GST: Kahwin dengan air matalah gamaknya!
MEMANDANGKAN hari bahagia yang dirancang tidak lama sahaja lagi, hati yang sudah semestinya berbunga-bunga menanti hari bahagia tiba-tiba jadi gerun!

Apa tidaknya mengenangkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula secara rasmi, esok.

Kenapa perlu sebut perkataan 'rasmi'?

Sebab rasanya untuk bakal pengantin seperti penulis, kami sudah 'tengok-tengok' barangan untuk majlis perkahwinan sejak tahun lepas, walhal majlis tahun depan. Biasalah, teruja!

Asal ada hari terluang, ringanlah kaki penulis nak masuk ke kedai-kedai yang menjual barangan keperluan majlis. Oleh kerana menetap di Shah Alam, maka premis yang dipilih juga berhampiran dengan kediaman.

Dua hari lepas, penulis singgah lagi ke kedai barang-barang kahwin sambil membelek beberapa barangan yang berkenan di hati.

Kelihatan si gadis jurujual sibuk menyusun bunga artifisial di rak bunga... penulis lalu menghampirinya.

"Adik, untuk bekas hantaran ini, berapa harganya?

"Untuk bekas hantaran yang ini harga biasanya dalam RM 21.90, tetapi sekarang ada potongan harga jualan sehingga 20 peratus," kata gadis manis itu membalas pertanyaan penulis.

"Lepas GST harga masih sama ke?," tanya penulis hendakkan kepastian.

"Lepas GST, naiklah sikit, hampir semua barang dalam kedai naik," jawabnya dengan senyuman teragak-agak.