PERMATANG PAUH, 15 April:
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Selasa malam melancarkan Jentera PRK (Pilihan Raya Kecil) Parlimen Permatang Pauh dan mengumumkan slogan "Demi Rakyat, Bantah GST dan Tegakkan Keadilan" dipilih untuk kempen parti berkenaan serta Pakatan Rakyat (PR).
Pada majlis yang berlangsung jam 8.30 maalam di Dataran Rakyat Guar Perahu, bersebelahan Pusat Khidmat Parlimen Permatang Pauh itu bekas pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman dilantik sebagai Pengarah PRK Permatang Pauh.
Beliau akan dibantu oleh tujuh ahli PR dari semua parti sekutu dalam pakatan pembangkang itu.
Sekurang-kurangnya 10 pemimpin PR dari PKR, DAP dan PAS berucap pada majlis berkenaan termasuk Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.
Kesemua mereka berikrar untuk komited berusaha mempertahankan Permatang Pauh.