KUALA LUMPUR, 11 April:

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak 10 hari lalu mengundang pelbagai rungutan daripada masyarakat.
Namun kali ini berbeza pula situasinya apabila peniaga kad tambah nilai pra bayar pula mengeluh berikutan pelaksanaan cukai baru itu.
Tinjauan The Rakyat Post di Kompleks Pertama mendapati, senario boikot jualan kad tambah nilai pra bayar dilihat semakin menular dalam kalangan peniaga.
Sebahagian besar pengunjung yang menggunakan perkhidmatan tersebut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan drastik yang diambil para peniaga di sini yang memboikot produk berkenaan.
Sebelum ini, tersebarnya beberapa foto premis jualan di laman sosial yang mempamerkan notis enggan menjual kad tambah nilai pra bayar disebabkan kadar GST yang didakwa menekan para peniaga.
Malahan, rata-rata peniaga kedai telekomunikasi di Kompleks Pertama mengambil langkah drastik untuk tidak menjual kad tambah nilai meskipun ia mendapat permintaan tinggi daripada pengguna.
Menurut salah seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, pihaknya mula menghentikan jualan kad tambah nilai pra bayar sejak GST dilaksanakan 1 April lalu.
Katanya, beliau sedar tindakannya itu boleh mengakibatkan pengguna semakin sukar untuk menambah nilai pra bayar pada telefon mereka, memandangkan banyak kedai telekomunikasi di sini tidak menjual kad tersebut.
Namun katanya, dia lebih rela untuk tidak menjual kad tersebut daripada dimarahi pelanggan ekoran caj GST yang tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada peniaga sepertinya.