Dr Mohammad Agus  
SHAH ALAM - Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpendapat, pemikiran serta sikap politik anak muda sekarang sudah jauh berubah jika dibandingkan dengan anak muda zamannya.

Agus berkata, pengalamannya ketika di London baru-baru ini bersama anak muda benar-benar mengejutkannya kerana pertanyaan mereka mengenai suasana politik tanah air begitu kritikal dan analitikal.

"Tadi , semasa saya sedang bersarapan di Malaysian Hall, sekumpulan anak Malaysia bertanyakan saya tentang suasana politik negara. Mereka tidak lagi bercakap tentang dasar-dasar kerajaan sepertimana yang saya dan kawan-kawan lakukan dulu, tetapi terus bertanyakan saya soalan-soalan yang mengejutkan: Apakah DSAI akan dipenjarakan?

Apakah faktor nilai ringgit jatuh? Bagaimana dengan 1MDB?.

"Tidak cukup dengan itu, mereka juga bertanyakan tentang kedudukan BN dan PR? Parti mana yang akan menang dalam PRU akan datang? Mengapa bukan Melayu tidak lagi menyokong kerajaan," katanya dalam Facebook beliau.

Walau bagaimanapun, katanya, beliau hanya memberi respons secara umum sahaja dalam menjawab pertanyaan anak muda tersebut.