KUALA LUMPUR, 21 Januari:

Bekas anggota polis elit, Sirul Azhar Umar yang kini dalam tahanan imigresen di Queensland, Brisbane sudahpun menghubungi pasukan peguambelanya dan mengarahkan untuk membuat sebarang tindakan undang-undang yang berkaitan.
Menurut peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, langkah seterusnya bagi pasukan peguambela bergantung kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa Malaysia.
"Pertama sekali, kita perlu ketahui status rasmi penahanan tersebut. Adakah dia ditahan atas undang-undang imigresen atau dia ditahan berikutan Notis Merah oleh pihak Interpol yang seterusnya berlanjutan kepada permohonan ekstradisi itu.
"Setakat ini, tiada siapapun yang tahu mengenainya, itu kita perlu sahkan dahulu," ujar Kamarul Hisham yang dipetik Astro AWANI.
Malah, Kamarul Hisham berkata sehingga kini, berita penahanan tersebut hanya diperolehi daripada laporan media Australia.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar ditahan pegawai Imigresen di Queensland, Australia semalam.
Dia kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen negara itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Australia, Sirul Azhar ditahan atas kesalahan Akta Imigresen negara itu.