Penganjur konsert kumpulan K-Pop, B1A4, hari ini memohon maaf di atas isu yang timbul disebabkan tindakan artis Korea itu dengan beberapa orang peminat pada konsert yang berlangsung petang semalam.
TGM Events dalam kenyataannya memberitahu pihaknya ikhlas memohon maaf dengan apa yang telah berlaku dan akan melakukan penambahbaikan pada masa akan datang.
Pihaknya akan mengambil kira implikasi ke atas budaya dan juga agama yang melibatkan interaksi antara peminat dan juga artis pada masa konsert akan datang.
Jelas kenyataan itu lagi, konsert berkenaan merupakan pertemuan khas antara kumpulan B1A4 dan juga para peminat mereka di Kuala Lumpur.
Katanya, para peminat dipilih secara rawak berdasarkan soalan yang dipaparkan pada papan mesej dengan menggunakan nama pertama mereka.
"Penganjur, pengurusan artis dan juga artis tersebut tidak mempunyai pengetahuan mengenai peminat yang dipilih tersebut sehingga mereka dibawa ke atas pentas.
"Namun begitu, untuk bertemu secara dekat dengan peminat bukanlah protokol standard artis K-Pop tetapi disebabkan ia merupakan program khas bersama peminat, maka ia direka supaya melibatkan pembabitan dan interaktif yang lebih dekat dengan mereka," katanya.
Menurutnya lagi, pengacara konsert berkenaan juga telah mengarahkan para peminat supaya tidak menyentuh atau berada dekat dengan ahli kumpulan tersebut sebelum program tersebut dimulakan.