudan NGO ini. Ketrampilan mereka sangat ketara sebagai ayam sabung yang mempertahankan UMNO.
Tetapi maaf cakaplah sebahagian besar NGO ini lekeh sangat, tidak dengan strategi, pakai redah walaupun untuk membela UMNO.
Yang kelakarnya banyak presiden NGO ini dilayan oleh media terutama stesen televisyen dan diletakkan dalam slot berita utama. Maka berkokoklah 'Si Bedul' dan 'Si Bedal' dengan hujah balas yang entah apa-apa. Mereka inilah yang selalu ke depan membuat laporan polis dan beraksi di depan balai bersama sepuluh dua puluh pengikut. Aksi klise.
Perlu tegaskan di sini yang saya tidak menafikan ada beberapa NGO yang bukan sahaja benar-benar menyokong UMNO tetapi hujah dan fakta-fakta yang dikemukakan untuk mematahkan serangan parti lawan sangat menyakinkan. Ada pemikiran tinggi dan strategi serangan. Mereka dilihat lebih menyakinkan dalam menangkis serangan pembangkang. Saya tabik NGO begini.
Tetapi kemunculan NGO hantu raya ini menjadi barah yang kepada UMNO. Ada yang memberitahu saya mereka ini juga dipelihara oleh sesetengah orang UMNO dan ada imbuhan. Saya tidak kisah, itu soal mereka. Biasalah, takkan nak berkokok percuma. Tetapi yang malangnya NGO ini merendahkan UMNO dengan kedangkalan mereka.
Untuk mendapat keyakinan rakyat (melampaui ahli UMNO, ketua cawangan, ketua bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi), UMNO perlu membina personaliti dan gaya berfikir. Caranya dengan menjauhkan diri daripada disekutukan dengan sesetengah NGO yang mengambil kesempatan dalam keadaan UMNO yang sangat kuat ( meminjam kesimpulan reaksi pemimpin-pemimpin UMNO pada sambutan ulang tahun UMNO ke 69 baru-baru ini).