KOTA BHARU, 17 Mac:

Ia mungkin PAS ataupun DAP, tetapi mana-mana parti yang meninggalkan Pakatan Rakyat, maka mereka yang rugi, kata anak sulung Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Omar Nik Abdul Aziz memberitahu The Rakyat Post,  menyertai pakatan pembangkang merupakan cara yang paling baik untuk semua komponen parti membantu rakyat tidak kira bangsa, seperti yang diidamkan oleh bapanya.
"Arwah bapa saya selalu berkata dengan terus bersama Pakatan Rakyat, ia memberi kita (PAS) peluang untuk membetulkan persepsi orang bukan Islam mengenai Islam.
"Ia memberi peluang kepada kita untuk mendidik mereka dan membantu mereka memahami Islam seperti yang kita faham dan bukan yang digambarkan oleh orang luar.
"Begitu juga dengan bekerjasama dengan DAP. Kita boleh belajar mengenai agama dan kepercayaan lain yang diamalkan oleh rakyat Malaysia dan begitu juga sebaliknya.
"Sebab itu sekiranya PAS atau DAP meninggalkan Pakatan, ia adalah kerugian parti itu sendiri."
Katanya undang-undang hudud yang menyebabkan ketegangan dalam Pakatan merupaka satu objektif yang cuba diraih oleh arwah bapanya dan PAS selama 20 tahun dan sekutu PAS mempunyai hak untuk menolaknya tetapi sebagai parti berteraskan agama Islam, melaksanakan sepenuhnya undang-undang Islam merupakan tanggungjawab mereka.
"Mendidik dan bukan lawan. Itu yang sering arwah bapa tekankan kepada kami.
"Kita perlu terus menerangkan kepada DAP, orang bukan Islam dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN), bahawa undang-undang hudud hanya untuk orang Islam dan sejak undang-undang manusia gagal menangani masalah jenayah, mungkin sudah tiba masanya kita mencuba sesuatu yang baharu.