'Saya ahli Umno tapi tak sokong Najib' 
PETALING JAYA  - "Saya masih lagi pemimpin Umno. Saya tahu forum ini ramai yang mengkritik kepimpinan Umno, tetapi saya datang bukan untuk membela mana-mana pemimpin Umno tetapi untuk mengambil bahagian kerana untuk mencari kebenaran".

Demikian penegasan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Afifuddin Omar ketika menyatakan sebab kenapa beliau hadir sebagai panel dalam Forum "‎Mencari Pemimpin Baru Malaysia" di Dewan Sivik MBPJ, di sini, hari ini.

Jelas Dr Afifuddin, kehadirannya itu adalah untuk menyatakan yang benar dan tidak mempertahankan Umno sekiranya parti itu melakukan kesilapan.

"Kalau abang (perumpamaan kepada Umno) saya buat salah. Saya kena kata salah," katanya.

Dr Afifuddin bagaimanapun turut tidak bersetuju dengan cara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  yang mendesak Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk meletakkan jawatan.

"Saya tidak setuju 100 peratus dengan Tun Mahathir. Kritik boleh tapi jangan suruh letak jawatan.

"Saya juga hairan kenapa Najib sahaja yang menjawab tetapi bukan lembaga pengarah 1MDB," katanya.