Mohd Misbahul Munir Masduki
IPOH – Kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih lagi relevan untuk terus menerajui Pas biarpun menerima kritikan pelbagai pihak.

Ketua Penerangan Pas Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, sebarang cadangan untuk menukar pimpinan bukan hak individu sebaliknya diputuskan di peringkat kawasan.

Menurutnya, tindakan individu secara terbuka mahu Abdul Hadi tidak dicalonkan pada muktamar akan datang adalah tidak wajar.

"Sebarang cadangan harus disalurkan di dalam mesyuarat di peringkat kawasan atau cawangan, bukan meluahkan melalui media sosial kerana ia dilihat cuba merendah-rendahkan  pemimpin.

"Kita dididik untuk menegur secara baik dan bukan keluarkan kenyataan seolah-olah mahu menjatuhkan pemimpin," katanya, semalam.

Beliau berkata, Pas Perak berpandangan, Abdul Hadi perlu kekal sebagai presiden memandangkan sumbangannya bukan sahaja diiktiraf negara ini, malah luar negara.