K-Pop
SHAH ALAM – Insiden 'panas' atas pentas K-Pop yang akhirnya menjadi viral dan mendapat perhatian masyarakat Islam hanyalah secebis daripada masalah akidah yang berlaku dalam umat Islam di negara ini.

Pendakwah, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre berkata, masalah dalam masyarakat Islam itu sendiri lebih besar jika dibandingkan dengan insiden tersebut.

"Sebenarnya masalah ini lebih luas daripada apa yang berlaku di atas pentas itu. Sebab apa yang berlaku dalam masyarakat lebih besar daripada itu.

"Isu K-Pop itu hanya 'tip of the iceberg'. Yang kita nampak di laut itu hanya permukaan kecil ais itu sahaja," katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, adegan-adegan dalam drama ataupun filem yang disajikan kepada masyarakat umum setiap hari itu adalah antara contoh 'masalah' dalam masyarakat Islam, hari ini.

"Padahal masalahnya berakar umbi pada kefahaman masyarakat kita sendiri...akidahnya bagaimana. Itu yang sepatutnya kita fokuskan dan perkemaskan.

"Contohnya drama yang ditayangkan di TV. Itu adalah salah satu daripada benda-benda yang kita nampak setiap hari. Banyak lagi sebenarnya (yang berlaku)," katanya.

Mengulas soal kenyataan beberapa pihak yang mencadangkan dakwah dan menentang keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) untuk mengenakan tindakan itu, beliau berkata kedua-duanya perlu dilaksanakan.