KUALA LUMPUR, 2 Mac:
Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat menjelaskan beliau bersifat terbuka kepada sesiapa sahaja yang akan bertanding menentangnya dalam pemilihan parti berkenaan pada Jun depan.
Menurut Suhaizan, beliau melihat pertandingan dalam Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai sesuatu perkara yang sihat dan akan mematangkan sayap parti tersebut.
"Saya tak boleh halang pencalonan daripada Pemuda PAS kawasan kerana mereka berhak untutk mencalonkan sesiapa jua pun dan saya hormat pencalonan daripada pemuda kawasan.
"Peluang saya untuk menang saya serahkan kepada para perwakilan yang matang untuk membuat keputusan," katanya kepada The Rakyat Post di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal berita hari ini yang mengatakan jawatan Ketua Pemuda PAS yang kini dipegang Suhaizan Kayat bakal dicabar oleh Mohd Khalil yang merupakan anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Laporan berkenaan mengatakan Suhaizan dikatakan tidak disenangi dengan pendekatan 'politik budiman' yang dilihat lebih tunduk kepada Pakatan Rakyat (PR) selain kurang mempertahankan Presiden PAS apabila menerima serangan, lapor sumber yang dipetik Berita Harian.