Perpecahan dalam Pakatan Rakyat (PR) mungkin menyebabkan pakatan pembangkang itu gagal meneruskan survival.
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, apa sahaja boleh berlaku dalam politik dan tiada sesiapa dapat menjamin Pakatan Rakyat yang ada hari ini, akan kekal wujud pada pilihan raya akan datang.
"Siapa yakin bahawa pasukan Pakatan Rakyat akan kekal atau sama ada BN (Barisan Nasional) akan bertarung secara berpasukan nanti?
"Sekiranya kedua-dua belah berjaya mengekalkan pengaruh sedia ada, maka hasil (pilihan raya) juga perlu ditentukan oleh pemimpinnya," katanya ketika ditanya berhubung jangkaannya pada Pilihan Raya Umum akan datang, dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina.
Menurutnya, PR terlalu meraikan kejayaan, sehingga nampak terlalu dramatik dalam menonjolkan kekuasaan.
"Pakatan Rakyat terlalu meraikan kejayaan sehingga nampak terlalu dramatik dalam menonjolkan kekuasaannya, dengan melontarkan kenyataan bahawa warga Bangladesh mengundi dan berlaku gangguan elektrik.
"Mereka juga mungkin terlalu fokus kepada memenuhi cita-cita sempit individu dan ahli keluarga," katanya.
Malah, beliau juga yakin, BN boleh mengekalkan kuasa pemerintahan, terutamanya jika pengundi Sabah dan Sarawak terus memberi sokongan.