PKR meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi penjelasan mengenai penganugerahan projek pemeriksaan kesihatan pekerja-pekerja asing di negara dan permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) secara atas talian kepada Bestinet Sdn. Bhd.
Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Lee Chean Chung,  seperti isu MyEG dalam pembaharuan PLKS, ia merupakan satu lagi sistem yang cuba memonopoli urusan pekerja-pekerja asing dalam bidang yang lebih luas.
Johari berkata, majikan  tidak boleh lagi berurusan di kaunter dan semua pemeriksaan kesihatan di negara sumber dan permohonan VDR mesti dilakukan sepenuhnya atas talian melalui sistem tersebut.
"Pastinya sistem komprehensif ini melibatkan kos pembangunan yang besar dan syarikat swasta tidak mungkin membekalkan perkhidmatan tersebut secara percuma.
"Oleh itu, kami meminta Ahmad Zahid mendedahkan berapakah nilai kontrak tersebut serta apakah cara bayaran kerajaan atau majikan perlu membayar kepada Bestinet dan adakah kontrak tersebut dianugerahkan melalui tender terbuka serta mengapakah tugasan penting ini boleh disumberluarkan kepada sebuah syarikat swasta? soalnya dalam sidang media di sini.