Polis Antarabangsa (Interpol) menerusi laman webnya menyenaraikan sarjana Islam terkenal, Yusuf Qaradawi sebagai orang yang dikehendaki agensi itu kerana didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan. SHAH ALAM - PKR mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis antarabangsa (Interpol) yang mengeluarkan notis merah terhadap Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar juga membantah tindakan tersebut yang didakwa telah bersengkongkol dengan sekutunya Mesir dalam usaha itu.

"Saya protes dan mengutuk sekeras-kerasnya pengeluaran waran tangkap Interpol buat Mesir sekutu AS untuk menangkap Sheikh Yusuf Qaradawi," katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap sarjana Islam terkenal itu selepas dikaitkan dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan Mesir.

Menurut laman webnya, notis merah terhadap Yusuf, 88, dikeluarkan selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan pensabitan hukuman.

Antara tuduhan terhadap Yusuf ialah menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara serta aktviti vandalisme dan kecurian.