PUTRAJAYA, 7 Januari:

Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Januari bagi keputusan berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis terhadap pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Ketua Bahagian komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa Mahkamah Persekutuan Mohd Aizuddin Zolkeply mengesahkan tarikh untuk keputusan itu telah ditetapkan pada 13 Januari.
Keputusan itu akan disampaikan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mendengar rayuan itu selama tiga hari bermula 23 Jun tahun lepas.
Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.
Apabila dihubungi, peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Ketua Inspektor Azilah Hadri berkata firma guamannya menerima notis daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam, memaklumkan mengenai tarikh berkenaan.