KOTA BHARU, 10 Mac:

Bekas ahli UMNO yang merupakan calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06, Chempaka, Sharif Mahmood menyifatkan, langkah beberapa pimpinan parti berkenaan yang menyelar ahlinya daripada bertanding pada Pilihan Raya tersebut sebagai satu usaha menyekat amalan demokrasi.
Menurut beliau, UMNO sepatutnya terbuka dalam hal ini dan tidak menjadikannya sebagai satu isu untuk diperbesar-besarkan, sebaliknya, mereka harus menunjukkan kematangan dalam berpolitik.
"Baguslah kalau ada yang mahu bertanding. Dah pemimpin mereka tidak mahu meletakkan calon sendiri,  mengapa pula bila ada yang berani, kehendak orang itu hendak disekat-sekat.
"Bukan ke lebih baik sekiranya dibantu dan disokong, mudah-mudahan akan mendapat kemenangan yang mungkin tidak diduga," katanya kepada The Rakyat Post pada Selasa.
Sharif berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang menyelar dan membuat bantahan terhadap ahli UMNO yang menjadi calon untuk bertanding pada PRK DUN Chempaka.
Shahidan yang merupakan Ahli Parlimen Arau dilapor berkata, mana-mana ahli UMNO yang membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya itu perlu memberi penjelasan kepada UMNO serta boleh dihadapkan ke pihak disiplin parti untuk tindakan.
Ini berikutan, langkah parti itu yang tidak meletakkan calon untuk bertanding selepas keputusannya dibuat oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.