KOTA BAHARU, 13 Mac:

Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993,atau lebih dikenali sebagai rang undang-undang hudud, yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lebih 20 tahun, akhirnya kembali ke persidangan dewan Isnin ini.
Rang undang-undang yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan Disember tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda Kelantan dan ia telah ditambah baik dengan beberapa peruntukan dipinda.
Penambahbaikan dan beberapa pindaan yang dilakukan ke atas rang undang-undang itu berdasarkan pandangan dan teguran pelbagai pihak termasuk kalangan pakar undang-undang, ahli politik dan badan bukan kerajaan.
Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata antara pindaan yang dibuat ialah enakmen berkenaan hanya terpakai kepada orang Islam berbanding sebelum ini, iaitu orang bukan Islam diberi pilihan untuk diadili mengikut enakmen berkenaan atau undang-undang sivil.
"Dengan pindaan ini, kanun jenayah ini hendaklah terpakai ke atas tiap-tiap orang Islam yang mukalaf bagi apa-apa kesalahan di bawah kanun ini," kata Takiyuddin yang juga Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri Kelantan.
Takiyuddin, yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata kini orang bukan Islam tidak lagi perlu bimbang dengan pelaksanaan enakmen ini kerana tidak melibatkan mereka.
Pindaan itu juga akan turut memperkemaskan hukuman yang membabitkan kesalahan liwat dan zina manakala pindaan lain melibatkan perkara teknikal, katannya yang juga seorang pengamal undang-undang.